Tajuk Buku : “Membentuk Elok di Teluk Esok”
Tahun Terbit : 2001
Penulis : Zainal Abidin Suhaili
PENGULAS : ATIQAH ABD RAHIM
NAMA Zainal Abidin Haji Suhaili atau nama penanya, Abizai merupakan nama yang tidak asing bagi penggemar sastera di bumi Kenyalang Sarawak. Anak kelahiran Kuching ini bergiat aktif dalam penulisan sastera terutamanya dalam bidang puisi, cerpen dan rencana sastera.
Kumpulan puisi perseorangan ini, “Membentuk Elok Di teluk Esok” memuatkan 52 buah puisi yang menarik dan seimbang dari segi mesej dan pemikiran yang ingin disampaikan. Mesej tersebut meliputi aspek nilai-nilai kemanusiaan, negara, sejarah, kesihatan, cinta, motivasi, sukan, muzik, integriti, perayaan, seni dan bahasa.
Puisi-puisi menarik yang terdapat dalam kumpulan puisi ini ialah “Bunga-bunga Bahasa”, “Jangan”, “Berkulit Melayu Berlidah Penjajah”, “Barulah Melayu Baru”, “AIDS (2)”, “Peguam”, “Rasuah”, “Hutang”, “Marilah Kita Berkasih Sayang”, “Terima Kasih”, “Kesabaran”, “Kaulah Sajak”, “Ciptalah Malaysia Berjaya”, “Amerika”, “Sajak Derita Bosnia-Herzegovina”, “Mengenal Sejarah”, “Mengangkat Martabat Seni”, “Drama Bola Sepak”, “Badminton”, “Pencak Silat”, “Selamat Pengantin Baru”, “Telah Tiba Aidilfitri”, “Kepada Remaja Bangsa”, “Cintailah Alam”, “Jangan Hukumkan Muzik”, “Muzik dan Lirik” dan “Antara Kuntuman Bakat”.
Abizai bijak menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh pembaca umum. Mesej yang ingin diperkatakan juga ringkas dan terang tanpa merumitkan keseluruhan puisi. Kepelbagaian dan kesesuaian bahasanya boleh menarik perhatian pembaca untuk meneruskan pembacaan, sebagaimana dalam “Bunga-bunga Bahasa”:
Bunga-bunga bahasa
mengharumkan taman kata-kata
lidah yang memetiknya
menyejukkan setiap telinga
bunga-bunga bahasa
diasuh matahari matang
dibelai angin sopan
dewasa dalam peradaban
sedia diuji sederas mana pun hujan.
Puisi berbentuk nasihat selalu menjadi pilihan pembaca untuk membuat refleksi diri dalam kehidupan yang ditempuhi. Bait-bait kata dalam “Jangan” menceritakan tentang kesempurnaan hidup yang selalu menjadi keutamaan tanpa menyedari kepentingan untuk membaiki kelemahan diri terlebih dahulu. Kesempurnaan hidup tidak mungkin akan dicapai jika kita tergopoh-gapah dalam membuat keputusan dan tidak memberi masa dan ruang untuk menyelami kelemahan diri, seperti dalam kata-kata ini:
jangan pecahkan atap
jika hujan mencuri masuk
kerana sebagai rumah biasa
kesempurnaan tak mungkin terjelma
tapi carilah bahagian yang rapuh
tempat membiak zuriat kebocoran.
Abizai juga membawa mesej tentang sebahagian masyarakat Melayu yang lebih mengagungkan penggunaan bahasa penjajah di khalayak ramai seperti di majlis-majlis, di institusi pendidikan dan di kampung-kampung. Sebahagian nukilan “Berkulit Melayu Berlidah Penjajah”:
Dia muncul di tengah acara
laksana pemidato petah berhujah
berkulit Melayu berlidah penjajah
melepaskan kata-kata ke udara
tanpa sepatah lisan ibunda.
Kesinambungan daripada “Berkulit Melayu Berlidah Penjajah” dapat dilihat dalam “Barulah Melayu Baru” yang menyemai semangat kepada orang Melayu untuk bergerak maju:
Barulah Melayu Baru
Melayu yang tak bakal layu
tangkai tekad dan kelopak semangat
menyemaikan pohon masyarakat korporat
Melayu yang tak mungkin beku
jalar ikhtiar dan alir fikir
menyahut pancaran mentari mutakhir.
Sikap masyarakat yang semakin mengalpakan nilai-nilai keadilan dan integriti dipaparkan dalam “Peguam”, “Rasuah”, “Hutang”. Tiga puisi ini mempersoalkan tentang keadilan dan kebenaran yang selalu ditegakkan walaupun pada hakikatnya kenyataan yang diberi adalah seperti kata-kata seorang penglipur lara. Godaan dalam kata-kata sukar untuk dilepaskan dan akhirnya boleh memakan diri sendiri.
Oleh itu, Abizai mengajak untuk “Marilah Kita Berkasih Sayang” sebagai rakyat sepakat, menghapuskan segala khilaf dan membina kuasa dan minda masyarakat supaya dapat:
mengangkat martabat bangsa hebat
kembali ke puncak gunung hormat.
“Ciptalah Malaysia Berjaya” memberi harapan kepada kita bahawa negara masih mampu mengatasi masalah-masalah sosial dengan membibitkan:
Malaysia yang tak lagi memberi ruang
untuk kemiskinan berumah tangga
untuk persengketaan bersarang senang.
Bagi membina sebuah negara berjaya, rakyat perlu “Mengenal Sejarah” dan menghargai sejarah supaya kita dapat belajar daripada kesilapan dan kejayaan masa lalu. Selain itu, para remaja menjadi tunggak dan harapan untuk membela maruah bangsa dan negara. Abizai menyampaikan seruannya kepada para remaja dalam “Kepada Remaja Bangsa” supaya menjaga tingkah laku dan tidak membiarkan hiburan memakan diri:
hiburan boleh menjadi kawan
ranjang yang melenakan beban fikiran
jika bijak mencorak batik pilihan
keseronokan mampu menjadi musuh
tuba manis yang bakal membunuh
jika tersilap mencongak tepat pertimbangan.
Pandangan neutral Abizai terhadap muzik dapat dilihat dalam “Jangan Hukumkan Muzik”:
Jangan tergesa-gesa menghukum muzik
jika tebing akhlak anakmu tiba-tiba runtuh
dihakis ombak perosak
yang belum kaupastikan asal usulnya
kerana muzik hanyalah alunan irama
yang tak mungkin dapat menolak manusia
jatuh dari tinggi takhta martabatnya
yang leka adalah perhatian
lara oleh dunia kesibukan.
Beliau mengatakan muzik hanyalah untuk merehatkan minda yang boleh dinikmati:
muzik hanyalah sebuah pulau peranginan
tempat menghamparkan tikar kerehatan
di mana bertiupnya angin nota-nota
menerbitkan pelbagai deru irama
menjadi santapan telinga sukma
yang sesekali perlu menikmati
lazatnya hidangan hiburan.
Akhir puisi, “Antara Kuntuman Bakat” seakan memberi gambaran tentang perjalanan hidup Abizai dalam dunia penulisan. Bakatnya dalam menulis karya-karya mula berputik suatu masa dahulu dan mula mendewasakannya menerusi pemikiran-pemikiran dalam karyanya. Beliau berharap agar penulisannya sentiasa mekar dan tidak hilang semangat dalam memperjuangkan seni penulisan sastera ini. Mesej ini juga boleh ditujukan kepada penulis-penulis yang sedang berputik bakatnya mahupun penulis-penulis yang telah mencipta nama.