Oleh NURUL JULIA ALANI HENRY
“KITA sedang mencipta sejarah,” demikian luahan Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik semasa merasmikan Forum Bahasa Jiwa Bangsa yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka pada 21 November 2018. Beliau berkata demikian kerana bersempena dengan forum itu, diadakan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong). Penandatanganan MoU itu bertujuan untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang bahasa dan sastera, khususnya dalam kalangan pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC). Dr. Maszlee juga berkata, sesungguhnya kerjasama sebegini amat diperlukan bagi memastikan bahasa Melayu menjadi milik bersama dan berharap kerjasama antara dua pihak itu akan berterusan demi pemartabatan bahasa Melayu.
“Perjuangan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bukanlah bermakna kita menidakkan atau menafikan kepentingan bahasa ibunda kaum lain. Berteraskan Perlembagaan, bahasa Melayu merupakan bahasa penyatuan yang telah termaktub dalam Perlembagaan Negara, dan semangat Perlembagaan itu mestilah diterjemahkan oleh semua kaum dengan cara menggunakan bahasa kebangsaan untuk berkomunikasi dalam segenap aspek,” Dr. Maszlee menambah.
Berhubung dengan Forum Bahasa Jiwa Bangsa pula, Dr. Maszlee menganggap program itu, yang merupakan kerjasama antara DBP, Dong Zong dan Inisiatif Pengislahan Pendidikan Nasional (IPPN), sebagai satu langkah ke arah mewujudkan wacana ilmiah yang dapat mengubah persepsi masyarakat pelbagai kaum terhadap perjuangan memartabatkan bahasa Melayu di Malaysia. Dr. Maszlee juga menyarankan agar lebih banyak aktiviti dan program silang budaya antara Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan dan Sekolah Agama diadakan bagi melahirkan murid yang berfikiran terbuka dan bersikap saling menerima dan memahami antara satu sama lain walaupun berbeza aliran persekolahan, bangsa dan agama.
Sebelum itu, Pengerusi Dong Zong, Tan Tai Kim dalam ucapan alu-aluannya berkata, pihaknya berharap kerjasama yang semakin erat antara DBP dengan Dong Zong akan menyokong pembelajaran bahasa Melayu dalam kalangan pelajar SJKC. Selain itu, kerjasama yang terjalin juga akan melahirkan kesedaran tentang kepentingan mempelajari dan mengenali kepelbagaian budaya yang ada di Malaysia. Sebelum mengakhiri ucapannya, beliau menaruh harapan agar kerjasama sebegini bukan saja dapat diteruskan, malah dipererat.
Sebaik-baik sahaja selesai menyampaikan ucapannya, Dr. Maszlee bersama-sama Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Mohd. Gazali Abas dan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Dr. Mohamed Hatta Shaharom menyaksikan penandatanganan MoU tersebut. Bagi pihak DBP, MoU ditandatangani oleh Timbalan Ketua Pengarah Dasar DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran dan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dato’ Hajah Padilah Haji Ali manakala Dong Zong diwakili oleh Pengerusinya, Tan Tai Kim dan Timbalan Pengerusi, Tan Yew Sing. Sebelumnya berlangsungnya Forum Bahasa Jiwa Bangsa, tetamu kehormat dan para hadirin dihiburkan dengan persembahan deklamasi sajak bertajuk “Kitalah Warga Merdeka” yang disampaikan oleh Wong Puee Yee dan persembahan orkestra Cina.
Selaras dengan matlamat dan hasrat untuk menjadikan bahasa Melayu milik bersama, Forum Bahasa Jiwa Bangsa menampilkan ahli panel yang boleh dianggap mewakili tiga kaum utama di Malaysia, iaitu K. Arumugam (Penasihat Tamil Foundation), Dr. Wong Chin Huat (Felo Penang Institute) dan Profesor Dr. Mohamed Hatta Shaharom (Pengerusi Lembaga Pengelola DBP). Forum yang berlangsung dalam suasana santai namun sarat dengan mesej untuk pemartabatan bahasa Melayu ini menampilkan Nazri Kahar dari Astro Awani selaku moderator.
Dengan membincangkan tajuk “Bahasa Jiwa Bangsa”, ketiga-tiga ahli panel mengetengahkan sudut pandangan masing-masing berkaitan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Selain itu, ahli panel juga merungkai persoalan, adakah usaha pemartabatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan benar-benar berlaku, khususnya dalam kalangan kaum bukan Melayu seperti Cina dan India. Berkaitan hal ini, K. Arumugam mengajak hadirin bersama-sama berfikir tentang konsep “satu bahasa” dalam negara yang pelbagai kaum. Adakah bahasa boleh membuka ruang untuk integrasi dan asimilasi kaum seperti yang terdapat dalam barisan lirik lagu “Bahasa Jiwa Bangsa”, iaitu “bahasalah menyatukan kita semua”? Beliau juga mengaitkan konsep “satu bahasa” itu dengan pegangan “satu bahasa sebagai satu identiti kebangsaan”.
Dr. Wong pula berhujah dari sudut perjuangan dan pemerkasaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Bagi beliau, apabila bahasa kebangsaan berjaya diangkat sebagai bahasa ilmu, setiap individu pasti akan belajar untuk menguasai bahasa itu dengan baik. Oleh sebab itu, untuk menjadikan bahasa Melayu maju dan berjaya sebagai bahasa ilmu, Dr. Wong menyarankan agar ditambah nilai kebergunaan dan kebolehgunaan bahasa Melayu. Beliau yakin bahawa dengan cara itu sahaja setiap lapisan masyarakat akan menggunakan bahasa Melayu dalam urusan kehidupan mereka.
Profesor Dr. Mohamed Hatta pula menegaskan bahawa institusi DBP milik semua kaum. Begitu juga dengan bahasa Melayu yang sebenarnya milik semua kaum. Dalam hal ini, beliau menyeru agar setiap individu, sama ada Cina, India atau kaum bukan Melayu yang lain tidak mempunyai sifat “buruk sangka” terhadap bahasa Melayu dan DBP. Bagi beliau, tidak salah untuk mempertahankan bahasa ibunda yang dituturkan sejak kecil. Akan tetapi, apabila menyentuh soal kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, hal ini harus diterima secara bersama dan dipertahankan oleh setiap kaum.
Selain melakar sejarah melalui penandatanganan MoU, Forum Bahasa Jiwa Bangsa pula berjaya menghimpunkan bukan sahaja kaum Cina dan Melayu malah turut dihadiri oleh kaum India yang ingin mendengar pandangan, cadangan dan penyelesaian terbaik untuk proses integrasi dan asimilasi kaum melalui satu bahasa. Forum ini juga menjadi titik mula, khususnya dalam kalangan kaum bukan Melayu untuk memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan melalui kata keramat “bahasa jiwa bangsa”.