Oleh ZAIDI ISMAIL

Dr. Hassan Ahmad

SEMPENA sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2010 peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya (PPj), PPj dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mengadakan Syarahan Pendeta yang bertajuk “Peranan Bahasa Kebangsaan dalam Membina Jati Diri Negara Bangsa” pada 12 Oktober lalu. Syarahan tersebut disampaikan oleh Dato’ Dr. Hassan Ahmad, Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan yang juga mantan Ketua Pengarah DBP.

Dalam syarahannya, Dato’ Dr. Hassan menjelaskan makna jati diri atau juga disebut identiti. Menurut beliau terdapat dua makna perkataan tersebut, iaitu pertama makna dari segi sosiobudayanya sebagai identiti atau jati diri bangsa atau kumpulan etnik. Setiap bangsa atau kumpulan etnik mempunyai jati diri masing-masing, termasuklah bangsa Melayu. Beberapa tanda yang menunjukkan atau menjadi petanda jati diri sesuatu bangsa atau etnik ialah bahasa, budaya, sejarah keturunan nenek moyang, dan agama. Oleh itu, jati diri dari segi makna sosiobudaya merupakan takrif antropologi atau takrif budaya, bukan takrif politik.

Makna yang kedua, jati diri negara yang dapat dilihat berdasarkan institusi-institusi tertentu negara atau berdasarkan lambang-lambang tertentu. Misalnya, bendera kebangsaan dan lagu kebangsaan negara itu, yang tidak sama dengan bendera atau lagu kebangsaan negara lain. Beberapa institusi sosiopolitik negara juga dapat digunakan untuk mengenal atau mentakrif jati diri negara. Misalnya di Malaysia, institusi raja, iaitu institusi Yang di-Pertuan Agong merupakan institusi yang melambangkan identiti atau jati diri Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat. Institusi lain termasuk institusi undang-undang, kehakiman, keselamatan dalam negeri dan pertahanan, serta yang paling penting, institusi atau dasar bahasa kebangsaan. Semua institusi tersebut menandakan kedaulatan negara sebagai kesatuan politiko-geografi-legalistik yang bebas.

Demikianlah antara lain tanda jati diri atau identiti Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat yand dikupas oleh Dato’ Dr. Hassan Ahmad. Selain pernah menjadi Ketua Pengarah DBP (1976 – 1988), beliau kini bertugas sebagai Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, sebuah badan yang terlibat dalam usaha membiayai kajian dan penerbitan karya-karya agung klasik Melayu di rantau berbahasa Melayu.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1051364
    Visit Today : 677
    This Month : 33963
    Total Visit : 1051364
    Hits Today : 2046
    Total Hits : 4316507
    Who's Online : 5
  • Kategori