Aksi salah seorang peserta pertandingan.

Aksi salah seorang peserta pertandingan.

Oleh NAZA SANI

PERTANDINGAN berpidato dapat mencungkil kebolehan dan kemahiran seseorang berkomunikasi serta berhujah dan melontarkan idea secara kritis. Usaha sebegini merupakan salah satu langkah memartabatkan bahasa Melayu agar terus diterima dalam konteks komunikasi awam.

Pada 22-24 Oktober 2016, telah berlangsung Pertandingan Pidato Piala Presiden GAGASAN 2016. Pertandingan anjuran Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (GAGASAN) dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) ini diadakan di ruang legar Mara Digital Mall, Kuala Lumpur. Sebanyak 27 buah Institut Pendidikan Guru Kampus (IPGK) seluruh negara terlibat dalam pertandingan ini.

Pertandingan ini menitikberatkan kepentingan Rukun Negara dalam upaya membentuk masyarakat yang berjiwa patriotik dan bersatu padu. Melalui pertandingan ini GAGASAN menaruh harapan tinggi agar Rukun Negara dihayati dan diperkasakan. Selain itu, semangat Satu Malaysia, semangat juang yang tinggi dan jati diri dapat dipupuk dalam diri siswa guru.

Sebahagian daripada peserta.

Sebahagian daripada peserta.

Pertandingan ini menawarkan hadiah berupa wang tunai RM 1000 untuk juara, RM800 tempat kedua dan RM500 tempat ketiga, di samping piala pusingan, piala iringan dan sijil. Calon-calon guru mempamerkan aksi hebat, bakat dan kelancaran lidah mengutarakan isu yang menjadi tema pertandingan.

Dengan tema Rukun Negara, pertandingan ini menyaksikan prinsip-prinsip Rukun Negara diinterpretasikan oleh para peserta pidato bersandarkan hujah dan sumber yang terkini. Maka lahirlah tajuk-tajuk pidato yang menarik seperti berikut dalam kalangan peserta pidato: “Kepercayaan Kepada Tuhan Pembentuk Nilai Murni Insan”, “Kesetiaan Kepada Raja dan Negara Pemangkin Kecemerlangan”, “Keluhuran Perlembagaan Mengangkat Martabat dan Kedaulatan Bangsa” dan “Kesopanan dan Kesusilaan Pembentuk Generasi Berdisiplin”.

Pertandingan ini dijalankan dalam tiga pusingan. Pusingan pertama menyaksikan semua peserta dari 27 IPGK berpidato. Berdasarkan penilaian panel hakim, hanya 16 orang peserta layak untuk ke pusingan separuh akhir. Seterusnya lapan orang peserta dipilih ke peringkat akhir.

Peserta dari IPGK Keningau, Sabah, Fatin Daratul Ain binti Sari @ Asri telah menjuarai pertandingan ini dengan pidato “Kedaulatan Undang-undang Asas Keharmonian dan Kesejahteraan Negara”. Naib juara pula disandang oleh Mohd Redzwan bin Abdul Majid dari IPGK Batu Lintang Sarawak yang mempertaruhkan pidato “Kesopanan dan Kesusilaan Pembentuk Generasi Berdisiplin”.

Juara pertandingan menerima hadiah daripada Dato’ Sri Hj. Fadillah.

Juara pertandingan menerima hadiah daripada Dato’ Sri Hj. Fadillah (kiri).

Satu-satunya peserta bukan Melayu yang berjaya mara ke pertandingan akhir ialah Ishwar Singh a/l Manjit Singh. Ishwar Singh yang tampil dengan aksi bersahaja, memukau hadirin dan berpidato dalam bahasa Melayu yang fasih dan tidak pelat, telah memenangi tempat ketiga dengan pidato “Kesetiaan Kepada Raja dan Negara Menjamin Integriti”.

Panel hakim pertandingan ialah Perancang Bahasa dari Dewan Bahasa dan Pustaka. Aspek yang diadili ialah isi, gaya dan penguasaan bahasa Melayu.

Presiden GAGASAN, YB Dato’ Sri Hj. Fadillah bin Hj. Yusof dalam ucapan perasmian melahirkan rasa bangga dan gembira kerana pertandingan ini mendapat sambutan yang menggalakkan. Beliau turut menyampaikan hadiah kepada pemenang pada penghujung majlis.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1047570
    Visit Today : 1186
    This Month : 30169
    Total Visit : 1047570
    Hits Today : 3621
    Total Hits : 4298423
    Who's Online : 4
  • Kategori