Oleh WAN NORASIKIN WAN ISMAIL

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Haji Abang Sallehuddin Abg Shokeran, turut menyampaikann ucapan alu-aluan dalam majlis tersebut.

PERKEMBANGAN Kesusasteraan Melayu Moden sejak belakangan ini mencetuskan pelbagai isu yang secara langsung menyentuh kedudukan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai institusi yang bertanggungjawab bagi membina, mengembangkan, mengiktiraf dan menerbitkan karya sastera. Matlamat untuk merakyatkan sastera semakin dipinggirkan apabila pendidikan sastera dipandang sepi kerana masyarakat kini lebih mementingkan pendidikan dalam bidang sains dan teknologi, sekali gus menyebabkan para pelajar kurang berminat untuk mempelajari sastera.

YB Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, Ahli Parlimen Lembah Pantai, hadir merasmikan Seminar Isu-isu Mutakhir Kesusasteraan Melayu Moden.

Bagi menjelaskan isu polemik dalam dunia sastera, DBP menganjurkan Seminar Isu-isu Mutakhir Kesusasteraan Melayu Moden pada 4 September 2018 di Dewan Seminar Dato’ Hassan Ahmad, DBP, Kuala Lumpur. Seminar sehari ini telah dirasmikan oleh YB Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, Ahli Parlimen Lembah Pantai. Dalam ucap utama, beliau telah menyentuh isu masa depan kesusasteraan kebangsaan dalam Malaysia baharu. Seminar ini mencipta sedikit kelainan apabila Ahmad Fahmi diberi ruang untuk bersoal jawab dengan para peserta tentang pelbagai isu yang berkaitan dengan bahasa dan sastera tanah air.

Tujuan utama seminar ini diadakan adalah untuk menyebarluaskan kajian oleh tokoh sastera terhadap isu mutakhir kesusasteraan Melayu moden seiring dengan matlamat DBP untuk memantapkan dan meluaskan khazanah ilmu. Di samping itu, seminar ini bertujuan untuk mendapatkan pandangan para pengkaji tentang kedudukan kesusasteraan Melayu moden pada masa ini, khususnya daripada penyelidik generasi muda. Selain itu, seminar ini diharap dapat menyebarkan korpus seminar kepada masyarakat supaya dapat dijadikan rujukan dan pedoman kepada pengguna sastera dan pengkaji dalam merangka kesusasteraan Melayu moden.

Sesi pembentangan kertas kerja yang dipengerusikan oleh Dr. Abang Patdeli Abang Muhi (tengah), Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera, DBP.

Sebanyak 8 kertas kerja pelbagai bidang telah dibentangkan dalam seminar yang bertemakan “Masa Depan Kesusasteraan Kebangsaan dalam Malaysia Baharu”. Pembentangan kertas kerja merangkumi aspek pengantarabangsaan sastera, sastera indie, fahaman penulis muda terhadap sastera masa kini, penulis bukan Melayu, penilaian dan pengiktirafan sastera, pendidikan sastera, sastera dan industri kreatif serta dilema dalam penerbitan buku sastera.

Seminar sehari ini diharap dapat mencapai matlamatnya untuk mendapatkan pelbagai pandangan daripada penggiat sastera generasi baharu dalam kesusasteraan moden. Seminar ini juga diharap dapat memperlihatkan perkembangan, pengukuhan, dan kematangan para penulis dalam karya mereka serta mendapat sokongan pelbagai institusi terhadap perkembangan dunia kesusasteraan tanah air.

Pembentang kertas kerja bergambar kenangan bersama-sama YB Ahmad Fahmi.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1049104
    Visit Today : 1422
    This Month : 31703
    Total Visit : 1049104
    Hits Today : 5352
    Total Hits : 4304398
    Who's Online : 13
  • Kategori