Oleh FATHIN NABILA ABDULLAH

Barisan panel Bicara PEM. Dari kiri Syed Muhammad Faiz, Mohd Rozlan, dan Poh Swee Hiang.

Barisan panel Bicara PEM. Dari kiri Syed Muhammad Faiz, Mohd Rozlan dan Poh Swee Hiang.

PERSATUAN Editor Malaysia (PEM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Buku Sekolah telah mengadakan program Bicara PEM bertajuk “Penerbitan Digital: Peluang dan Cabaran” pada pukul 9.15 pagi, 20 Februari 2018 di Stor Teater DBP. Program tersebut mengetengahkan pembicara daripada pemain industri penerbitan, iaitu Tuan Syed Muhammad Faiz Syed Mansur al-Shahab, Pengarah Urusan, Xentral Methods Sdn. Bhd. dan Encik Poh Swee Hiang, Pengarah Penerbitan, Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd. Pemudah cara program tersebut ialah Encik Mohd Rozlan Mohamed Noor, Ketua Jabatan Buku Malaysia, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM). Program tersebut dihadiri oleh ahli PEM, wakil penerbit, staf ITBM, wakil universiti dan staf DBP.

Sebahagian daripada khalayak yang mengikuti program Bicara PEM.

Sebahagian daripada khalayak yang mengikuti program Bicara PEM.

Program Bicara PEM diadakan sebagai suatu usaha untuk menyatupadukan editor dan membina serta memperkukuh profesionalisme editor melalui penganjuran forum dan program ilmu. Sesuai dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi, tajuk yang dikupas dalam Bicara PEM pada kali ini berkisar tentang perubahan landskap dunia penerbitan, iaitu penerbitan digital. Melalui gelombang penerbitan digital, semua pihak yang berkecimpung dalam dunia penerbitan, terutama editor diharapkan dapat mengambil peluang untuk memanfaatkan teknologi bagi meningkatkan profesionalisme editor. Walaupun terdapat pelbagai cabaran dalam dunia penerbitan digital, para penerbit perlu bersedia untuk membuat perubahan dalam organisasi supaya tidak ketinggalan dalam arus pemodenan.

Syed Muhammad Faiz memulakan sesi dengan menyatakan pandangan beliau terhadap industri penerbitan digital yang semakin pesat membangun dan hal ini merupakan cabaran kepada mereka yang terlibat dalam industri penerbitan termasuklah editor. Jika bicara beliau memberikan pandangan mata helang kepada industri penerbitan buku digital, Encik Poh pula memfokuskan penerbitan digital dalam pendidikan, iaitu buku teks digital interaktif.

Sesi soal jawab.

Sesi soal jawab.

“Kita kini berada dalam gelombang kedua pembangunan buku teks digital interaktif dan gelombang kedua ini akan dimasukkan beberapa aspek digital seperti video dan audio melalui imbasan kod QR,” ulas Poh. Kata Poh lagi, “Buku teks akan wujud dalam bentuk digital sahaja menjelang tahun 2021.”

Poh menyarankan editor dan penulis supaya meletakkan diri sebagai pengguna. bagi memastikan sesuatu produk itu menepati piawaian yang ditetapkan dengan cara menyelami hati pengguna. Daripada situ, editor dan penulis dapat mengetahui keperluan dan keinginan pengguna terhadap sesuatu produk yang dihasilkan.

Nilai terhadap isi kandungan digital juga harus dititikberatkan demi memastikan kualiti isi kandungan tersebut terpelihara walaupun diterbitkan dalam bentuk digital. Hal ini demikian kerana pihak editor dan penulis berhadapan dengan pendapat orang awam terhadap karya yang dihasilkan.

Apabila berbicara tentang penerbitan digital, kita akan berhadapan dengan persoalan harta intelek. Pendidikan tentang harta intelek harus diterapkan dalam diri masyarakat supaya mereka tidak sewenang-wenangnya menggunakan sesuatu karya tanpa batasan. Inilah yang menjadi cabaran kepada penerbit buku. Cabaran lain adalah istilah percuma yang selalu dikaitkan dengan internet.

Abdul Rahim Omar, Presiden PEM, sedang menyampaikan cenderamata.

Abdul Rahim Omar (dua dari kiri), Presiden PEM, sedang menyampaikan cenderamata.

Kesimpulannya, digital ialah masa hadapan dunia penerbitan. Para editor perlu peka terhadap perkembangan multimedia kerana kelak itulah yang akan menjadi aset kepada editor dan seterusnya memberikan peluang kepada industri perbukuan untuk menghasilkan bahan terbitan digital selaras dengan pembangunan teknologi semasa sekali gus memenuhi keperluan pengguna.

 

 

 

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1050319
    Visit Today : 1164
    This Month : 32918
    Total Visit : 1050319
    Hits Today : 6758
    Total Hits : 4311519
    Who's Online : 12
  • Kategori