4. kemahiran literasi asas

Judul buku      : Kemahiran Literasi Asas Kanak-Kanak

Editor              : Lee Lay Wah dan Fadzilah Amzah

Penerbit          : Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun Terbit    : 2018

Pengulas         : Siti Nur Hidayah Othman Bakar

KANAK-KANAK biasanya mempunyai kesedaran untuk berkomunikasi sebagai tanda menzahirkan perkataan dan fikiran. Pengetahuan tentang kemahiran berkomunikasi secara lisan ataupun bukan lisan, iaitu literasi memerlukan daya berfikir yang tinggi. Ilmu literasi ini bermula sejak 50 tahun yang lepas seiring dengan perkembangan dunia pendidikan yang pesat. Secara umumnya, literasi dari segi takrifan merangkumi aspek seseorang itu berupaya untuk membaca, menulis dan berkomunikasi dalam sesuatu bahasa.

Konsep literasi bukan sahaja mahir membaca dan menulis malah berkemahiran sosial untuk membina penguasaan bahasa kanak-kanak. Dengan adanya pendedahan terhadap penggunaan bahasa melalui kemahiran literasi, mereka mampu berfungsi sepenuhnya di dalam komuniti. Pemahaman istilah literasi boleh juga digunakan untuk merujuk kepada pelbagai kemahiran, contohnya kemahiran literasi visual, maklumat serta saintifik.

Kandungan buku Kemahiran Literasi Asas Kanak-kanak ini menerangkan kerangka teori serta definisi literasi asas bahasa kanak-kanak. Perkembangan bahasa kanak-kanak pada peringkat awal telah pun bermula sebelum mereka melalui proses pendidikan yang formal. Interaksi sosial kanak-kanak bersama-sama keluarga dan rakan sepermainan membantu mereka untuk berkembang. Sehubungan dengan hal itu, buku ini selayaknya dijadikan rujukan untuk menambahkan pengetahuan asas proses sosialisasi kanak-kanak.

Selain itu juga, buku ini mendukung prinsip pendidikan untuk semua kanak-kanak bagi mengakui serta menyediakan keperluan pendidikan khas. Teknik pengajaran dan pembelajaran yang tertentu diperlukan untuk melayani kepelbagaian keupayaan kanak-kanak. Yang turut dipaparkan ialah hasil kajian ilmiah untuk menunjukkan bahawa prinsip pengajaran yang baik adalah sama untuk semua kanak-kanak, termasuk kanak-kanak berkeperluan khas.

Dalam konteks literasi kanak-kanak, tidak dinafikan bahawa terdapat kanak-kanak tertentu yang mempunyai perkembangan lewat atau tertangguh yang lebih signifikan, contohnya sindrom down, autisme dan cacat. Selanjutnya buku ini membantu kita untuk menyesuaikan pengajaran mengikut keperluan kanak-kanak. Hal ini demikian kerana perbezaan pengajaran dari segi isi kandungan dan proses mungkin diperlukan untuk mereka menguasai bahasa.

Bahasa dan pertuturan mempunyai hubungan yang rapat dengan penguasaan dan pencapaian literasi. Ibu bapa, guru dan masyarakat sewajarnya menjadikan buku ini bahan bacaan untuk memahami pengetahuan literasi, seterusnya dapat memainkan peranan untuk mengamalkan literasi yang maksimum kepada kanak-kanak.

Penguasaan literasi sangat penting kepada manusia, sama ada mereka insan yang sempurna atau sebaliknya. Begitu juga dengan individu yang mempunyai kecacatan khas. Bimbingan dan sokongan orang dewasa diharapkan bagi menyokong pencapaian matlamat literasi untuk semua kanak-kanak. Konsep kemahiran yang dibincangkan di dalam buku ini serta strategi pengajaran yang dijelaskan dapat diterapkan serta menjadi panduan kepada masyarakat.

Kecekapan literasi kanak-kanak perlu dipupuk sejak awal. Kanak-kanak yang diberikan peluang literasi dan didedahkan dalam persekitaran kaya komunikasi sejak kecil dapat memperlihatkan kematangan dan keterampilan berkomunikasi berbanding dengan mereka yang sebaliknya. Pelbagai kaedah dan cara boleh digunakan untuk meningkatkan kemahiran literasi kanak-kanak. Buku ini juga menjelaskan beberapa kaedah untuk membantu meningkatkan keterampilan literasi kanak-kanak.

Kesedaran penguasaan kemahiran literasi berkait rapat dengan individu yang mempunyai jati diri untuk membina perhubungan dan perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh. Buku ini memberikan peluang kepada kanak-kanak untuk meningkatkan kemahiran. Perkara ini menjadi kepentingan utama bagi semua pihak, terutamanya ibu bapa, guru dan rakan, iaitu orang yang paling dekat dengan kanak-kanak.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1050016
    Visit Today : 861
    This Month : 32615
    Total Visit : 1050016
    Hits Today : 4758
    Total Hits : 4309519
    Who's Online : 14
  • Kategori