Oleh SARIFAH NURHANUM SYED SAHURI
Pecah kaca pecah gelas,
Sudah baca harap balas.
PANTUN dua kerat di atas merupakan salah satu pantun yang popular ketika musim hari raya. Pantun ini sering ditulis untuk mengakhiri tulisan atau catatan di dalam kad raya. Walaupun ringkas, maksud pantun ini sangat jelas, iaitu mengharapkan balasan kad raya daripada penerima.
Kad raya merupakan medium popular pada era 1980-1990-an untuk menyampaikan mesej, maklumat atau ingatan kepada seseorang. Kad raya sangat istimewa kerana hanya terdapat ketika musim perayaan sahaja. Bahkan, sesetengah daripada kita sanggup membeli dan mengumpul kad raya sebagai koleksi peribadi.
Tanpa kita sedar, penulisan kad raya sebenarnya memberikan peluang kepada remaja dan kanak-kanak untuk melatih diri mereka berfikir dan menulis dalam bahasa Melayu dengan teratur. Kajian menunjukkan bahawa aktiviti menulis dalam bahasa ibunda meningkatkan keyakinan diri dan kecekapan membaca dalam kalangan kanak-kanak. Selain itu, penulisan kad raya secara bermusim meningkatkan kreativiti golongan remaja menggunakan bahasa Melayu apabila perlu menulis sesuatu yang penting dan bermakna pada dirinya atau orang lain dalam ruangan yang terhad. Dalam hal ini, penulisan kreatif menggalakkan kanak-kanak dan remaja menggunakan strategi metakognitif untuk menyusun perkataan dan ayat yang sesuai untuk disampaikan melalui kad raya.
Penulisan kad raya turut menggambarkan adab dan budi bahasa orang Melayu pada waktu itu. Kad raya biasanya diutuskan kepada individu-individu penting kepada penulisnya, seperti ibu bapa, adik-beradik dan sahabat handai. Laras bahasa yang digunakan juga sangat sopan dan menarik. Sebagai contoh, gelaran ayahanda dan bonda digunakan sebagai kata ganti nama bagi ayah dan ibu. Pemilihan perkataan yang digunakan dalam kad raya seolah-olah mewakili rasa hormat dan kasih sayang penulisnya kepada penerima. Selain itu, penulisan kad raya juga sering mengandungi doa dan harapan penulisnya. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang berada di perantauan dan tinggal jauh dari keluarga tersayang.
Namun, peredaran masa dan kemajuan teknologi telah menenggelamkan aktiviti penulisan kad raya. Kad raya kini diganti dengan pengiriman mesej raya melalui pelbagai aplikasi seperti Facebook, Whatsapp, Telegram, Instagram dan Twitter. Selain itu, pihak Pos Malaysia baru-baru ini turut memperkenalkan kad ucapan raya hologram 3 dimensi (3D).
Penulisan kad raya yang berbentuk peribadi sebelum ini telah menjadi lebih terbuka. Isi kandungannya boleh dibaca sesiapa sahaja di media sosial. Nilai keaslian turut hilang apabila tulisan itu boleh disalin semula dan dihantar kepada orang lain. Kualiti tulisan dalam bahasa Melayu turut tercemar lantaran penggunaan bahasa rojak, singkatan perkataan yang sukar difahami, susunan ayat yang tidak teratur, kesalahan tatabahasa dan penggunaan emotikon yang berlebihan sehingga menyukarkan pembacaan. Sebagai contoh:
SELASA cari RABU ,
Nk tanya nampak x KHAMIS,
Agar igtkn JUMAAT bgtau
SABTU supaya xlupa
Msj kt AHAD, yg ISNIN dh raye!!
Selamat Menyambut hari raye aidil fitri maaf zahir dan batin…
Tanpa kita sedari, nilai adab dan budi bahasa turut terhakis sedikit demi sedikit apabila mesej raya boleh dihantar kepada sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang penerima. Adakalanya, mesej raya berbentuk hiburan yang mengelirukan serta membawa tafsiran yang pelbagai bagi pembaca dihantar kepada ahli keluarga dan sanak saudara. Sebagai contoh:
Kupegang kaupunya… kaupegang kupunya
Kuramas kaupunya… kauramas kupunya
Kugoncang kaupunya… kaugoncang kupunya
Kemudian kita goyang bersama
Itulah tanda kita bersalam mesra
Selamat hari raya semua
Penulisan pantun juga tidak lagi mempunyai keindahan bahasa seperti dahulu. Pantun ditulis secara hiperbola dan tidak mengambil kira hubungan antara pembayang dengan maksud. Sebagai contoh:
Kambing ranggi naik LRT,
Katak pisang tercekik tulang,
Walau SMS sahaja yang diberi,
Itu tandanya ingatan tak hilang,
Selamat hari raya aidilfitri.
Satu lagi contoh pantun raya ialah:
Anak jaws main gitar,
Anak sotong main tabla,
Kad raya malas nak hantar
Send sms jer udahla…
Contoh-contoh seperti di atas diambil daripada pelbagai laman sesawang yang menyediakan mesej dan ungkapan pantun sempena hari raya yang boleh diakses oleh orang ramai. Secara tidak langsung, sebaran mesej atau ungkapan tersebut memperlekehkan seni dan budaya bahasa Melayu serta merosakkan adab dan budi masyarakat.
Oleh yang sedemikian, semua pihak perlu menginsafi kepentingan penulisan bahasa Melayu yang betul, terutamanya pada musim perayaan. Langkah-langkah yang boleh diambil adalah menghidupkan kembali aktiviti menulis dan mengirim kad raya, menggunakan perkataan dan laras bahasa yang sesuai dalam penulisan dan menghasilkan koleksi pantun-pantun raya yang berkualiti.
Para penulis boleh menggunakan laman sesawang Pusat Rujukan Persuratan Melayu yang disediakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka bagi menghasilkan tulisan yang baik. Jawatankuasa khas juga wajar diwujudkan untuk menilai sebaran mesej atau ungkapan raya di ruang media sosial atau laman sesawang dan seterusnya memperbaiki penulisan mesej tersebut dengan menggunakan kaedah yang betul. Tulisan yang telah ditambah baik itu boleh menjadi rujukan dan bahan sebaran kepada masyarakat.
Diharapkan langkah-langkah ini juga berupaya memperkasakan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat. Martabat bahasa ibunda ini perlu diangkat semula dan diletakkan di tempat yang tinggi. Menghargai bahasa Melayu dengan menggunakannya dengan betul merupakan peranan semua orang dan tidak mengira musim tertentu.