Oleh WAN NORASIKIN WAN ISMAIL

 

Pada 26 hingga 27 September 2016 yang lalu, telah berlangsung Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara XII (Sakat XII) yang telah diadakan di Dewan Seminar Dato’ Hasan Ahmad, Menara Dewan Bahasa dan Pustaka. Pada tarikh yang sama juga berlangsungnya majlis penyampaian Hadiah Sastera MASTERA ke-8 dan Sidang Ke-22 Majlis Sastera Asia Tenggara. Majlis penyampaian Hadiah Sastera MASTERA disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Mahdzir Khalid, Menteri Pendidikan Malaysia.

Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara (SAKAT) telah diadakan buat kali pertama pada tahun 1999. Namun begitu mulai tahun 2010, seminar ini dilaksanakan secara bersiri dan bergilir-gilir pada setiap tahun dalam kalangan negara anggota MASTERA. Bermula dengan Indonesia (2010), Negara Brunei Darussalam (2011), Malaysia (2012), Indonesia (2013), Negara Brunei Darusalam (2014), dan Singapura (2015). Sehingga kini, sebelas (11) siri seminar telah dilaksanakan sepanjang tempoh tersebut. Pada tahun ini, Malaysia menjadi tuan rumah bagi penganjuran SAKAT XII.

Antara pembentang kertas kerja yang terlibat dalam seminar ini.

Antara pembentang kertas kerja yang terlibat dalam seminar ini.

Tema SAKAT pada kali ini ialah “Falsafah Melayu/Indonesia dalam Karya Sastera Tradisional”. Dalam konteks alam Melayu, falsafah Melayu membentuk cara berfikir dan bertindak yang sekali gus membina ciri-ciri keperibadian bangsa Melayu sama ada secara langsung atau tidak langsung. Nilai dan norma hidup yang menjadi amalan masyarakat Melayu zaman-berzaman ini terbina daripada acuan zaman dan kekal berpanjangan berabad lamanya sehingga sebati dan harmoni dalam budaya hidup berkeluarga, bermasyarakat, beragama dan bernegara. Oleh itu, pencarian dan pembinaan falsafah bangsa harus kembali merujuk kepada teks sastera Melayu tradisional yang pernah lahir dalam sejarah ketamadunan bangsa Melayu kerana di dalamnya terungkap makna falsafah yang tersurat dan tersirat.

Sesi pembentangan Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara XII (Sakat XII).

Sesi pembentangan Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara XII (Sakat XII).

Pelaksanaan seminar ini bertujuan untuk merapatkan hubungan dan kerjasama kesusasteraan negara-negara di rantau ini dalam usaha memajukan dan mengembangkan kesusasteraan serantau ke arah menjadi warga sastera dunia yang berwibawa. Di samping itu juga mewujudkan kerjasama dengan pusat pengajian kesusasteraan Asia Tenggara seluruh dunia untuk mengantarabangsakan hasil kesusasteraan serantau. Antara objektif seminar ialah menetapkan makna dan ciri-ciri baharu falsafah Melayu/Indonesia, membincangkan kekuatan dan kelemahan falsafah yang sedia ada, mencadangkan asas-asas falsafah untuk pembentukan dasar-dasar sastera dan budaya negara, membetulkan salah tafsir terhadap falsafah Melayu/Indonesia dan mengukuhkan jalinan persamaan dan perbezaan asas-asas falsafah dalam konteks rumpun bangsa di alam Melayu pada abad ke-21 ini.

En. Rosli Abd. Ghani, Pengarah Jabatan Dasar Dan Penyelidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka ketika menyampaikan ucapan penagguhan.

En. Rosli Abd. Ghani ketika menyampaikan ucapan penagguhan.

Dalam seminar ini sebanyak 13 buah kertas kerja telah dibentangkan oleh para pembentang dari Malaysia, Brunei dan Indonesia. Aspek kajian yang menjadi perbincangan ialah berkaitan etika Melayu, ilmu dan epistemologi, politik, nilai dan norma masyarakat, estetika, cinta dan kasih sayang, teknologi Melayu, psikologi Melayu dan kerohanian. Sesungguhnya program ini merupakan antara usaha pengantarabangsaan bahasa Melayu melalui kegiatan kesusasteraan. Landasan kerjasama yang telah sekian lama dibina secara tidak langsung memberikan kelebihan kepada bahasa dan persuratan Melayu untuk terus disebarkan dan berkembang di peringkat antarabangsa. Hubungan kerjasama selama hampir 20 tahun ini diharap dapat diperluaskan lagi ke negara-negara lain yang belum menganggotai MASTERA.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1056109
    Visit Today : 416
    This Month : 4362
    Total Visit : 1056109
    Hits Today : 2873
    Total Hits : 4335810
    Who's Online : 4
  • Kategori