OLEH DR. AWANG SARIYAN

Dr. Awang Sariyan

KEDUDUKAN bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan, Perkara 152 ada kalanya seakan-akan hanya jaminan dalam dokumen atau di atas kertas. Pihak yang terang-terang menentang semangat dan kedudukan sah bahasa Melayu, dengan membuat dasar dan melaksanakan program yang menggerhanakan bahasa Melayu malah sering menjadikan Perkara 152 itu sebagai hujah bahawa kedudukan bahasa Melayu tetap terjamin. Contoh yang jelas ialah apabila program PPSMI (pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris) dilaksanakan, hampir semua penggerak dan pembela program itu berhujah bahawa kedudukan bahasa Melayu tetap terjamin dalam Perlembagaan, dan PPSMI tidak akan mengurangkan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan. Alangkah bercanggahnya pernyataan itu dengan hakikatnya!

Erti dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan atau bahasa negara tidak benar-benar terjelma kerana kurangnya (malahan mungkin kerana tiadanya) rasa bangga dan hormat kepada bahasa negara. Di beberapa buah negara yang kuat semangat dan rasa hormat kepada bahasa negara, antaranya Jepun, Korea, Republik Rakyat China, Perancis, dan Indonesia, keutamaan diberikan kepada bahasa negara dalam majlis dan acara rasmi. Di Republik Rakyat China, pengutamaan bahasa negara dalam majlis dan acara, termasuk yang bertaraf antarabangsa, menjadi dasar negara dan asas protokol dalam pengendalian majlis dan acara rasmi. Perasmian Sukan Olimpik 2008 pun diisytiharkan oleh Presiden Republik Rakyat China dalam bahasa Mandarin. Pemerintah menubuhkan urus setia khas yang melibatkan puluhan jurubahasa dan penterjemah bagi puluhan bahasa sedunia kerana semua acara sukan dikendalikan dalam bahasa Mandarin. Ternyata bahawa sukan bertaraf dunia itu tetap berlangsung dengan gemilangnya.

Presiden dan Timbalan-timbalan Presiden universiti tempat saya ditugaskan kesemuanya fasih berbahasa Inggeris kerana Presidennya lulusan doktor falsafah dari Universiti Hawai, seorang timbalannya lulusan doktor falsafah ekonomi dari London dan  seorang lagi malahan pemegang ijazah doktor falsafah dalam bidang Linguistik Inggeris. Canselor Universiti pun berpengkhususan dalam Linguistik Inggeris. Namun, dalam semua mesyuarat dan majlis rasmi yang melibatkan perwakilan asing, mereka tetap mengutamakan bahasa Mandarin.

Syukurlah Perdana Menteri Malaysia  dalam majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu dan Penganugerahan Ijazah Doktor Kehormat Hubungan Antarabangsa di Universiti Pengajian Asing Beijing pada 3 Jun 2009 bersempena dengan ulang tahun ke-35 hubungan diplomatik antara Republik Rakyat China dengan Malaysia, berucap dalam bahasa Melayu sebagai bahasa negara. Tayangan rakaman pemasyhuran hubungan antara kedua-dua buah negara pada tahun 1974 dengan jelas menunjukkan bahawa Allahyarham Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia berucap dalam bahasa Melayu, dengan Presiden Chou En Lai berucap dalam bahasa Mandarin. 

Kita mengharapkan bahawa pengutamaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dijadikan dasar negara dan asas protokol kerajaan untuk majlis dan acara rasmi negara yang melibatkan hubungan dengan pemimpin dan perwakilan negara asing. Penegasan kita ialah “pengutamaan”, bukan “pengharaman” penggunaan bahasa lingua franca sedunia, seperti bahasa Inggeris. Sementara itu, tidak ada dalih dan alasan apa-apa pun dalam hal penggunaan bahasa Melayu dalam majlis dan acara di peringkat negara. Tabiat mengabaikan penggunaan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara dalam mesyuarat, majlis rasmi, pekeliling dan urusan rasmi yang lain sewajarnya tidak wujud lagi di negara yang telah lebih sesuku abad merdeka. Setiap pemimpin dan penjawat awam khususnya, perlu disyaratkan agar menghayati peruntukan Perlembagaan, Perkara 152 yang menetapkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam semua urusan rasmi di tiga peringkat pentadbiran negara, iaitu kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam.

Demikianlah juga halnya dengan penggunaan bahasa Melayu dalam bidang media massa yang melibatkan  media bercetak dan media elektronik. Badan penyiaran seperti radio dan televisyen sewajarnya diberi arahan yang tegas tentang dasar penggunaan bahasa Melayu dalam penyiaran agar stesen-stesen radio dan televisyen di negara ini menjadi agen yang menyemarakkan citra kebangsaan, bukan citra budaya asing. Penggunaan bahasa Melayu di tempat awam, termasuk penamaan bangunan, jalan, kawasan dan iklan pula tampaknya masih menjadi barah yang belum selesai perawatannya.

Bersempena dengan Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri Malaysia musim keempat pada 5 Mac 2010, Menteri Pengajian Tinggi mengumumkan langkah untuk mewajibkan kursus bahasa Melayu kepada 65,000 orang pelajar asing di institusi pengajian tinggi (awam dan swasta) di negara ini. Keputusan itu sebenarnya telah diambil lebih 10 tahun lalu oleh kerajaan sebagai susulan lulusnya Akta Pendidikan 1996, dengan mewajibkan semua pelajar asing mengikuti tiga subjek, iaitu Hal Ehwal Malaysia, Bahasa Melayu dan Pendidikan Moral. Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan (pada waktu itu belum ditubuhkan Kementerian Pengajian Tinggi) dengan bantuan pakar-pakar bahasa telah menyusun dua sukatan kursus Bahasa Melayu (bagi pelajar Malaysia dan bagi pelajar asing) di IPT. Oleh itu,  pengumuman menteri berkenaan perlu disusuli dengan langkah segera oleh pihak pengurusan kementerian tersebut. Kita sebenarnya telah lewat  lebih satu dekad dalam pelaksanaan dasar mewajibkan pelajar asing mengikuti kursus bahasa Melayu di IPT di negara ini.

Isu bahasa yang saya bincangkan untuk muhasabah kita bersama itu bukan isu baharu, tetapi tampaknya perlu terus diketengahkan untuk difikirkan dan disusuli dengan langkah -langkah yang sewajarnya oleh semua pihak yang mengaku taat dan setia kepada negara. Kalau bukan kita sendiri yang memuliakan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi kita, siapatah lagi?

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1047574
    Visit Today : 1190
    This Month : 30173
    Total Visit : 1047574
    Hits Today : 3661
    Total Hits : 4298463
    Who's Online : 11
  • Kategori