bunga raya

Judul: Siri Tanaman Bunga-bungaan dalam Landskap – Bunga Raya

Pengarang: Norain Mohd Rejab

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Harga: RM35.00

Tahun: 2016

Pengulas: NOR ALIA FATIHAH NOR AZIM

Siri Tanaman Bunga-bungaan dalam Landskap merupakan salah satu topik yang membincangkan bunga-bungaan yang terdapat di Malaysia. Siri ini membincangkan spesies bunga raya agar lebih ramai orang berminat untuk menjadikan koleksi bunga raya sebagai hobi dan ditanam dalam landskap mereka.

Buku ini mengandungi enam bab yang memperkenalkan spesies bunga raya, jenis-jenis pokok bunga raya, keperluan pertumbuhan spesies ini, cara penanaman dalam landskap, serta pengurusan dan penjagaan, dan akhir sekali pembiakan spesies ini. Pengenalan buku ini menceritakan asal usul bunga raya yang sememangnya telah terkenal sejak abad ke-18 lagi, yang dahulunya dikenali sebagai nama ‘hibiskos’ tetapi telah ditukar nama kepada ‘hibiscus’ pada tahun 1753 oleh Carl Linnaeus. Pokok bunga raya ini tumbuh di kawasan beriklim tropika dan separa tropika serta di kawasan hutan bakau, paya, tepi pantai dan di kawasan yang berpasir.

Buku ini juga menceritakan antara spesies bunga raya yang terkenal di Malaysia dan spesies yang jarang-jarang ditemui serata dunia. Buku ini melampirkan gambar satu per satu spesies bunga raya yang ada. Spesies bunga raya mempunyai nama-nama yang berbeza dan boleh dijumpai di serata dunia. Di setiap negara, fungsi bunga raya adalah berbeza. Di negara China, kaum wanita menggunakan kelopak bunga raya untuk menghitamkan rambut dan alis kening. Manakala di India pula, bunga raya dikenali sebagai bunga sepatu kerana ia digunakan untuk menghitamkan kasut. Di Hawaii pula, mereka menjadikan bunga raya sebagai bunga kebangsaan seperti juga di negara kita, Malaysia. Ada juga negara menjadikan bunga raya sebagai salad atau ulam untuk dimakan.

Sebagaimana yang kita ketahui, bunga raya mempunyai lebih daripada satu warna, seperti warna merah, kuning dan oren. Sebenarnya, setiap warna tersebut mempunyai spesies dan rupa yang berbeza. Di serata dunia, bunga raya mencecah sehingga 1000 spesies, tetapi yang boleh ditanam di Malaysia hanya 250 spesies sahaja kerana faktor iklim di Malaysia. Tidak lupa juga setiap pokok bunga raya yang tumbuh dan ditanam mempunyai keistimewaan yang tersendiri.

Antara spesies bunga raya yang paling dikenali ialah pokok bunga raya spesies hibrid. Pokok bunga raya ini tidak sesuai ditanam terus di atas tanah sebagai tanaman landskap, tetapi ia cantik dan sesuai ditanam di dalam pasu dan tempayan. Spesies hibrid ini kebanyakan ditanam untuk tujuan pertunjukan dan pameran khas. Ia selalunya ditanam sebagai koleksi untuk peminat bunga raya dan diletakkan di kawasan khas seperti rumah hijau, supaya pokok ini mendapat penjagaan khusus dan pengawalan yang sempurna.

Keperluan pertumbuhan pokok bunga raya juga memainkan peranan sangat penting agar ia terus mengeluarkan spesies yang cantik ketika proses pertumbuhan. Bagi mengelakkan kerosakan pada daun dan batang pokok bunga raya, kita harus menitikberatkan medium tanaman yang sesuai untuk pertumbuhan bunga raya. Tidak semua spesies bunga raya memerlukan cahaya untuk menghasilkan bunga. Ada juga spesies yang boleh menghasilkan bunga walaupun ditanam di kawasan separa teduh. Semasa proses pembiakan, penggunaan baja dan air harus seimbang agar pokok bunga raya tidak terbantut. Di dalam buku ini juga dilampirkan gambar untuk melihat bagaimana berlakunya kerosakan pada daun atau batang pokok bunga raya.

Penanaman pokok bunga raya bukan sahaja ditanam dalam landskap sahaja, ada yang ditanam di tembok pagar rumah sebagai pengadang. Di samping itu, ia juga ditanam sebagai tanaman spesimen di sudut khas taman dan biasanya ia ditanam bersama-sama pokok penutup bumi sebagai tanaman hiasan jalan. Buku ini turut menyediakan panduan untuk menanam pokok bunga raya di dalam bekas serta dilampirkan pemilihan bekas, persediaan medium tanaman hingga cara penanaman. Pemilihan bekas adalah sangat penting sebelum menanam pokok bunga raya di dalam bekas. Jenis bekas yang sesuai adalah yang diperbuat daripada tanah liat, kerana ia berongga dan dapat membantu pengudaraan. Sehubungan dengan itu, amat tidak digalakkan jika bekas tanah liat dicat kerana akan adanya bahan kimia yang boleh menutup ruang rongga udara.

Tidak ketinggalan juga buku ini menceritakan cara membuat campuran tanah untuk mendapat campuran tanah yang sebati dengan semua bahan yang dicadangkan agar pokok bunga raya membiak dengan subur.

Pengurusan dan penjagaan bunga raya turut ditampilkan dalam buku ini. Ini dapat memastikan penanam menguruskan penjagaan landskap dengan lebih teliti dan terperinci. Setiap tanaman mempunyai pengawalan serangga perosak dan penyakit yang perlu diteliti. Bab ini menghuraikan tentang pengawalan serangga dengan lebih mendalam agar pokok bunga raya akan membiak dengan subur dan mengeluarkan hasil yang cantik.

Bahagian akhir menceritakan tentang pembiakan, agar penanam boleh memperbanyakkan lagi penanaman bunga raya di sekitar landskap atau di kawasan lain. Kebiasaannya pembiakan secara keratan bahan dilakukan untuk mendapat pokok baru dengan cepat dan banyak pada satu masa. Cara membuat keratan bahan dihuraikan satu per satu di dalam buku ini agar mudah difahami dan diikuti oleh penanam. Selain itu, pembiakan secara tut juga dihurai jika penanam tidak mahu menggunakan kaedah pembiakan secara keratan bahan.

Siri Tanaman Bunga-bungaan dalam Landskap juga mengandungi pelbagai informasi dan langkah-langkah awal menanam pokok bunga raya. Buku ini dapat membantu para peminat bunga-bungaan dan landskap bagi menambah pokok bunga baharu untuk hiasan landskap atau kawasan perumahan agar kelihatan lebih ceria dan cantik.

Malahan, terdapat pelbagai gambar untuk memudahkan serta membantu pembaca memahami dan menggambarkan proses penanaman pokok bunga raya. Secara keseluruhannya, buku ini amat sesuai untuk para peminat landskap mahupun yang mahu berjinak-jinak menanam bunga-bungaan di sekitar rumah. Pelbagai informasi dan panduan yang berguna akan diperoleh dalam buku ini.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1047032
    Visit Today : 648
    This Month : 29631
    Total Visit : 1047032
    Hits Today : 1567
    Total Hits : 4296369
    Who's Online : 17
  • Kategori