Oleh NURUL JULIA ALANI HENRY

INSTITUT Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Pusat Kebudayaan UKM mengadakan Siri Wacana ATMA yang bertajuk “Kelestarian Pantun: Generasi Baru, Persembahan Baru” pada 25 April 2018 bertempat di Bilik Majlis, Bangunan Canselori, UKM.

Ahli panel bergambar bersama-sama Prof. Dr. Sufyan Hussin, Pengarah ATMA, UKM.

Ahli panel bergambar bersama-sama Prof. Dr. Sufyan Hussin (tengah), Pengarah ATMA, UKM.

Wacana yang dipengerusikan oleh Prof. Dr. Sufyan Hussin, Pengarah ATMA ini menampilkan tiga pembicara berwibawa dalam dunia pantun, iaitu Dr. Harun Mat Piah, Mantan Timbalan Pengarah ATMA, Prof. Madya Dato’ Paduka Dr. Mohd Rosli Saludin dari Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Haji Chuari Selamat, Mantan Pengurus Radio Klasik Nasional, RTM.

ATMA turut mengundang Dato’ Suhaimi Mohd Zain atau lebih terkenal dengan panggilan Pak Ngah, komposer yang mengubah lagu-lagu berentak tradisional dan etnik untuk bersama-sama dengan kumpulan kebudayaan UKM bagi membuat persembahan lagu berirama tradisional sebagai selingan dalam wacana ini. Selain itu, selaku Raja Teromba, Prof. Madya Dato’ Paduka Dr. Mohd Rosli Saludin juga turut mempersembahkan teromba yang diberikan nafas baharu, iaitu menyampaikan teromba mengikut irama muzik rap.

Mengakui bahawa pantun masih dan tetap relevan pada masa ini, Dr. Harun Mat Piah selaku tokoh pantun dalam dunia akademik berharap agar generasi muda mengekalkan aspek estetika dan etika apabila berpantun. Yang penting, jangan merosakkan keindahan pantun dengan mencipta pantun menggunakan kata-kata yang “tidak senonoh” ataupun bahasa rojak. Saranan beliau selaku tokoh pantun dalam dunia akademik, “ciptalah pantun sesuai dengan pengalaman dan perkembangan semasa. Utamakan fungsi pantun dalam konteks dan suasana berkenaan termasuk sasaran khalayak pendengar.” Dr. Harun Mat Piah turut berkongsi serangkap pantun lama yang kaya dengan perlambangan, iaitu:

            Rumah kecil tiang seribu,

                        Rumah besar tiang sebatang;

            Semasa kecil ditimang ibu,

                        Sudah besar ditimang gelombang.

 

Banyak unsur perlambangan dalam rangkap pantun tersebut, iaitu rumah kecil tetapi tiangnya seribu (yang bermaksud banyak) manakala rumah besar bertiang satu sahaja. Baris “suah besar ditimang gelombang” pula merujuk anak yang dulunya di bawah jagaan dan kasih sayang ibu bapa tetapi apabila sudah besar (yang bermaksud sudah berkahwin) akan hidup bersama pasangan hidup dan menempuh pelbagai dugaan dan cabaran dalam kehidupan berumah tangga.

Raja Teromba sedang berteromba mengikut rentak rap.

Raja Teromba sedang berteromba mengikut rentak rap.

Prof. Madya Dato’ Paduka Dr. Mohd Rosli Saludin membuka bicaranya dengan berteromba yang telah menjadi mainan mulutnya sejak 56 tahun. Menurut beliau, pantun itu sesuatu yang berseni dan indah, hasil gabungan frasa “sopan dan santun”. Beliau juga mengingatkan golongan muda agar tidak melihat pantun secara selapis sahaja tetapi memahami makna pantun itu secara tersirat. Beliau yang sering ditugaskan untuk menulis teks ucapan menyatakan pantun zaman moden yang dihasilkan oleh generasi muda hari ini tidak berseni tetapi ada kreativiti. Pantun moden juga tidak berlatarbelakangkan tradisi, yang bermaksud kurang menggunakan kosa kata berasaskan loghat atau bahasa daerah. Contohnya, generasi muda pasti tidak pandai menggunakan kosa kata seperti sawai, keling kiat, tunjuk langit dan sebagainya untuk mencipta pantun.

Walaupun berkecimpung lama dalam dunia penerbit rancangan dan juruhebah radio, Haji Chuari Selamat juga sering dilantik sebagai hakim untuk mengadili aspek bahasa dalam pertandingan pantun. Bersandar pada pengalaman itu, beliau memberitahu bahawa pantun amat berkesan digunakan untuk memuji pemimpin yang dihormati, meredakan dua pihak yang bertelagah, mendamaikan suami isteri yang berada di ambang perceraian dan sebagai senda gurau semasa menyampaikan ucapan dalam sesuatu majlis. Ada juga pantun yang dilabel sebagai “stok pantun lama” kerana diingati dan dihafal oleh sesiapa sahaja dan akan dilantunkan jika ketandusan idea untuk mencipta pantun dalam sesuatu acara atau majlis. Contoh pantun tersebut ialah:

            Pisang emas dibawa belayar,

                        Masak sebiji di atas peti;

            Hutang emas boleh dibayar,

                        Hutang budi dibawa mati.

Pantun lama ini juga telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris sebagaimana yang terdapat dalam karya A. W. Hamilton  dan Winstedt, iaitu:

            With golden plaintains sail away,

                        Whilst on a chest lies one that’s ripe;

            The debts of gold we can repay,

                        But debts of kindness last through life.

Wacana yang berlangsung selama dua jam setengah ini mendapat sambutan daripada golongan muda. Yang menariknya, sesi bicara oleh setiap ahli panel diselang-seli dengan persembahan lagu klasik dan tradisional yang liriknya berasaskan pantun lama. Tetamu yang turut menyegarkan wacana kelestarian pantun ini ialah Sasterawan Negara, Muhammad Haji Salleh dan Hairul Anwar Harun, penulis lirik lagu Cindai nyanyian Siti Nurhaliza.

Hazra, artis naungan Pak Ngah Production memukau hadirin dengan suaranya yang merdu mengalunkan lagu Melayu tradisional.

Hazra, artis naungan Pak Ngah Production memukau hadirin dengan suaranya yang merdu mengalunkan lagu Melayu tradisional.

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1070360
    Visit Today : 237
    This Month : 18613
    Total Visit : 1070360
    Hits Today : 1005
    Total Hits : 4400159
    Who's Online : 8
  • Kategori