Oleh WAN NORASIKIN WAN ISMAIL

DEWAN Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan program kembara ilmu ke Singapura pada 20 Februari hingga 23 Februari 2018. Seramai 20 orang karyawan DBP telah berpeluang untuk mengikuti program kembara ilmu yang julung-julung kali diadakan. Tujuan utama kembara ilmu ini adalah untuk menjalinkan hubungan dan kerjasama profesional berkaitan penyelidikan dengan institusi tertentu di Singapura. Selain itu, kembara ini juga bertujuan untuk membina kepakaran karyawan DBP dalam penelitian manuskrip lama, sastera lisan, sastera moden dan penyelidikan bahasa.

Pelbagai program telah dilaksanakan sepanjang kembara tersebut, antaranya para peserta dibawa melawat pameran Ceritera di Alam Melayu: Manuskrip dan Naskhah yang diadakan di Perpustakaan Nasional Singapura. Pelbagai koleksi manuskrip dan buku sastera lama yang diterbangkan dari Perpustakaan Britain dan Universiti Leiden dipamerkan untuk memberikan peluang kepada pengunjung menyaksikan sendiri khazanah warisan Melayu yang tidak ternilai harganya. Malahan terdapat surat asal kiriman Sultan Pontianak kepada Stamford Raffles yang masih elok terpelihara di Perpustakaan Britain turut dipamerkan.

Keris digunakan untuk mempertahankan diri dan digunakan ketika melawan musuh.

Keris digunakan untuk mempertahankan diri dan digunakan ketika melawan musuh.

Para peserta juga dibawa melawat ke Taman Warisan Melayu yang terletak di Istana Kampung Gelam. Di Taman Warisan Melayu ini sedang berlangsung pameran masyarakat Bugis yang dinamakan Sirri na Pesse yang diterjemahkan sebagai ‘kehormatan dan harga diri’. Pameran Sirri na Pesse merupakan pameran bagi menelusuri identiti masyarakat Bugis di Singapura. Melalui lawatan berpandu, peserta dibawa melawat pameran berkaitan cara hidup, susur galur dan sejarah asal usul masyarakat Bugis melalui perkembangan sejarah dalam dunia Nusantara pada abad ke-18 hingga ke-20. Pameran yangbermula pada 14 Oktober 2017 hingga 24 Jun 2018 ini dianjurkan oleh Taman Warisan Melayu dengan kerjasama masyarakat Bugis Singapura. Pelbagai barangan dan ciri-ciri masyarakat Bugis dipamerkan, antaranya makanan, pakaian, adat resam dan perkahwinan. Terdapat juga pelbagai senjata orang Bugis seperti keris dan senjata lain yang digunakan untuk mempertahankan diri dan digunakan ketika melawan musuh.

Masyarakat Bugis terkenal dalam aktiviti pelayaran, malahan pelaut Bugis telah mengembangkan suatu kebudayaan maritim sejak beberapa abad yang lalu (Rafiudin Afkari, 2011). Dalam masyarakat Bugis, kegiatan pelayaran, mengembara, berdagang dan merantau merupakan tradisi mereka. Perahu orang Bugis seperti phinisi dan lambo merupakan kapal layar yang gah dan digunakan untuk berdagang dan merantau.

Pameran ini turut mempamerkan sepucuk surat kepada Gabenor-Jeneral India pada tahun 1800 yang menyatakan: “Pada abad ke-19, Bugis memperoleh reputasi sebagai ‘orang yang sangat dipercayai’ di rantau ini sehingga British mendapati bahawa tanpa mereka adalah mustahil untuk terus berurusan di rantau ini” (Massita Ahmad, 2017). Kenyataan ini membuktikan bahawa masyarakat Bugis memainkan peranan penting sebagai pengantara perdagangan bagi penjajah Eropah dengan masyarakat tempatan. Pada ketika itu, peniaga Bugis digambarkan sebagai pengembara yang berpengalaman di rantau ini, di samping pelaut dan pedagang yang ulung.

Tuhfat al-Nafis.

Tuhfat al-Nafis.

Yang turut dipamerkan ialah buku Tuhfat al-Nafis atau “hadiah yang berharga”, karangan Raja Ali Haji yang dikarang pada abad ke-19. Terdapat juga Hikayat Bugis yang ditulis pada abad ke-19 yang menceritakan kehidupan diraja, pahlawan dan individu terkemuka yang lain dengan menggunakan tulisan lontara. Tulisan lontara merupakan aksara penulisan yang biasa digunakan untuk pelbagai bahasa di Sulawesi. Tulisan ini digunakan untuk merekodkan dan menyalin dokumen-dokumen politik dan perdagangan seperti surat perjanjian, hukum perdagangan, peta dan buku catatan harian.

Hikayat Bugis.

Hikayat Bugis.

Dalam pameran itu juga dipamerkan buku Perbendaharaan Kata Bahasa Inggeris, Bahasa Bugis, Bahasa Melayu yang mengandungi kira-kira 2000 patah perkataan yang diterbitkan oleh Mission Press. Selain itu, terdapat juga sebuah peti tembaga Makassar yang dilengkapi petak untuk mengisi barang perhiasan, senarai terperinci barang kemas dan nota pemiutang yang dipamerkan di galeri tersebut.

Masyarakat Bugis telah menjadi sebahagian daripada sejarah Singapura yang kaya dengan khazanahnya yang unik. Ternyata pameran Sirri na Pesse berjaya menyingkap pelbagai aspek kehidupan masyarakat Bugis yang telah mengukir nama sebagai bangsa yang gagah dan berani, pahlawan yang hebat, sebagai kerabat diraja yang bercita-cita tinggi dan pedagang yang Berjaya.

Gambar: Ehsan Muzium Taman Warisan Melayu Singapura.

 

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1073187
    Visit Today : 323
    This Month : 21440
    Total Visit : 1073187
    Hits Today : 1116
    Total Hits : 4413358
    Who's Online : 12
  • Kategori