Oleh NORHASMANALINDA MUSTAPA

DUNIA penulisan masa kini menjadi medan kepada pelbagai golongan untuk menyuarakan hasrat hati serta pandangan selain menjadi salah satu punca pendapatan. Bagi anak muda, cerpen dan novel merupakan antara genre yang paling mereka minati.

Canai Bahasa pada kali ini menampilkan tema Citra Karya Penulis Muda.

Pada 29 September 2018, bertempat di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), telah berlangsung Forum Canai Bahasa dan Sastera dengan tajuk “Citra Karya Penulis Muda”. Forum selama dua jam ini dipengerusikan oleh Encik Saifullizan Yahya, Ketua Akademi DBP dan dua orang ahli panel, iaitu Encik Roslan Jomel, penulis muda kelahiran Bumi Kenyalang dan Puan Ruhani Matdarin, penerima Hadiah Sastera Sabah 2012/2013.

Ruhani Matdarin, penulis muda kelahiran Sabah, salah seorang panel dalam Forum Canai Bahasa.

Forum anjuran DBP dengan kerjasama Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) ini diadakan dengan hasrat untuk berkongsi pandangan serta menjadi medan pertukaran idea antara ahli panel dengan khalayak yang kebanyakannya anak muda penuntut institusi pengajian tinggi. Antara kupasan menarik yang diutarakan dalam forum ini adalah cabaran yang dihadapi oleh penulis muda, selain perkongsian petua yang perlu diamalkan oleh penulis agar bertahan dalam dunia penulisan.

Roslan Jomel, penulis muda berbakat besar berkongsi pengalaman sebagai penulis dalam Forum Canai Bahasa.

Selain itu, forum Canai Bahasa dan Sastera ini turut membincangkan kepesatan penerbitan karya indie dan cara-cara untuk menghasilkan karya yang bermutu tinggi tanpa meminggirkan nilai-nilai murni masyarakat. Yang turut dibincangkan adalah trend dunia penulisan yang bergerak seiring dengan perubahan kehidupan masyarakat Malaysia.

Antara peserta yang hadir dalam program Canai Bahasa dan Sastera.

Forum yang berkonsep santai pagi sambil menghidangkan roti canai serta teh tarik kepada khalayak menjadi medan terbaik untuk sesi percambahan idea, khususnya antara penulis yang telah lama bertapak dalam dunia penulisan dengan yang baru mencipta nama. Antara yang hadir ialah S.M. Zakir, penerima Hadiah Sastera Asia Tenggara (SEA Write Awards) yang memberikan pandangan serta pesanan kepada khalayak agar sentiasa menghasilkan karya yang mengangkat citra manusia dengan lebih terbuka serta meningkatkan lagi aktiviti pembacaan dan penerokaan pelbagai bidang ilmu. Hal ini penting agar karya yang bakal dihasilkan oleh penulis muda dapat diangkat sebagai karya yang bermutu tinggi serta menjadi warisan generasi lain pada masa akan datang.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1049243
    Visit Today : 88
    This Month : 31842
    Total Visit : 1049243
    Hits Today : 398
    Total Hits : 4305159
    Who's Online : 13
  • Kategori