Oleh NAZMAH ANI

Puan Hajah Zalila Sharif (kanan) selaku pengerusi bergambar bersama pembentang makalah.

SEMINAR Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara (SAKAT) 2010 berlangsung di Hotel Santika, Jakarta, Indonesia pada 27 – 28 September lalu. Majlis perasmian disempurnakan oleh Prof. Dr. Ir. Dodi Sandika, Sekretaris Jeneral Kementerian Pendidikan Nasional, Indonesia.

Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara merupakan salah satu daripada program Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) yang dianggotai oleh tiga buah negara anggota MASTERA, iaitu Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia. Bermula pada tahun 2010, pelaksanaan SAKAT yang sebelum ini diadakan di Kuala Lumpur, Malaysia, digilirkan antara negara anggota MASTERA, dan pada tahun ini Indonesia menjadi tuan rumah.

Tema seminar  “Sastera dan Ideologi” cukup relevan diketengahkan kepada peminat sastera pada masa kini. Sasterawan sebagai pemikir dengan sendirinya pasti memiliki orientasi yang berkaitan rapat dengan sesebuah ideologi. Sastera tanpa ideologi memiliki kecenderungan untuk menjadikan sastera tanpa tanggungjawab intelektual. Namun, hal ini tidak bermakna sasterawan menulis kerana tujuan propaganda ideologi yang dianuti mereka. Kalaupun hal ini terjadi, inti pati sastera itu akan hilang kerana karya sastera merupakan ruang untuk menyatakan sebahagian realiti kemanusiaan bukan alat yang dapat digunakan oleh pengarang, kelompok atau pihak tertentu.

 

Puan Salmiah Ismail (kiri) antara pembentang makalah dari Malaysia.

Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara pada kali ini menampilkan 27 orang pembentang kertas kerja  dari Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura, Cina, Perancis, Jerman dan Belanda. Daripada tema utama ini, terdapat sembilan subtajuk yang berkaitan, iaitu “Sastera, Ideologi dan Identiti”, “Sastera, Ideologi dan Bangsa”. “Ideologi dan Sikap Kepengarangan”, “Ideologi dalam Kesusasteraan Melayu Klasik”, “Ideologi dalam Sastera Mutakhir”, “Ideologi Sastera Perempuan”, “ Ideologi Penerbit, Media dan Hadiah Sastera”, “Ideologi Sastera Keagamaan” dan “Sastera dan Kekuasaan”.      Ucap utama disampaikan oleh Prof. Dr. Anies Basweden dari Universiti Paramadina, Indonesia, dengan tajuk “Sastera dan Pembangunan Karakter Bangsa”. Pembentang kertas kerja dari Malaysia diwakili oleh Prof. Madya Dr. Nor Faridah Abdul Manaf dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan kertas kerjanya bertajuk “Politik Jenama dalam Dunia Sastera: Ideologi Penerbit, Media dan Hadiah Sastera”, dan Puan Salmiah Ismail (DBP) dengan kertas kerja bertajuk “Menanggapi Tsunami: Suara Nurani Penyair Tiga Negara”.  Seminar ini diharapkan dapat menghasilkan pemikiran baru yang berkaitan dengan persoalan sastera dan ideologi, selain dapat membuka ruang dialog antara negara dan kelompok masyarakat, sama ada di Indonesia, mahupun di negara-negara yang lain. 

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1046902
    Visit Today : 518
    This Month : 29501
    Total Visit : 1046902
    Hits Today : 1196
    Total Hits : 4295998
    Who's Online : 13
  • Kategori