Oleh HASNI JAMALI

PADA 5 April 2018, bersempena dengan acara Santai Bahasa anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Sarang Art Hub telah berlangsung forum “Bahasa dalam Filem: Kreativiti dan Impak kepada Sosial” di Sarang Art Hub, Tanjung Malim, Perak. Forum ini dipengerusikan oleh Pengasas Legasi Oakheart, Encik Hafiz Latiff dan dibarisi para panel berpengalaman dalam bidang perfileman, iaitu Encik A. Wahab Hamzah, aktivis seni yang juga merupakan Pengarah DBP Wilayah Utara, Encik U-Wei Haji Saari dan Encik Mamat Khalid, sutradara terkemuka tanah air dan Encik Sabri Yunus, pelakon dan juga sutradara.

Antara tetamu yang hadir dalam forum tersebut.

Antara tetamu yang hadir dalam forum tersebut.

Sebagai pembuka tirai forum, pengerusi membuka pertanyaan kepada khalayak tentang sebab dan pilihan yang membawa mereka ke panggung untuk menonton filem. Khalayak forum memilih dua sebab utama, iaitu pelakon dan jalan cerita. Hari ini, kesan dan gaya kepengarahan juga menjadi penggerak utama penonton filem memilih untuk menikmati karya pengarah kegemaran mereka. Manakala bahasa pula menjadi pilihan sampingan yang tidak kurang pentingnya kepada penggiat seni layar perak.

Menurut Asiah Sarji (1996), dalam Pola Pengamalan Profesionalisme dalam Industri Filem Malaysia, filem boleh ditakrifkan sebagaiimej yang terhasil dalam bentuk visual bergerak yang mengandungi unsur-unsur penceritaan yang ditulis, diolah dalam bentuk dialog, visual dan bunyi, yang kemudiannya dirakamkan menggunakan kamera, diolah dengan menggunakan berbagai-bagai kepentingan dan matlamat untuk dipamerkan secara tayangan di panggung dan televisyen.

Encik A. Wahab Hamzah, aktivis seni yang juga merupakan Pengarah DBP Wilayah Utara turut dijemput menjadi ahli panel dalam forum tersebut.

Encik A. Wahab Hamzah, aktivis seni yang juga merupakan Pengarah DBP Wilayah Utara turut dijemput menjadi ahli panel dalam forum tersebut.

Gambaran dan pengertian tentang filem ini memberikan peluang kepada pengerusi mengajukan persoalan kepada A. Wahab tentang sejauh manakah filem mampu menjadi wahana yang berpengaruh dalam menyebarkan bahasa yang memberikan impak kepada khalayak. Kata A. Wahab, filem merupakan seni persembahan visual yang datangnya bersama-sama pemikiran dalam olahan cerita yang dilengkapkan oleh bahasa atau dialog melalui penghasilan skrip. Kesannya terhadap masyarakat boleh dilihat melalui penggunaan bahasa atau lontaran dialog oleh para watak yang pada akhirnya mampu melambangkan budaya dan imej tersendiri.

Sabri berkongsi pengalaman tentang realiti pembentukan watak yang mewakili budaya dalam sesebuah karya. Melalui drama komedi bersiri Pi Mai Pi Mai Tang Tu misalnya, beliau berpandangan bahawa drama ini berjaya menampilkan kepelbagaian budaya yang sebenarnya wujud di kota raya yang besar.

Mamat mengulas bahawa adunan laras bahasa yang digunakan dalam filem adalah berdasarkan dialog yang relevan dengan penceritaan. Keberkesanan dialog yang menjadi dan memberikan impak kepada masyarakat, turut dipengaruhi oleh keberkesanan lontaran vokal dan gaya persembahan pelakon itu sendiri dalam membawa watak dan perwatakan. Mamat turut menyatakan bahawa antara dialog yang berkesan hingga hari ini ialah dialog yang terdapat dalam filem-filem Allahyarham P. Ramlee.

Para peserta tekun mendengar pandangan U-Wei tentang bahasa dalam filem.

Para peserta tekun mendengar pandangan U-Wei tentang bahasa dalam filem.

U-Wei menjelaskan bahawa bahasa dalam filem tidak terhad kepada dialog semata-mata tetapi juga dilihat daripada pelbagai sudut, antaranya sudut sinematografi, simbolik, kostum, perubahan warna dan sudut kamera. Keseluruhan sudut atau elemen ini lebih dikenal sebagai bahasa filem yang mempunyai keistimewaannya tersendiri.

Sabri pula menekankan bahawa unsur dan nilai budaya dalam latar tempat yang dipilih sebagai lokasi cerita perlu diterapkan agar cerita lebih realistik dan logik. Hal ini mampu mengangkat bahasa (dialek) dan budaya setempat sekali gus memperkenalkan penonton kepada dialek dan budaya yang ditampilkan.

Encik Mamat Khalid, sutradara terkemuka tanah air.

Encik Mamat Khalid, sutradara terkemuka tanah air berpendapat bahawa dialog filem yang berkesan hingga hari ini ialah dialog yang terdapat dalam filem-filem Allahyarham P. Ramlee.

Menyentuh tentang penggunaan bahasa apabila filem tempatan mahu dibawa ke peringkat antarabangsa pula, Mamat berpendapat bahawa bahasa tempatan tidak sesekali mengganggu prestasi dan kualiti cerita. Hal ini disokong oleh U-Wei bahawa filem yang bersifat tempatan lebih diterima malah diiktiraf untuk pasaran antarabangsa kerana faktor budaya dan bahasanya yang istimewa dan tersendiri.

Majlis penyampaian cenderamata telah disempurnakan oleh Encik Azmi bin Ibrahim, Ketua Editor Bahagian Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Majlis penyampaian cenderamata telah disempurnakan oleh Encik Azmi bin Ibrahim, Ketua Editor Bahagian Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Bagi memberikan impak positif kepada sosial melalui tayangan filem, akhirnya hal ini berbalik semula kepada peranan penulis skrip yang harus menghasilkan jalan cerita yang baik dan menggunakan bahasa yang betul. Pengarah juga turut berperanan penting dalam mengolah dan memandu para pelakon agar dapat melontarkan pengucapan dialog yang betul dan menzahirkan layar cerita yang terbaik.

Forum ditutup dengan harapan dan pesanan daripada setiap panel kepada pengkarya yang baru hendak bermula. Kata mereka, karya yang dihasilkan dengan menggunakan bahasa yang baik mampu menjamin keberkesanan dan memberikan impak positif kepada penonton.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1070923
    Visit Today : 800
    This Month : 19176
    Total Visit : 1070923
    Hits Today : 4884
    Total Hits : 4404038
    Who's Online : 12
  • Kategori