menjaga kerata23

Judul: Panduan Mudah Menjaga Kereta

Pengarang: Ahmad Hisham Rusti

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Harga: RM15.00

Tahun: 2015

Pengulas: NOR ALIA FATIHAH NOR AZIM

Buku yang sepatutnya wajib ada sebagai bahan bacaan penting bagi setiap individu yang memiliki kereta ialah buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka yang berjudul Panduan Mudah Menjaga Kereta. Hal ini adalah kerana, kebanyakan daripada kita memang sangat dangkal pengetahuan mengenai kereta dan pengurusannya, khususnya kaum wanita. Sedangkan dengan pengetahuan awal mengenali kereta dan cara menjaga serta kendaliannya, akan dapat menyelamatkan kereta daripada cepat rosak atau menyelamatkan kita daripada terlibat kemalangan akibat kerosakan kereta yang sepatutnya telah dapat dikesan sejak awal.

Buku setebal 134 halaman ini mengandungi 11 bab, yang terdiri daripada bab satu, “Mengenal Komponen Enjin Kereta” yang menerangkan kepada pembaca tentang lokasi komponen-komponen kereta, tips asas penjagaan kereta, cara menyelenggarakan komponen kereta dan tips menjimatkan petrol. Seterusnya dalam bab dua, pembaca dibawa memahami penjagaan rutin kereta, iaitu mengenai pentingnya manual kereta dan penyelenggaraan secara berjadual, pemanduan biasa dan pemanduan lasak, tips penjagaan kereta secara umum, senarai untuk meneliti sebarang perubahan dan bahagian kereta yang memerlukan penjagaan rutin.

Komponen yang amat penting dijaga dalam kereta ialah bahagian enjinnya. Rata-rata pemilik kereta atau pemandunya memang “buta huruf” tentang enjin. Sedangkan mengesan masalah enjin perlu diketahui awal supaya kerosakan tidak bertambah teruk, ibarat mengawal penyakit – mencegah lebih baik daripada mengubati. Meningkatkan prestasi enjin, enjin menderu tetapi bergerak perlahan, mengatasi masalah enjin tidak hidup, ambil tindakan jika asap bertukar warna, minyak pelincir penting untuk fungsi enjin, panaskan enjin dahulu sebelum memulakan perjalanan, punca penggunaan petrol bertambah adalah antara pengisian buku ini yang terdapat dalam bab tiga.

Dalam keadaan ekonomi sekarang yang meruncing dan harga minyak yang tidak stabil: sekejap naik dan sekejap turun, apatah lagi untuk pemilik kereta yang tinggal di bandar yang tidak terlepas daripada “belenggu” kesesakan lalu lintas, buku ini memberi cara atau tip penjimatan petrol. Cara pemanduan yang betul adalah perkara utama untuk menjimatkan penggunaan minyak (sekitar 20%) iaitu, jangan menekan injak minyak ketika memandu kereta di kawasan yang mendatar dan menuruni bukit. Kurangkan beban kereta, jangan penuhkan but kereta dengan barang-barang yang tidak perlu atau penggunaan bekas barang di atas bumbung kereta yang menambahkan beban kereta, sebenarnya menambahkan penggunaan minyak kereta.

Radiator merupakan komponen sampingan terpenting di dalam sebuah kenderaan yang menggunakan sistem penyejukan air dan fungsinya untuk menyejukkan kereta. Kerosakan pada radiator boleh menyebabkan enjin terlalu panas dan pecutan kereta terjejas. Jika enjin kereta mengalami pemanasan melampau, matikan enjin segera jangan dibiarkan hidup kerana kereta boleh terbakar. Tip penjagaan penapis udara, tali sawat, hos, minyak dan bendalir dan punca pendingin udara rosak terdapat dalam bab empat dan lima. Bab enam, buku ini memberikan penjelasan mengenai tayar kereta, tip menjaga tayar dan cara menukar tayar kereta.

Seterusnya dalam bab tujuh buku ini menjelaskan secara khusus mengenai masalah pengendalian kereta bermula dengan cara mengesan kerosakan dan penyerap kejutan, stereng berat dan sukar dikawal, mengesan masalah dan kerosakan brek. Bateri kereta juga merupakan antara perkara yang jarang-jarang diambil tahu oleh pemilik atau pemandu kereta. Sedangkan bateri kereta juga penentu “nyawa” kepada kereta dan untuk menghidupkan enjin bateri, bateri mesti sentiasa berada dalam keadaan optimum. Dalam buku ini perincian mengenai bateri kereta dijelaskan dalam bab lapan.

Ada bateri yang boleh bertahan sehingga lima tahun. Jika tiba masa menukar untuk menukar bateri kereta yang baharu, belilah bateri yang sesuai dengan kereta anda, kerana kesilapan menukar bateri ini akan menyebabkan terganggu prestasi sistem elektrik kereta. Jangan membeli bateri yang sudah lama tersimpan, lihat tarikh dikilangkan yang ditampal di atas bateri. Masalah menjaga bateri dan lampu diterangkan dalam buku ini pada bab lapan.

Seterusnya dalam bab sembilan diperturunkan tip mencuci enjin dan badan kereta dengan betul serta cara menyimpan kereta dalam tempoh yang lama. Yang paling penting ketika membasuh kereta, hendaklah dihilangkan terlebih dahulu debu yang melekat pada badan kereta dengan air biasa terlebih dahulu. Jika kotoran tersebut masih sukar dihilangkan, gunakan kain lembap untuk membuang debu, jangan menggunakan kain kering nanti akan mencalarkan kereta. Setelah menyabun kereta jangan biarkan sabun lama melekat pada kereta, kerana ia boleh merosakkan cat.

Terlalu banyak ilmu dan maklumat yang disampaikan oleh penulis dalam buku ini. Hingga dalam bab sepuluh penulis memberikan tip bagaimana memilih bengkel dan mendapat servis terbaik. Akhirnya dalam bab 11 pula diterangkan mengenai keselamatan dan tindakan ketika menghadapi kemalangan. Iaitu keselamatan memandu ketika hujan, ketika malam, dan apakah yang perlu anda lakukan ketika berlaku kemalangan?

Buku ini boleh dijadikan buku bacaan tambahan untuk pengusaha sekolah memandu atau JPJ kepada pemandu yang menghadiri kursus bagi mendapatkan lesen memandu. Buku ini juga boleh dijadikan hadiah yang berharga kepada teman-teman, anak-anak dan sesiapa sahaja yang dekat dengan kita, agar mereka berpengetahuan dan beretika ketika memandu kereta.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1051736
    Visit Today : 1049
    This Month : 34335
    Total Visit : 1051736
    Hits Today : 3433
    Total Hits : 4317894
    Who's Online : 3
  • Kategori