Oleh NURUL JULIA ALANI HENRY

DEWAN Bahasa dan Pustaka (DBP) mula ditubuhkan pada tahun 1956, iaitu setahun lebih awal daripada tahun kemerdekaan negara. Oleh hal yang demikian, secara tepatnya DBP kini berusia 62 tahun, iaitu suatu tempoh yang cukup matang dari segi pengalaman, pemikiran dan pelaksanaan matlamat penubuhannya. Usia 62 tahun juga merupakan satu jangka waktu yang mewajarkan DBP untuk berasa bangga atas beberapa pencapaian terbaiknya dalam memastikan kelestarian kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Demikian kata Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Haji Abdul Adzis Abas dalam mukadimah ucapannya sempena sambutan ulang tahun DBP yang ke-62. Tarikh tepat ulang tahun DBP ke-62 ialah pada 22 Jun 2018, namun majlis sambutannya diadakan pada 11 Julai 2018, yang juga bersempena dengan Perhimpunan Bulanan DBP bagi bulan Julai dan sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat DBP. Majlis yang bersejarah bagi DBP ini berlangsung di Dewan Budaya Tun Syed Nasir.

Ketua Pengarah DBP, Datuk Haji Abdul Adzis Abas menyampaikan ucapan semasa majlis Perhimpunan Bulanan DBP.

Ketua Pengarah DBP, Datuk Haji Abdul Adzis Abas menyampaikan ucapan semasa majlis Perhimpunan Bulanan DBP.

Dalam ucapannya juga, Datuk Haji Abdul Adzis Abas melontarkan persoalan, “Adakah karyawan DBP sudah boleh berasa bangga dengan pencapaiannya selama 62 tahun ini? Jawapannya ya dan tidak. Hakikatnya, DBP telah menerbitkan ribuan judul buku dan majalah dalam pelbagai bidang sejak penubuhannya pada tahun 1956. DBP juga telah melahirkan penulis bahasa dan sastera yang menghasilkan karya bermutu. Namun demikian, jika merujuk kepada ketidakyakinan beberapa pihak terhadap kepentingan dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa perdagangan, kejayaan DBP belum boleh dibanggakan lagi. Masih banyak pihak yang tidak yakin dengan kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Negara.

Antara pegawai DBP yang hadir dalam Majlis Perhimpunan Bulanan DBP bagi bulan Julai 2018.

Antara warga DBP yang hadir dalam Majlis Perhimpunan Bulanan DBP bagi bulan Julai 2018.

Dalam nada kesal, Datuk Haji Abdul Adzis menyatakan setelah 62 tahun kewujudan DBP, masih ramai dalam kalangan rakyat Malaysia yang tidak mempunyai kecintaan dan kesetiaan yang sejati terhadap bahasa kebangsaannya sendiri. Masih ramai dalam kalangan rakyat yang tidak berasa bangga untuk menggunakan bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi negara, apatah lagi dalam komunikasi tidak rasmi. Malah yang lebih mendukacitakan lagi masih ada dalam kalangan warganegara Malaysia yang tidak boleh bertutur dengan fasih dalam bahasa kebangsaannya sendiri. Maka itu, mahu tidak mahu DBP harus mengakui kegagalannya meyakinkan masyarakat dan pihak berwajib tentang keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran, bahasa ekonomi dan bahasa ilmu. Oleh hal yang demikian, karyawan DBP perlu merenung ke dalam diri, bermuhasabah dan mencari titik kelemahan DBP.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Datuk Abang Salehuddin Abang Shokeran bersalaman dengan karyawan DBP yang hadir dalam majlis Perhimpunan Bulanan dan sambutan ulang tahun DBP yang ke-62.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Datuk Abang Salehuddin Abang Shokeran bersalaman dengan karyawan DBP yang hadir dalam majlis Perhimpunan Bulanan dan sambutan ulang tahun DBP yang ke-62.

Ketua Pengarah DBP juga turut berkongsi beberapa saranan, pandangan dan arahan YB Menteri Pendidikan, Dr. Mazlee Malik yang berkunjung ke DBP pada 3 Julai 2018. Perkara pertama yang ditekankan oleh YB Dr. Mazlee Malik ialah tentang anjakan pemikiran, sikap dan cara bekerja. Dalam menghadapi cabaran baharu di bawah pemerintahan kerajaan baharu yang berslogankan “Malaysia Baharu”, setiap karyawan DBP harus “berjiwa dan bersikap sebagai seorang pemenang” pada setiap masa. Berjiwa dan bersikap sebagai pemenang bermaksud apa-apa juga program dan kegiatan yang dilaksanakan hendaklah dirancang dengan penuh teliti dengan mengambil kira aspek dana, sumber manusia dan strategi pelaksanaan. Berjiwa pemenang juga bermaksud semasa melaksanakan program tersebut setiap karyawan perlu yakin bahawa program tersebut dapat mencapai hasil yang luar biasa walaupun dengan sumber yang terhad dan dengan cabaran yang pelbagai. Bersikap pemenang juga bermaksud karyawan DBP perlu bekerja bersungguh-sungguh dalam mencapai objektif program tanpa mengenal erti putus asa. Hal yang sedemikian ini bermaksud karyawan DBP tidak boleh lagi bekerja dengan cara lama, mudah berpuas hati dan bekerja pada skala “ala kadar”. Karyawan DBP juga perlu meninggalkan zon selesa sekarang dengan menghadapi realiti dan cabaran baharu dalam gelombang ketidakyakinan masyarakat terhadap bahasa kebangsaan dan ketidakyakinan masyarakat terhadap wibawa DBP yang sering dipersendakan oleh pihak tertentu.

Antara tetamu yang hadir dalam majlis sambutan Hari raya Aidilfitri DBP termasuklah Dr. Mohamad Saleeh Rahamad (PENA), Dato’ Dr. Mohd. Anwar Ridhwan (Sasterawan Negara) dan Mohd. Khair Ngadiron (ITBM).

Antara tetamu yang hadir dalam majlis sambutan Hari raya Aidilfitri DBP termasuklah Dr. Mohamad Saleeh Rahamad (PENA) (tiga dari kanan), Dato’ Dr. Mohd. Anwar Ridhwan (Sasterawan Negara) (dua dari kanan) dan Mohd. Khair Ngadiron (ITBM) (kanan sekali).

Mengakhiri ucapannya, Datuk Haji Abdul Adzis Abas menyeru agar semua karyawan DBP mengubah sikap dan cara bekerja sesuai dengan tuntutan Malaysia Baharu. Dengan kesungguhan seluruh karyawan, beliau yakin DBP dapat mendepani cabaran dalam era Malaysia Baharu. Apa yang penting segala kritikan dan persepsi terhadap DBP selama ini perlu dijadikan asas untuk memperkasakan perjuangan mendaulatkan bahasa Melayu pada peringkat negara mahupun antarabangsa. Majlis Perhimpunan Bulanan yang diadakan serentak dengan sambutan ulang tahun DBP yang ke-62 ini diakhiri dengan lafaz ikrar taat setia yang dipimpin oleh Pengurus Bahagian Pengedaran dan Pemasaran DBP, Azhar Mohd. Dora. Menyusul selepas itu ialah sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat DBP yang dihadiri oleh karyawan dan pesara DBP, termasuk agensi seperti Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM), Persatuan Penulis Nasional (PENA), Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA)dan Perbadanan Kota Buku dan Yayasan Karyawan Malaysia.

 

 

 

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1047065
    Visit Today : 681
    This Month : 29664
    Total Visit : 1047065
    Hits Today : 1683
    Total Hits : 4296485
    Who's Online : 21
  • Kategori