Oleh M. AZAHARI EDIN


Tidak ada langsung jati diri kebangsaan dalam iklan yang dipaparkan di Cameron Highlands.

AGAK menghairankan, setelah lebih setengah abad negara merdeka, kita masih bergelut dengan isu bahasa kebangsaan. Sewajarnya bahasa kebangsaan sudah menjadi pohon yang tumbuh tegak, rendang dan lebat buahnya sehingga seluruh dunia dapat merasai kemanisan buahnya.

Namun, masalah penggunaan bahasa kebangsaan di lokasi tumpuan pelancong dan bahasa sebagai wahana komunikasi pelancongan dalam negeri masih terus berlaku bagaikan tiada penghujungnya. Antara punca masalah ini adalah kerana ketiadaan perkara-perkara yang berkaitan dengan aspek undang-undang dan peraturan yang berhubung dengan penggunaan bahasa kebangsaan dalam industri pelancongan di negara ini, khususnya pada Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) dan Peraturan-peraturan dan Akta Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia 1992 (Akta 481). Selain itu, kawalan pelaksanaan undang-undang dan peraturan lain yang sedang berkuat kuasa, sikap sektor pelancongan dan pengguna itu sendiri terhadap penggunaan bahasa kebangsaan merumitkan lagi keadaan.

Mengapa tidak ada bahasa kebangsaan sekalipun dalam maklumat ringkas sebegini?

Kecenderungan penggunaan pelbagai bahasa atau dwibahasa yang tidak dapat menonjolkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa utama dalam industri pelancongan serta penggunaan bahasa kebangsaan yang tidak tinggi kualiti tatabahasanya dan tidak cukup baik sebagai lambang citra Malaysia, merumitkan lagi fenomena ini. Keadaan ini diburukkan lagi dengan sikap segelintir masyarakat yang mungkin malu menggunakan bahasa kebangsaan atau lebih cenderung menggunakan bahasa rojak dalam urusan seharian. Namun, tahniah diucapkan kepada mereka yang dapat menggunakan bahasa kebangsaan dengan baik dan betul, dan seharusnya menjadi contoh kepada pihak lain.

Tidak dinafikan, sebagai sebuah negara demokratik dan liberal, rakyatnya bebas memilih apa-apa juga bahasa yang mereka suka. Namun, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan haruslah dihormati oleh semua warga yang dalam kad pengenalan mereka tercatat “warganegara” supaya hasrat untuk mewujudkan satu bangsa Malaysia dalam “1Malaysia” dapat direliasasikan.

Kata orang, tak kenal maka tak cinta. Oleh itu semua pihak yang terlibat dalam industri pelancongan haruslah memberikan keutamaan terhadap penggunaan bahasa kebangsaan serta persekitaran yang memaparkan latar dan panorama yang bercitrakan Malaysia sebagai salah satu keunikan dan daya tarikan utama pelancongan di negara ini.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1049009
    Visit Today : 1327
    This Month : 31608
    Total Visit : 1049009
    Hits Today : 4646
    Total Hits : 4303692
    Who's Online : 9
  • Kategori