Oleh FATHINABILA ABDULLAH

Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj sedang menyampaikan titah.

Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj sedang menyampaikan titah.

TARIKH 26 April 2018 merupakan hari bersejarah buat warga Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kerana dikunjungi oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bersempena Majlis Titah Diraja. Majlis ini diadakan di Auditorium DBP, Kuala Lumpur.

Datuk Haji Abdul Adzis Abas menyambut ketibaan Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj.

Datuk Haji Abdul Adzis Abas menyambut ketibaan Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh YBhg. Datuk Haji Abdul Adzis Abas, Ketua Pengarah DBP. Beliau bersyukur atas keberangkatan DYMM ke DBP yang menunjukkan keprihatinan baginda terhadap perkembangan bahasa dan sastera di Malaysia.

“Wasiat Raja-raja Melayu dalam persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957 menunjukkan betapa pentingnya institusi raja dalam negara ini,” ujar beliau. Beliau menambah, “Penetapan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara ini pula adalah salah satu daripada tujuh Wasiat Raja-raja Melayu tersebut. Lantaran itu, pelibatan institusi diraja amat menepati konsep ketuanan Melayu dengan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.”

Majlis diteruskan dengan titah yang bertajuk “Institusi Raja Melestarikan Jati Diri Negara” oleh DYMM Pemangku Raja Pahang. Dalam titahnya, Tengku menyatakan bahawa majlis tersebut merupakan manifestasi peranan dan tanggungjawab institusi raja dalam memenuhi sebahagian daripada Wasiat Raja-raja Melayu, di samping mengekalkan tradisi dan peranan istana terhadap perkembangan dan pelestarian agama dan bahasa. Baginda percaya bahawa institusi raja sentiasa berusaha mewujudkan komuniti cendekiawan dan pemikir yang mempunyai reputasi antarabangsa, sama ada melalui karya penulisan kesarjanaan mahupun penemuan penyelidikan.

Titah baginda lagi, penobatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi ini terdorong oleh idealisme untuk memupuk rasa kekitaan dan rupa bangsa yang bersatu. Hal yang merunsingkan baginda adalah, dari segi kulit, pengisian dan pemantapan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan berada pada tahap baik tetapi penerimaan masyarakat secara keseluruhannya belum berada pada tahap yang sepatutnya.

Persembahan silat dipertontonkan kepada DYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj.

Persembahan silat dipertontonkan kepada Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj.

“Keadaan ini disebabkan oleh landasan bahasa Inggeris secara global yang memberikan kesan juga terhadap perkembangan bahasa kebangsaan di negara ini,” baginda menambah. Baginda berpendapat, persoalan mendaulatkan bahasa Melayu bukanlah persoalan penyatuan dan perpaduan semata-mata atau ketaksuban kita terhadap kegemilangan bahasa Melayu pada masa lampau malah tentang pembentukan jati diri sebagai benteng terakhir yang paling ampuh untuk menangani arus deras dunia tanpa sempadan.

Baginda terus bertitah, penguasaan bahasa Melayu yang terhad dalam kalangan orang Melayu sahaja tidak mampu mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa. Potensi bangsa lain yang berpeluang menguasai bahasa Melayu boleh menjadi usaha pemartabatan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa. Antara langkah yang disarankan oleh baginda adalah pewujudan Kursi Pengajian Melayu dan Pengajian Bahasa Melayu di beberapa universiti terkemuka dunia seperti Leiden University, Ohio University, Victoria University of Wellington, Beijing University dan Hankuk University. Selain itu, Pihak Berkuasa Tempatan perlu memastikan bahawa nama jalan, nama kawasan perumahan, papan tanda dan iklan hendaklah mencerminkan jati diri negara bangsa kita sendiri.

Malah, kehadiran pelajar asing di universiti awam dan swasta juga boleh membantu usaha pengembangan bahasa Melayu. Penegasan dasar bahasa dalam perancangan dan pengurusan pendidikan negara perlu dilaksanakan agar dapat menangani isu global seperti pensejagatan ekonomi berasaskan penjanaan ilmu, pengurusan ilmu pengetahuan dan teknologi serta inovasi.

Titah baginda, “Dakwaan yang mengatakan bahawa bahasa Melayu tidah sesuai digunakan dalam bidang sains dan matematik adalah tidak benar.” Hal ini kerana, manuskrip Melayu klasik dalam pelbagai bidang yang dipercayai berjumlah lebih daripada 10,000 naskhah terdapat di pelbagai institusi di dalam dan di luar negara, seperti England, Belanda, Perancis, Jerman, Rusia, India dan Amerika Syarikat. Antara cabang bidang yang terkandung dalam manuskrip tersebut ialah agama Islam, kesusasteraan, sains dan teknologi, matematik, perubatan, maritim, astronomi dan undang-undang.

Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj melihat pameran tentang Raja-raja Melayu.

Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj melihat pameran tentang Raja-raja Melayu.

Dalam pada itu, baginda menyarankan agar kita memelihara jati diri dengan memartabatkan dan memperkasakan semula tulisan Jawi. Antara saranan baginda untuk memartabatkan tulisan Jawi adalah memasukkan pengajaran dan pembelajaran tulisan Jawi dalam mata pelajaran bahasa Melayu.

“Rakyat Malaysia tanpa mengira kaum hendaklah menyokong segala usaha untuk memartabatkan dan memperkasakan tulisan Jawi,” baginda menambah. Baginda mengucapkan tahniah kepada Universiti Putra Malaysia dan Universiti Pendidikan Sultan Idris yang mewajibkan pelajar program bahasa Melayu untuk mengambil kursus tulisan Jawi tanpa mengira bangsa dan agama.

Baginda juga mengucapkan syabas kepada DBP yang telah memperkemas serta mewujudkan keseragaman ejaan Jawi untuk memudahkan orang ramai mempelajari tulisan berkenaan. Hasil kerjasama DBP dengan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, Jabatan Pelajaran, Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah dan Jabatan Agama Islam Pahang berjaya melahirkan 24 orang Munsyi Dewan Jawi dari negeri Pahang. Baginda berharap agar usaha ini diteruskan.

Baginda mengakhiri titah dengan harapan Wasiat Raja-raja Melayu khususnya yang berkaitan dengan kedaulatan raja-raja, agama persekutuan dan bahasa kebangsaan dapat menjamin kesejahteraan rakyat.

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1049064
    Visit Today : 1382
    This Month : 31663
    Total Visit : 1049064
    Hits Today : 5022
    Total Hits : 4304068
    Who's Online : 12
  • Kategori