Oleh FAUZIAH ABD RALIP

SMahadzir

SMahadzir

BAGI penyair yang bernama SMahadzir, melukis dan menulis adalah satu terapi, sudah sebati dalam hidupnya seharian. Melihat perwatakannya yang serba sederhana tidak hairanlah penulis SMahadzir atau Syed Mahadzir Syed Ibrahim ini mudah didekati dan diajak berbicara.

Beliau yang lebih terkenal sebagai seorang penulis, penggiat puisi Melayu tradisional dan penyair, pernah melanjutkan pelajaran dalam bidang grafik dan seni reka dari Institut Teknologi Mara (ITM), mengakui bahawa melukis dan menulis adalah dua pekerjaan yang tidak dapat dipisahkan dalam hidupnya. Jelasnya, dua bidang tersebut memberikannya banyak memorabilia dalam hidup.

Lukisan belimbing.

Lukisan belimbing.

“Minat yang terlalu tinggi terhadap seni lukis dan menulis mengatasi segala-galanya dan saya mahu bebas berkarya tanpa hidup dalam kekangan orang lain,” katanya sewaktu diwawancara.

Jika tidak menulis atau menghadiri apa-apa program apresiasi puisi tradisional atau moden, SMahadzir akan melukis. Sehari suntuk beliau mampu mengadap lukisannya sehingga selesai. Jika tidak selesai beliau akan menyambung tugasan tersebut pada sebelah malam atau keesokan harinya. Bagi beliau, selagi karyanya tidak selesai beliau tidak dapat tidur dengan nyenyak.

Lukisan Jamu Air.

Lukisan Jambu Air.

Menurut SMahadzir, bidang seni lukis menjadi kegemaran beliau sejak di bangku sekolah rendah lagi dan bersambung ke sekolah menengah pula. Sewaktu di sekolah rendah iaitu SK Kota Bukit, Sik, Kedah, beliau sering melihat lukisan gurunya iaitu Cikgu Khairudin Mohammad. Manakala sewaktu di SM Sultan Abdul Halim, Jitra, Kedah, beliau gemar melihat lukisan gurunya iaitu Cikgu Hamid Shahbudin. Dari hasil karya kedua-dua guru itulah timbul minatnya yang mendalam terhadap seni lukis. Beliau mulai berjinak-jinak melukis dan akhirnya mampu melukis dengan baik. Setelah mendapat pendidikan formal dalam bidang seni lukis di ITM, karya beliau semakin mantap dan mulai mendapat perhatian ramai.

Bagi SMahadzir, jika seseorang itu serius mempelajari dan menghasilkan karya seni, bidang ini akan menjadi punca pendapatan yang lumayan. Oleh yang demikian, kegiatan dalam bidang seni lukis tidak wajar diabaikan oleh generasi muda. Mereka hendaklah memanfaatkan peluang yang luas terbentang itu untuk meniti dan mengecap kejayaan yang terhasil daripadanya.

Lukisan ini diberi nama Mawar Indah Nan Gemilang.

Lukisan ini diberi nama Mawar Indah Nan Gemilang.

Ibu bapa dan guru-guru pula wajar menggalakkan generasi muda agar berusaha mengembangkan bakat, minat, serta potensi mereka dalam bidang ini. Kursus-kursus dalam bidang seni lukis hendaklah dianjurkan oleh institusi atau kesatuan berkenaan untuk mengukuhkan dan menyuburkan minat seni dalam kalangan pelajar dan anggota masyarakat.

Menurut SMahadzir, perkembangan dunia tanpa sempadan seperti sekarang ini memerlukan pelukis-pelukis berkebolehan mengisi ruang kerjaya seni lukis dan grafik dalam bidang komunikasi dan maklumat serta alam siber yang lain.

Bagi beliau, untuk menggalakkan minat pelajar dalam lapangan seni lukis, pelbagai kegiatan perlu dilakukan, termasuklah pertandingan dan pameran lukisan. Aktiviti-aktiviti ini secara langsung akan memberikan dorongan kepada para pelajar dan para peminat seni lukis supaya lebih mendalami bidang lukisan yang menjadi kegemaran mereka.

Kegiatan seumpama ini setidak-tidaknya dapat mewujudkan kesedaran dalam kalangan pelajar tentang manfaat karya seni dan pada masa yang sama membantu mengeratkan persahabatan antara pelajar dari pelbagai ceruk rantau yang menyertai aktiviti itu. Jika sesuatu kegiatan itu melibatkan penyertaan peringkat antarabangsa, maka perbezaan antara budaya dapat difahami dengan lebih dekat menerusi lukisan.

Burung Kicau Murai.

Lukisan Burung Kicau Murai.

Seterusnya menurut SMahadzir, selain penglibatan pelajar dalam bidang ini akan memudahkan kita melahirkan illustrator yang berkebolehan untuk mengilustrasi buku-buku cerita yang berunsur moral dan keagamaan sebagai tatapan para pembaca. Hal sampingan daripada perkembangan ini ialah kita dapat melahirkan generasi yang berwawasan kerana dapat membaca sambil berhibur bagi mengisi masa lapang.

Perkara ini harus diprihatinkan kerana pada masa ini generasi muda mudah terpengaruh oleh pelbagai gejala sosial. Daripada disia-siakan masa lapang di kafe siber, di pusat-pusat hiburan, atau di depan televisyen, alangkah baiknya jika pembaziran masa itu dapat dialihkan kepada lapangan seni lukis yang tidak memerlukan belanja yang besar.

Bagi SMahadzir, lukisan juga dapat mengurangkan tekanan emosi. Apabila gambaran perasaan dapat dicurahkan ke atas kanvas atau kertas lukisan, maka segala kesedihan, kekecewaan, dan kegembiraan dilakarkan sepuas-puasnya kerana ada pendapat yang menyatakan bahawa sesebuah lukisan dapat menggambarkan seribu makna.

Lukisan Burung Merbah.

Lukisan Burung Merbah.

Dalam bidang seni lukis, sehingga kini lebih 300 karya lukisan telah dihasilkan oleh SMahadzir yang kebanyakannya menjadi koleksi orang-orang kenamaan. Manakala dalam bidang penulisan pula, sejak 1977 beliau telah menghasilkan lebih 100 buah buku dalam pelbagai genre. Antaranya ialah Di Bawah Lembayung, Labuhan Cinta Terakhir, Kemelut, Mengelamun, Lestari Bukit Menghijau (Novel KOMSAS Zon Timur), Kekejaman & Kezaliman Terhadap Islam, Ashabul Kahfi Menggapai Cinta Allah, Imam Ghazali, Safari Cinta Seorang Ekspatriat, Sinar di Hujung Senja, Bunga Lain Fitrah, Sundang Hikmat, Puteri Intan Baizuri, Hebatnya Ahli Sufi, Anakku Soleh Anakku Solehah dan lain-lain lagi.

Bagi beliau, jika pembabitan dalam bidng ini ditekuni secara serius ia akan membawa pulangan yang lumayan dan menafikan pandangan sempit sesetengah pihak yang beranggapan melukis dan menulis tidak mempunyai masa depan.Menurut SMahadzir, “Lukisan juga merupakan satu terapi, pencintanya mampu berkomunikasi dengan lukisan dan tidak hairan ada lukisan yang nilainya mencecah jutaan ringgit. Tambahan pula, setiap lukisan dihasilkan cuma satu sahaja dan ia adalah pelaburan yang menguntungkan bagi pemiliknya kerana harga lukisan sentiasa meningkat saban tahun. Selain bergantung kepada falsafah, harga setiap karya turut bergantung kepada kredibiliti seseorang pelukis itu.”

Lukisan Kg. Sambah I, Tuaran, Sabah.

Lukisan Kg. Sambah I, Tuaran, Sabah.

SMahadzir meminati hasil karya Michaelangelo Buonarroti, Rembrandt Harmenszoon van Rijn, Pablo Ruiz Picasso, Leonardo da Vinci, J. M. W. Turner, Donatello, Claude Monet, Auguste Rodin, Jan Van eyck dan Pieter Pauwel (Peter Paul) Rubens. Manakala dalam negara beliau meminati karya-karya Jaafar Taib, Zainal Buang Hussein, Hussein Annas, Latif Mohideen, Sharifah Fatimah Syed Zubir, Pelukis Diraja Dato Azman dan Ibrahim Hussein.

Meskipun sudah menjangkau usia 56 tahun, anak kelahiran Kedah ini masih aktif berkarya. Setiap hari beliau akan melukis dan menulis di samping menyempurnakan pelbagai undangan sebagai penceramah dan pembimbing bengkel penulisan dan apresiasi puisi Melayu tradisional di seluruh Malaysia anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, GAPENA, persatuan-persatuan penulis, budaya dan juga jabatan-jabatan kerajaan. Puisi tradisional yang ditekuni beliau ialah pantun, syair, nazam, gurindam dan seloka.

Lukisan Taman Negara Endau Rompin, Pahang.

Lukisan Taman Negara Endau Rompin, Pahang.

SMahadzir gemar menghasilkan karya bertemakan alam. Menurutnya, beliau sudah lama menjadi pengagum alam. Baginya, pemandangan alam memiliki keindahan luar biasa yang tidak ternilai harganya. Alam merupakan anugerah Tuhan yang sayang jika tidak diabadikan untuk tatapan generasi yang akan datang.

Alasan inilah yang membuat SMahadzir konsisten mengabadikan pelbagai hal yang berkaitan dengan alam melalui lukisannya. Seperti terlihat pada lukisan-lukisan berjudul Belimbing, Kuala Sedeli, Kampung Mandah, Buah Mata Kucing, Mawar Nan Sekuntum, Jambu Air, Burung Kicau Murah, Burung Murai Cacing, Nelayan Pantai Remis, Kampung Sambah I dan lain-lain lagi, SMahadzir menceritakan keindahan alam yang wujud seputar kehidupannya.

Rakan-rakan penulis sewaktu menziarahi SMahadzir di galerinya.

Rakan-rakan penulis sewaktu menziarahi SMahadzir di galerinya.

Lukisan yang beliau garapkan semuanya tergolong eksklusif, supaya keindahan yang dituangkan dalam setiap lukisan juga memiliki makna yang tinggi. SMahadzir memilih teknik cat air yang tersendiri. Beliau mengaku lebih selesa ketika menggunakan cat air kerana hasilnya memiliki ciri khas tersendiri. Sentuhan cat air ini terlihat memiliki garis lembut yang kemudian ditompokkan dengan warna gelap oleh beliau.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1046850
    Visit Today : 466
    This Month : 29449
    Total Visit : 1046850
    Hits Today : 1048
    Total Hits : 4295850
    Who's Online : 14
  • Kategori