Peserta Minggu Penulis Remaja (MPR) 2018 bergambar kenangan bersama-sama tetamu kehormat.

Peserta Minggu Penulis Remaja (MPR) 2018 bergambar kenangan bersama-sama tetamu kehormat.

Oleh SITI IRNI YUSLINDA BINTI MOSMAN 

PADA 17 hingga 22 Mac 2018 yang lalu, bertempat di Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Teknik, Kompleks Pendidikan Nilai, Negeri Sembilan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan Minggu Penulis Remaja (MPR) 2018. Program ini telah berjaya menghimpunkan 16 orang peserta untuk mengasah bakat dalam penulisan cerpen dan puisi.

Puan Padilah Haji Ali, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP ketika menyampaikan ucapan penangguhan Program MPR 2018.

Puan Padilah Haji Ali, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP ketika menyampaikan ucapan penangguhan Program MPR 2018.

Program yang diadakan sejak tahun 1985 ini telah mencapai usia 33 tahun penganjurannya pada tahun 2018. Sehigga kini, MPR telah berjaya melahirkan ramai penulis berbakat besar seperti Shamsudin Othman, Rahimidin Zahari, Zaen Kasturi, Mohd Lutfi Ishak, Faisal Tehrani, Salina Ibrahim dan Zaid Akhtar. Pelaksanaan program ini pada setiap tahun diharapkan dapat memperkasakan dan memartabatkan bahasa dan sastera Melayu.

Antara objektif utama MPR ini adalah untuk mengenal pasti penulis remaja yang berpotensi dan berbakat untuk dibimbing secara terarah dalam bidang penulisan cerpen dan puisi. Selain itu, peserta juga diberi motivasi untuk menghasilkan karya yang bermutu dengan cara melatih mereka berfikir secara kreatif, kritis dan peka dengan isu semasa dan keadaan sekeliling.

Nisah Haron selaku pembimbing bagi genre cerpen dan Hani Salwah Yaakup selaku pembimbing untuk genre puisi,

Nisah Haron selaku pembimbing bagi genre cerpen dan Hani Salwah Yaakup selaku pembimbing untuk genre puisi,

MPR 2018 membariskan pembimbing yang berpengalaman dan merupakan alumni MPR, iaitu Nisah Haron bagi genre cerpen dan Hani Salwah Yaakup bagi genre puisi. Slot bersama-sama tokoh pula diisi oleh mantan peserta MPR 2002, Mohammad Hafiz Abdul Latiff yang kini aktif menguruskan Kedai Buku Maya. Selain itu, peserta turut diberi panduan, pendedahan dan peluang untuk menerbitkan karya dalam majalah terbitan DBP. Slot ini dikendalikan oleh editor majalah Tunas Cipta, Yusaida Yusof.

Sepanjang sesi bengkel, karya peserta telah dikritik dan dibedah oleh pembimbing untuk ditambah baik daripada aspek laras bahasa, susunan plot cerita, maksud tersirat dan sebagainya. Pendekatan yang digunakan ini dapat membantu peserta mempertajam persepsi dan kreativiti untuk berfikir di luar kotak dan bersedia menerima kritikan untuk menghasilkan karya yang bermutu dan mempunyai nilai. Pada hari terakhir, semua peserta berjaya menghasilkan dua buah cerpen dan enam buah puisi untuk didokumentasikan sebagai hasil akhir program.

Hafizol Hakami Yahaya terpilih sebagai peserta terbaik cerpen.

Hafizol Hakami Yahaya terpilih sebagai peserta terbaik cerpen.

Majlis Penyampaian Sijil Penyertaan dan Ucapan Penangguhan Program MPR 2018 telah disempurnakan oleh Puan Padilah Haji Ali, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP. Dalam majlis tersebut, peserta dari Terengganu, Hafizol Hakami Yahaya telah dipilih sebagai peserta terbaik cerpen, manakala Muhammad Ariff Zulkifli dari Kuala Lumpur pula, dipilih sebagai peserta terbaik puisi.

Muhammad Ariff Zulkifli terpilih sebagai peserta terbaik puisi.

Muhammad Ariff Zulkifli terpilih sebagai peserta terbaik puisi.

Program ini diharapkan dapat melahirkan penulis pelapis yang berkualiti dan mapan, yang mampu menggalas tanggungjawab membawa sastera Malaysia ke tahap yang lebih baik.

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1048013
    Visit Today : 331
    This Month : 30612
    Total Visit : 1048013
    Hits Today : 709
    Total Hits : 4299755
    Who's Online : 16
  • Kategori