Oleh AHMAD SOERJADI ABD. KAHAR

Dunia kini tidak lagi seperti dahulu, maka dunia yang akan datang mungkin tidak lagi berjiwa masa ini. Mari kita lihat perkembangan semasa apabila berlakunya pemodenan taraf hidup, seperti peningkatan penggunaan teknologi terkini dan penarafan media, khususnya media elektronik. Sesiapa pun yang lahir pada sebelum zaman milenium sudah tentu masih teringat akan perkembangan telefon mudah alih daripada yang bersaiz besar kepada saiz yang lebih kecil, daripada yang hanya menggunakan talian GSM kepada talian 4G, daripada sistem operasi kuno kepada sistem operasi android dan lain- lain lagi.

Walau apa-apa pun sistem yang digunakan, telefon bimbit tetap meneruskan khidmat pesanan ringkas (SMS) mahupun chat. Akan tetapi, masalah yang sama masih berulang sejak bertahun-tahun dahulu, iaitu penggunaan ejaan yang singkat yang kadangkala boleh melampaui daftar ejaan sebenar, seperti yang pernah diajarkan kepada kita sejak berada di bangku prasekolah lagi, seperti keja yang membawa maksud kerja ataupun kejar dan juga i2 yang membawa maksud itu.

Adakah kita berbangga dengan budaya ini? Di manakah silapnya? Mungkin guru, remaja, ibu bapa, pengiklan atau yang paling penting, kemodenan. Bukankah kita sepatutnya faham dan sedar apabila kita sudah biasa melakukannya, maka mungkin kita akan terbawa-bawa ke alam pendidikan? Saya pernah difahamkan oleh salah seorang kawan ketika bersekolah pada masa dahulu bahawa beliau guru di sebuah sekolah menengah di selatan semenanjung kini.

Beliau sendiri pernah mengesan sebilangan pelajarnya menggunakan ejaan yang singkat, khususnya dalam menyiapkan kerja sekolah yang diberikan. Ini penanda aras yang bahaya sama ada pelajar berpotensi membuat perkara yang sama ketika menjawab soalan peperiksaan, seperti Sijil Penilaian Menengah (SPM).

Hal ini juga boleh menimbulkan masalah sekiranya pelajar melakukan kesilapan ketika menghabiskan penulisan tesis akhir tahun dan seterusnya apabila berada di alam pekerjaan. Adakah masih ada kualiti dalam berbahasa dalam kalangan rakyat Malaysia? Bukankah generasi kini patut menjaga adab dan aturan ketika berbahasa seperti generasi sebelumnya? Adakah daftar ejaan bahasa Malaysia akan pupus ditelan zaman seperti yang sedang berlaku pada daftar ejaan jawi?

Saya yakin kita semua sudah sedia maklum bahawa berbagai-bagai inisiatif telah diambil oleh kerajaan dalam menarik minat bangsa Malaysia untuk berbahasa dengan betul, ditambah pula dengan galakan menggunakan ejaan yang sempurna. Adakah kerajaan masih perlu dipersalahkan? Usaha memartabatkan bahasa ini bukanlah perkara yang mudah umpama mulut berkata-kata tetapi tangan tidak melaksanakannya, malah dikatakan mungkin akan mengambil tempoh yang tidak pasti.

Pada suatu ketika dahulu, bahasa Melayu dikatakan menjadi lingua franca yang paling kerap digunakan oleh pedagang asing yang datang ke Nusantara, seperti selatan tanah Siam, Indonesia, Brunei, dan khususnya Tanah Melayu, untuk menjual barang dagangan mereka terutamanya ketika zaman kesultanan Melayu Melaka. Kita sebagai bangsa Melayu, khususnya bangsa Malaysia, sepatutnya berbangga akan reputasi ini, yang bukan sekadar menjadi bahasa ibunda, tambahan pula menjadi bahasa yang disegani setiap penduduk dunia.

Mari kita jenguk permasalahan dalam konteks yang lain pula. Saban hari kita disajikan dengan rancangan yang menarik, termasuklah iklan animasi. Pada satu ketika, generasi kini juga sudah dibiasakan dengan media sosial, seperti Facebook, Twitter, Instagram, Wechat dan Whatsapp. Mari kita telusuri hal ini dengan lebih lanjut lagi.

Terdapat beberapa iklan menerusi media elektronik yang sememangnya mempunyai unsur pemahaman dan latar yang menarik, tetapi malangnya penggunaan bahasa rojak begitu aktif dipopularkan. Sebagai contoh, penggabungan penggunaan bahasa kebangsaan dengan bahasa Inggeris. Perkara ini sepatutnya membimbangkan kita semua kerana terdapat kemungkinan pada satu masa nanti, perkataan dalam bahasa asing akan dimelayukan sewenang-wenangnya.

Baru-baru ini, saya telah menyaksikan iklan di kaca televisyen mengenai satu produk minuman. Malangnya, bahasa Malaysia telah dicemari dengan dicampurbaurkan dengan satu dua perkataan Inggeris. Adakah penerbit tidak menghargai bahasa utama negara kita? Adakah sekadar mengutamakan keuntungan berlipat ganda hasil daripada iklan tersebut? Ini baru satu contoh iklan yang dapat saya berikan, pada hal ada lagi beberapa iklan lain yang lebih jelas penayangannya sejak belakangan ini.

Adakah kita malu untuk menggunakan bahasa ini sepenuhnya? Kalau perlu berbahasa asing, maka tidak perlulah dirojakkan dan dirosakkan dengan bahasa ibunda kita. Usaha kerajaan dalam memperhebat penggunaan bahasa Melayu di samping mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris boleh gagal sekiranya kita, rakyat Malaysia, tidak mengendahkannya. Usaha ini haruslah dihargai dan dipuji dalam menghasilkan golongan cerdik pandai glokal, iaitu berminda kelas pertama yang bersifat global, bercirikan tempatan.

Contohnya, Bulan Bahasa Kebangsaan yang diadakan pada setiap tahun dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri yang diadakan pada bulan Mac lepas. Saya telah mendapat sesuatu yang menyentuh hati saya menerusi PABM apabila bangsa asing begitu berminat untuk mendekati bahasa ini, tetapi masyarakat tempatan lebih menyukai dan tertarik akan bahasa rojak dan seterusnya bahasa asing.

Mungkin tidak banyak orang tahu, jika saya tidak silap, Radio Antarabangsa China (CRI) yang berpangkalan di China pernah bekerjasama dengan DBP untuk memperkenalkan bahasa Melayu di sana menerusi kuiz bersiri, siaran radio dan juga risalah dalam bahasa ini sepenuhnya. Tidakkah kita sepatutnya berbangga pada bahasa kita sehingga bangsa asing, khususnya rakyat China, antara lima negara terbaik yang memegang kuasa ekonomi dunia, ingin mempelajarinya?

Cuba kita fikir dengan kritisnya di luar kotak pemikiran kita. Semua pihak harus berganding bahu dalam memartabatkan bahasa kebangsaan, bukannya meletakkan tanggungjawab di bahu ahli akademik, terutamanya guru, dan kerajaan sahaja. Cikgu perlu memastikan kesemua anak didik mereka faham dan tahu membezakan antara penggunaan bahasa yang betul dengan bahasa rojak yakni, bahasa yang salah, bukannya memberikan markah “kasihan” sekiranya mereka silap, khususnya dalam peperiksaan.

Media massa pula, termasuklah media cetak dan elektronik, tidak seharusnya mempamerkan penggunaan ejaan yang salah di samping iklan yang kerap kali menggabungkan bahasa Melayu dan juga bahasa asing pada satu-satu masa, walaupun iklan berkenaan bernilai tinggi dan boleh menguntungkan media apabila pelanggan menggunakan slot iklan pada satu tempoh. Ingatlah! Jika kita tidak mendaulatkan bahasa ini, maka siapa lagi yang boleh diharapkan? Sebelum mengakhiri kalam, saya ingin menyampaikan ayat yang sering kita dengar, iaitu ”Bahasa Jiwa Bangsa. Bahasa Menunjukkan Bangsa”.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1045262
    Visit Today : 158
    This Month : 27861
    Total Visit : 1045262
    Hits Today : 620
    Total Hits : 4291185
    Who's Online : 11
  • Kategori