Oleh PUZI HADI
SERAMAI kira-kira 50 orang karyawan sastera siber Malaysia berhimpun dalam majlis Temu Cara E-Sastera Kedah bersama-sama Presiden E-SASTERA, Prof. Dr. Ir. Wan Abu Bakar Wan Abas di Hostel Bustani, Jitra, Kedah pada 15 Januari lalu. Selain dari Kedah, para pesertanya datang dari Perak, Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang dan Kelantan.
Pada sesi pendaftaran keahlian Persatuan Aktivis E-Sastera Malaysia (E-SASTERA), Kedah menjadi tuan rumah pertama dalam siri jelajah ke seluruh negara sejak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan Syarikat akhir tahun 2010. Prof. Dr. Ir. Wan Abu Bakar memaklumkan, “Selama ini karyawan sastera siber Malaysia bergerak dalam media Internet secara dalam talian melalui portal e.sastera.com sejak tahun 2005 (portal asalnya, Komuniti Zero bermula sejak tahun 2002).
Seterusnya penerbitan buku sastera hasil karya ahli-ahlinya melalui syarikat E-Sastera Enterprise diusahakan, kemudian majalah dwitahunan, iaitu Sastera.Net sejak tahun 2006. Kini, persatuan E-SASTERA sama seperti persatuan-persatuan penulis sedia ada di tanah air seperti GAPENA, PENA serta ASASI (Kedah) dan lain-lain.
Jawatankuasa E-SASTERA terdiri daripada Prof. Dr. Ir. Wan Abu Bakar Wan Abas (Presiden), Encik Al-Abror Mohd. Yusof (Timbalan Presiden), Encik Mohd. Dahri Zakaria (Setiausaha), Encik Anuar Bakhri Haron (Penolong Setiausaha) dan Dato’ Norazian Abdul Wahab (Bendahari). Barisan Ahli Jawatankuasanya ialah Encik Shuhainizam Md. Ali, Encik Mohd. Shahrul Nizam Mohd. Daud, Encik Syamirul Iqram Abdullah Aloysius, Encik Wan Mohd. Ashraf Wan Mohamed dan Encik Mohamad Puzi A. Hadi. Manakala Juruauditnya ialah Encik Mohd Najimuddin Yusoff.
Pengisian atur cara Temu cara E-Sastera Kedah dimulakan dengan bacaan puisi oleh penyair Encik Mansor A. Hamid. Kemudian acara diikuti oleh sesi bicara karya sastera hasil terbitan E-Sastera Enterprise oleh empat orang pemakalah tersohor Kedah. Bicara I disampaikan oleh pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Encik Azmi Rahman berjudul “Sajak dalam Sastera.Net Edisi 10: Dimensi Cinta dan Sentuhan fikir Rasa Kontemporari Penyajak”; Bicara II oleh cerpenis Ahkarim bertajuk “Dicakar, Dikuis, Dipatuk… Ditelan @ Diluah… Mencari Entah Apa Dari Semangkuk Cendol Blues”; Bicara III pula oleh penyair Puzi Hadi berjudul “Forensik Puisi Ke Atas Kotak-Kotak Demokrasi (karya penyair N. Faizal Ghazali)”; dan Bicara IV oleh penyair Zaidin Abadi, iaitu “Novel Hostel: Memento Cinta: Kemeriahan dalam Kembara”.
Tetamu istimewa novelis, penulis skrip radio dan juga penyair dari Perlis, Puan Saleha Ahmad menarik perhatian ramai lantaran fizikal tubuhnya yang kurang keupayaan kerana sakit sekian lama. Suasana majlis menjadi hiba mengenangkan seorang karyawan sastera siber yang dahulunya gigih bersemangat tinggi biar pun meruntun hati yang melihatnya. Majlis menjadi sayu dan hiba melalui lafaz puisi oleh pengasas bersama e.sastera.com, Puan Hasimah Harun (isteri Prof Dr. Ir. Wan Abu Bakar) khusus untuk Puan Saleha Ahmad. Puisinya bertajuk “Saleha Cuma Bertanya”. Antara lain puisinya berbunyi:
Malam di jendela terbuka dirasainya tampak bayang bulan
“masihkah namaku di sudut kepenyairan?
Aaah,
Cuma keluhan berkumandang.”
Tidur Saleha untuk jaga semula pada esoknya
sudut mimpi Saleha tetap ada bagai kitalah jua
tapi dia merintih Tanya “Adakah cebisan khabar,
aduhai orang kaya?
Harap tiada bayaran bagi pertanyaan ini
deritaku kian mahal harganya.”
Kini penderitaan Puan Saleha Ahmad yang mampu bergerak menggunakan kerusi roda mendapat simpati rakan-rakan lama dan baru. Prof. Dr. Ir. Wan menyampaikan sumbangan RM800 bagi meringankan tanggungan Puan Saleha Ahmad, hasil sumbangan rakan seluruh negara dan kutipan dalam majlis Temu cara E-Sastera Kedah.
Antara yang hadir dalam Temu cara E-Sastera Kedah ialah Dato’ Abdul Halim Haji Salleh (Abdul Halim R), tokoh sastera Kedah bagi genre pantun, syair, puisi dan cerpen; Dato’ Norazian Abdul Wahab (Teratai); Mohd. Zaini Nasri, Timbalan Pendaftar Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok; dan Puan Khairiyah Ghazali, Pegawai Perancang Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara.
Karyawan sastera siber Malaysia yang lain ialah Airmas_SZ dan Rimanilzah (Perak), SAS Kalamutiara Kablam_22, Lasykar Cahaya, Matahati, S. Iqram (dari Kuala Lumpur), Haizamolek dan Teratakerapung (Selangor), MB (Negeri Sembilan), Teratai (Pahang) dan Nfaizal (Kelantan).
Karyawan sastera siber dari Kedah, antaranya ialah Abdulhalim, Ahkarim, Anna Karenina, Azmi Rahman, Brirasa, Dahna, Madhafiz, Mansor A. Hamid, Md Shahid Talib, Mokhtarahman, Muhammad Fairuz, Nawi AR, Nur Ain Hanis, Puisi Watan, Puzi Hadi, Ruhie Isma, Ruziah Bahari, Zaida Sharif dan Zaidin Abadi.
Pada akhir majlis, Prof. Dr. Ir. Wan Abu Bakar, selaku Presiden E-SASTERA mengumumkan Kedah sebagai tuan rumah majlis HesCOM Edisi Ke-9 Tahun 2011 yang dijadualkan berlangsung pada akhir tahun, iaitu bulan Disember 2011. HesCOM ialah majlis tahunan sejak tahun 2003, menyampaikan anugerah kepada para pemenang pelbagai genre sastera siber, antaranya puisi alam siber, novel alam siber, cerpen alam siber, dramatis alam siber, haiku Melayu alam siber dan, sajak jenaka alam siber serta kategori sayembara yang lain.
Turut menjadi tarikan HesCOM ialah anugerah tertinggi, ialtu Sasterawan Alam Siber (SAS) setiap tiga tahun. Kini sedia ada tiga Sasterawan Alam Siber iaitu SAS Anbakri (Kelantan, 2006), SAS Kalamutiara (Kuala Lumpur, 2009) dan SAS Nimoiz T.Y (Kelantan, 2009).
Terdapat jualan buku dan majalah sastera oleh E-Sastera Enterprise yang dikendalikan oleh Kablam_22. Antara buku yang menjadi rebutan ialah buku yang menjadi isu politik serta polemik sastera tanah air, Interlok karya Sasterawan Negara (SN) Dato’ Abdullah Hussain. Kesan demonstrasi dan membakar salinan gambar SN Abdullah Hussain dan buku Interlok, penulis mendeklamasikan puisi protes berjudul “Membakar Interlokal Interlok”.
Terima kasih Klik WEB DBP atas sudi berkongsi aktiviti sastera eSastera bersama Dewan Bahasa dan Pustaka.
Insya-Allah karyawan eSastera Kedah diberi mandat oleh Persatuan Aktivis E-Sastera Malaysia (E-SASTERA) menjayakan Hadiah eSastera.com (HesCom) pada 10 Disember 2011 di Taman Budaya Pumpong, Alor Setar dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan, Kesenian Negara, Negeri Kedah dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU).
Terima kasih atas maklumat yang diberikan.