Oleh NURUL JULIA ALANI HENRY

PADA 25 September 2018, Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), mencatat sejarah dalam era Malaysia Baharu kerana menjadi tempat berlangsungnya Syarahan Negarawan 2018. Syarahan Negarawan menampilkan tokoh reformasi, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang menyampaikan syarahan bertajuk “Malaysia Baharu: Ke Arah Memperkukuh Negara Bangsa”.

Tetamu kehormat dan hadirin menyanyikan lagu “Bahasa Jiwa Bangsa” sebagai pembukaan Syarahan Negarawan 2018.

Syarahan Negarawan yang berlangsung selama satu jam ini bukan sahaja sarat dengan mesej untuk membina Malaysia Baharu dengan nilai murni, malahan menyentuh pelbagai aspek, khasnya isu kedudukan dan penguasaan bahasa Melayu. Sesuai dengan tajuk syarahan dan suasana pemerintahan negara di bawah kerajaan baharu, Dato’ Seri Anwar memulakan syarahan beliau dengan frasa “fajar baharu” dan “era baharu”.

Dato’ Seri Anwar berharap agar kedudukan dan peranan DBP dipersegar sebagai “pembicara” bahasa, sastera dan budaya yang tuntas.

Apabila memperkatakan “era baharu”, Dato’ Seri Anwar mengaitkannya dengan “era jahiliah”. Menurut beliau, era baharu dan era jahiliah tidak seharusnya dilihat secara terpisah atau tidak ada unsur yang memisahkan dua era itu. Sewaktu mengupas makna era jahiliah, Dato’ Seri Anwar menyatakan pelabelan “jahiliah” itu bukan disebabkan masyarakat atau bangsa itu ketandusan ilmu tetapi disebabkan bangsa itu melakukan amalan yang syirik dan menjalani kehidupan yang tidak bersandarkan akhlak dan nilai yang baik. Berkaitan dengan hal itu, beliau mengemukakan lima perkara yang perlu terus diamalkan oleh sesebuah masyarakat bagi mengukuhkan negara bangsa. Lima perkara tersebut ialah bersyukur apabila mendapat kebaikan, bersabar tatkala menghadapi ujian, berkata benar walaupun dalam apa-apa juga situasi, reda dengan takdir Allah, dan tidak terlalu gembira tatkala musuh sedang berdukacita atau mengalami derita.

Bersesuaian dengan tempat berlangsungnya syarahan ini, iaitu di Wisma DBP, Dato’ Seri Anwar menegaskan kepentingan untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. “Penguasaan bahasa amat penting untuk menguasai ilmu. Dalam apa-apa perbahasan pun, kita harus menjaga mutu dan penyampaian bahasa,” demikian tegas beliau yang mengakui sesetengah Ahli Parlimen tidak menguasai bahasa Melayu. Pada masa yang sama, beliau mencadangkan agar DBP melaksanakan kursus penguasaan bahasa Melayu kepada Ahli Parlimen. “Tugas DBP adalah mengadakan kursus bahasa Melayu kepada Ahli Parlimen,” demikian saranan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Syarahan Negarawan 2018 berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, iaitu “balai keramat” yang menyaksikan pelbagai peristiwa bahasa, sastera dan budaya yang membentuk negara bangsa Malaysia.

Beliau juga memberikan jaminan bahawa kerajaan Pakatan Harapan akan terus mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan demi memelihara perlembagaan meskipun berdepan arus kemodenan dan globalisasi. Walau bagaimanapun, penguasaan bahasa lain digalakkan demi melahirkan generasi intelektual.

Dato’ Seri Anwar turut mengajak masyarakat Malaysia supaya mencontohi bangsa Indonesia yang berjaya mengangkat bahasa Indonesia melalui Sumpah Pemuda. Dalam hal ini, beliau menegaskan perlunya ada tekad politik untuk mengukuhkan kedudukan bahasa Melayu di Malaysia sebagaimana mantapnya kedudukan bahasa Indonesia di Indonesia. Apabila menyentuh fasa perubahan yang dilalui oleh negara pasca-Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Dato’ Seri Anwar menegaskan tidak semua perkara perlu berubah. Ujar beliau, “Kita mulakan gagasan yang baharu akan tetapi kita gunakan landasan yang sama dan yang sedia ada kerana masih terdapat banyak budaya positif yang boleh dikekalkan oleh rakyat pasca-Malaysia Baharu ini.”

Berhujah tentang hal yang sama, Dato’ Seri Anwar menegaskan, “Kita harus melihat semula gagasan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan prinsip universiti itu yang harus mengutamakan bahasa kebangsaan. Maka itu, jika UKM mahu meremehkan bahasa kebangsaan, saya tidak boleh terima keadaan itu. Akan tetapi jika UKM mahu mengadakan program memantapkan penguasaan bahasa Inggeris, saya akan sokong. Bagi saya, penguasaan bahasa dan mutu pendidikan lebih bermakna,” demikian jelas beliau.

Dalam syarahan ini juga, Dato’ Seri Anwar berharap agar kedudukan dan peranan DBP dipersegar sebagai “pembicara” bahasa, sastera dan budaya yang tuntas, yakni merangkumi dan melibatkan semua bangsa, agama dan budaya yang ada di Malaysia. Dengan cara ini, beliau yakin seluruh rakyat amnya dan bangsa bukan Melayu khususnya akan berasa yakin bahawa bahasa Melayu dan institusi DBP itu milik mereka, bukan milik bangsa Melayu semata-mata. “Jadikan DBP sebagai markas pembicara bahasa dan budaya yang segar dan berani berhadapan dengan apa-apa juga cabaran yang muncul di hadapannya. Tugas DBP dalam era baharu ini ialah membina tamadun bangsa yang berlandaskan bahasa dan budaya yang sedia ada di samping meneroka pemikiran baharu.”

Sasterawan Negara, Datuk Dr. Zurinah Hassan sempat berpantun semasa berlangsungnya sesi soal jawab dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Dalam sesi soal jawab, Dato’ Seri Anwar menegaskan kelompok majoriti perlu bangkit menentang golongan yang dilabelkannya sebagai “super liberal” yang menganggap negara ini milik mereka sahaja. Ketika menjawab soalan tentang kedudukan orang Melayu dan raja Melayu dalam era Malaysia baharu, Dato’ Seri Anwar menegaskan bahawa perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dirungkaikan oleh mana-mana pihak. Beliau turut menjelaskan keempat-empat pemimpin utama parti komponen Pakatan Harapan telah bersetuju mengenai perkara itu sewaktu hendak membentuk kerajaan.

Profesor Dr. Mohamed Hatta menyampaikan ucapan alu-aluan.

Majlis Syarahan Negarawan ini dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Dr. Mohamed Hatta Shaharom. Dalam nada keterujaan, Profesor Dr. Mohamed Hatta berkata beliau dan warga DBP amat bertuah kerana dapat bersama-sama Dato’ Seri Anwar di Balai Budaya Tun Syed Nasir. Hal ini dikatakan demikian kerana beliau menganggap Balai Budaya Tun Syed Nasir sebagai “balai keramat” yang menyaksikan pelbagai peristiwa bahasa, sastera dan budaya yang menjadi elemen penting dalam membentuk negara bangsa Malaysia. Profesor Dr. Mohamed Hatta juga sempat mengimbau kembali kenangan pada zaman remajanya apabila kali pertama mengikuti pidato Dato’ Seri Anwar di Maktab Melayu Kuala Kangsar.

Yang turut hadir dalam majlis Syarahan Negarawan 2018 di DBP ialah Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Dato’ Dr. Mohd Gazali Abas dan Ketua Pengarah DBP, Datuk Haji Abdul Adzis Abas.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1048963
    Visit Today : 1281
    This Month : 31562
    Total Visit : 1048963
    Hits Today : 4367
    Total Hits : 4303413
    Who's Online : 11
  • Kategori