Oleh ZAIDI ISMAIL
PADA 16 hingga 18 Mei lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka sekali lagi telah menganjurkan Kursus Penulisan Profesional di Ibu Pejabat SKMM, Cyberjaya.
Kali ini, kursus diadakan selama tiga hari. Dalam kursus tersebut, pada peringkat permulaannya, penulis selaku penceramah memberikan penerangan dan penjelasan kepada peserta kursus tentang asas-asas penggunaan bahasa Melayu, khususnya dalam aspek ejaan, pembentukan kata, dan pembinaan ayat yang baik dan betul dalam dokumen-dokumen rasmi. Setelah itu, barulah peserta diberi penerangan tentang aspek format dan penggunaan bahasa dalam dokumen-dokumen rasmi yang selalu digunakan, iaitu surat, memo, e-mel rasmi, serta minit mesyuarat dan laporan program.
Kursus Penulisan Profesional ini diadakan untuk meningkatkan kemahiran dan mutu penggunaan bahasa Melayu dalam urusan penyediaan dokumen-dokumen rasmi, khususnya surat, memo, e-mel, minit mesyuarat, dan laporan. Dalam kursus tersebut, selain diberikan penerangan dan penjelasan tentang penggunaan bahasa Melayu dalam urusan penyediaan surat, memo, e-mel rasmi, serta minit mesyuarat dan laporan, peserta turut diberikan latih amal penggunaan bahasa dalam dokumen-dokumen yang berkaitan. Pengisiannya disusun secara khusus agar peserta dapat memahami asas dan prinsip penulisan dokumen rasmi dengan menggunakan gaya bahasa yang lebih berkesan; mengetahui kesilapan-kesilapan lazim yang dilakukan dalam penulisan dokumen rasmi; menerapkan teknik mendengar, menganalisis dan mencatat maklumat dengan lebih berkesan semasa perjalanan mesyuarat; serta meningkatkan keyakinan menulis dan keterampilan berbahasa Melayu dalam dokumen rasmi.
Dalam kursus selama tiga hari tu, seramai 25 orang karyawan SKMM yang terdiri daripada pegawai dan kumpulan sokongan daripada pelbagai jabatan telah ikut serta. Pada dasarnya, keseluruhan karyawan yang ikut serta terlibat secara langsung dalam penulisan surat, memo, e-mel rasmi, serta minit mesyuarat dan laporan program di jabatan masing-masing.