Oleh DR. AWANG SARIYAN

 

Dr. Awang Sariyan

DARIPADA sudut martabat bahasa Melayu pula, memang sewajarnya pelajar asing diwajibkan mengikuti kursus bahasa Melayu kerana bahasa Melayu merupakan bahasa negara, yang sekali gus pula menjadi bahasa komunikasi dalam urusan rasmi, bahasa utama pendidikan dan bahasa perhubungan umum yang utama di negara ini. Di negara-negara lain, memang menjadi dasar negara bahawa pelajar asing perlu menguasai bahasa kebangsaan negara berkenaan, seperi di Jepun, Jerman, Korea dan Republik Rakyat China. Di negara China, pelajar diwajibkan mengikuti kursus bahasa Mandarin selama satu tahun.

Selain memberikan manfaat kepada pelajar-pelajar itu sendiri, usaha mewajibkan bahasa Melayu kepada pelajar asing secara tidak langsung memungkinkan bahasa Melayu tersebar dan dikenal dengan lebih meluas di negara-negara asal pelajar itu. Kemungkinan pembukaan kelas bahasa Melayu di negara berkenaan, diadakan untuk keperluan ekonomi, minat, diplomasi atau yang lain, senantiasa ada. Peluang ini wajar dimanfaatkan oleh Kedutaan Malaysia di luar negara untuk mempromosikan bahasa dan budaya Melayu, sebagaimana yang dilakukan oleh Indonesia yang amat menitikberatkan peranan atase pendidikan dan kebudayaannya.

Saya masih ingat bagaimana minat dan kesedaran Duta Malaysia di Sri Lanka, Datuk Iskandar Sarudin pada sekitar tahun 2000-2004 terhadap bahasa dan budaya Melayu telah memungkinkan kelas bahasa Melayu diadakan di Kedutaan dengan isteri salah seorang pegawai Kedutaan menjadi munsyinya, dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) membantu penyediaan modul dan bahan pengajaran. Apabila DBP mengadakan kursus untuk munsyi antarabangsa, beberapa orang lulusan kursus bahasa Melayu di Sri Lanka ikut serta dan kini merekalah yang menjadi munsyi bahasa Melayu bagi waris-waris Melayu di negara tersebut mempelajar bahasa Melayu.

Berbalik kepada pengumuman Menteri Pengajian Tinggi, sebenarnya keputusan mewajibkan pelajar asing mengikuti kursus bahasa Melayu telah dibuat lama dahulu sebagai susulan lulusnya Akta Pendidikan 1996 di Parlimen. Pada waktu itu Kementerian Pendidikan (yang turut bertanggungjawab dalam ehwal pengajian tinggi), melalui Pusat Perkembangan Kurikulum telah membentuk panel penyusun sukatan kursus. Prof. Dr. Nik Safiah Karim dan saya sendiri dilantik menduduki panel tersebut, dan dua set sukatan kursus telah dihasilkan. Set pertama untuk pelajar Malaysia sebagai usaha meningkatkan dan memantapkan penguasaan bahasa Melayu tinggi (bahasa ilmiah) mereka di IPT. Set kedua untuk pelajar luar negara yang tertumpu lebih kepada komunikasi asas.

Saya menggunakan pengalaman saya ketika ikut serta menggubal sukatan kursus bahasa Melayu untuk pelajar Malaysia dan pelajar luar negara sewaktu diminta oleh Kementerian Pendidikan Malaysia berkhidmat di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) pada tahun 1988. Di UIAM, pelajar asing diwajibkan mengikuti kursus bahasa Melayu dalam dua semester, dan Alhamdulillah mereka dapat berinteraksi dengan masyarakat setempat dengan baik. Saya masih ingat En. Hishamudin Sujak yang ketika itu bertugas di Kedutaan bercerita kepada saya betapa terkejutnya ia apabila disapa oleh beberapa orang gadis di Mauritius dalam bahasa Melayu. Rupa-rupanya mereka itu bekas pelajar UIAM yang apabila bersua dengan orang Malaysia langsung teruja untuk berbahasa Melayu! Saya kurang tahu perkembangan mutakhir di UIAM, tetapi yakin bahawa dasar yang mula dilaksanakan pada sekitar tahun 1988 itu telah menjadi nilai tambah yang cukup bererti kepada pelajar universiti tersebut. Mudah-mudahan tidak ada mana-mana pihak yang memansuhkannya! Saya kurang maklum tentang apakah yang terjadi kepada sukatan kursus bahasa Melayu yang telah disusun oleh Pusat Perkembangan Kurikulum dengan bantuan pakar-pakar bahasa. Yang jelas pada saya adalah oleh sebab keputusan mewajibkan pelajar asing (dan juga pelajar setempat) mengikuti kursus bahasa Melayu di IPT tidak dilaksanakan, maka pastilah sukatan pelajaran itu tidak dapat dimanfaatkan. Ketika sedang hangat Akta Pendidikan 1996 dibincangkan pada waktu itu, seingat saya ada tiga kursus wajib yang diputuskan perlu diikuti oleh pelajar asing di negara ini, iaitu Bahasa Melayu, Kenegaraan Malaysia dan Moral.

Amat jelas bahawa ketiga-tiganya tidak dilaksanakan, entah atas alasan apakah terjadinya demikian? Hanya yang saya ingat, dalam salah satu persidangan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di Hotel Legend, Kuala Lumpur pada sekitar hujung tahun 1990-an, bergema suara daripada kebanyakan pengendali IPTS yang mengatakan bahawa keutamaan mereka ialah subjek akademik dan kemahiran khusus yang ditawarkan, bukan soal bahasa, ehwal kenegaraan dan moral. Saya sendiri membangkitkan bantahan terhadap sikap sebahagian besar wakil IPTS dalam persidangan itu, tetapi mereka tampaknya seakan-akan mendapat dukungan pihak berwajib dalam mengingkari dasar pendidikan negara. Tidak ada IPTS yang ditegur, diberi amaran atau dikenakan tindakan kerana tidak mewajibkan pengajaran tiga kursus tersebut.

Walau bagaimanapun saya mengucapkan syabas kepada IPTS yang merupakan institusi di bawah syarikat kerajaan, seperti Universiti Multimedia, Universiti Tenaga Nasional, Universiti Petronas dan beberapa IPTS lain yang melaksanakan keputusan tersebut.

Oleh itu, pengumuman Menteri Pengajian Tinggi itu perlu disusuli dengan sesegera yang mungkin oleh pentadbiran di Kementerian berkenaan kerana yang beliau timbulkan sebenarnya adalah dasar yang sedia ada, tetapi dialpakan dan diabaikan oleh IPT dan pihak berwajib yang sepatutnya memantau pelaksanaan dasar tersebut. Pada hemat saya, tidak perlu waktu dibazirkan dengan alasan hendak melakukan kajian terlebih dahulu atau atas alasan yang seumpama itu kerana pelaksanaan dasar tersebut tidak memerlukan suatu penyediaan prasarana atau keperluan yang begitu sulit. Hanya dengan memasukkan ketiga-tiga kursus wajib itu, termasuk bahasa Melayu dalam kurikulum IPT, langkah melantik tenaga pengajar dapat terus dilaksanakan. Pengalaman Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mempunyai kursus seumpama itu di insitusi pengajian umumnya, yang wajib diikuti oleh pelajar asing dapat dimanfaatkan. Demikian juga halnya dengan pengalaman UIAM, Universiti Multimedia, Universiti Tenaga Nasional dan beberapa IPT lain.

Pelaksanaan kursus bahasa Melayu wajib sebagaimana yang ditegaskan oleh Menteri Pengajian Tinggi itu tidak pula harus dilihat sebagai berkaitan dengan IPTS sahaja. Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sendiri mempunyai sejumlah pelajar asing. Semua IPTA perlu diberi penegasan supaya mewajibkan pelajar asing mengikuti kursus bahasa Melayu. Setahu saya, UKM dan Universiti Putra Malaysia (UPM) melaksanakan dasar tersebut, tetapi Kementerian Pengajian Tinggi perlu memastikan bahawa IPTA yang lain tidak mengabaikan dasar itu. Malahan, kursus bahasa Melayu wajib kepada pelajar negara ini, yang pernah diperkenalkan seperti di UPM sejak awal penubuhannya hingga tahun 1980-an, pada hemat saya perlu disyaratkan kerana pelajar Malaysia sendiri memerlukan peningkatan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmiah yang meliputi pelbagai laras – kejuruteraan, perubatan, ekonomi, sains angkasa, pertanian, teknologi maklumat dan komunikasi, sains komputer dan sebagainya. Kelulusan bahasa Melayu pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), meskipun dengan kelulusan A1 ternyata tidak dapat menjadi jaminan bahawa pelajar setempat telah menguasai bahasa yang memuaskan, terutama apabila kita bercakap tentang bahasa Melayu tinggi (bahasa Melayu ilmiah).

  1. Klik Web DBP says:

    Saudara boleh menghubungi pusat pengajian tinggi yang mempunyai kursus bahasa Melayu ataupun institusi perguruan kerana DBP tidak menyediakan pengajaran bahasa Melayu secara individu. Harap maklum dan terima kasih.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1058891
    Visit Today : 781
    This Month : 7144
    Total Visit : 1058891
    Hits Today : 2695
    Total Hits : 4348096
    Who's Online : 12
  • Kategori