buku asma

Pengulas       :                ZAIDI ISMAIL

Judul Buku       :             Gaya Hidup Sihat Mengatasi Asma

Pengarang        :              Che Wan Aminud-din Hashim

Penerbit            :              Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun Terbit   :                2015

SUATU masa dahulu, apabila diserang asma, ibu dan ayahlah yang bertungkus lumus mencuba pelbagai kaedah rawatan tradisional untuk mengubati penyakit tersebut. Tambahan pula pada ketika itu kemudahan untuk mendapatkan rawatan di klinik agak sukar kerana keperitan hidup yang dialami.

Jangan pandang remeh terhadap penyakit asma. Penyakit paru-paru kronik ini telah meragut nyawa banyak orang termasuklah kanak-kanak, remaja dan orang dewasa. Apabila mengalami masalah kesukaran bernafas dan batuk berterusan, rasa ketat di bahagian dada, terutamanya pada waktu malam, berhati-hatilah kerana anda mungkin mengalami asma.

Banyak faktor yang boleh mencetuskan asma, antaranya termasuklah alergi, makanan dan pekerjaan. Lebih mengejutkan, senaman boleh mencetuskan asma. Penyakit asma merupakan penyakit yang dapat ditangani dengan mudah jika rawatan yang segera diberikan. Rawatan asma memerlukan kerjasama antara pesakit dengan doktor yang merawat.

Pemantauan yang berterusan oleh doktor sangat penting untuk mencapai kawalan asma yang baik. Penghidap juga perlu mempunyai pengetahuan berkaitan penyakit asma untuk membantu penghidap sendiri menilai dan membeza kawalan tahap kawalan asma yang berbeza. Asma yang tidak terkawal mampu menyumbang ke arah kualiti hidup yang rendah dan risiko kepada kematian.

Masyarakat mengenali asma sebagai semput atau lelah. Hakikatnya, asma ialah sejenis penyakit kronik yang berkaitan dengan sistem pernafasan manusia. Saluran pernafasan ialah satu daripada organ tubuh yang penting berfungsi untuk membawa udara masuk dan keluar daripada paru-paru. Apabila serangan asma berlaku, ia menyebabkan nafas menjadi sesak dan penghidapnya akan berasa kurang selesa pada bahagian dada. Punca kematian asma tanpa mengira umur daripada kanan-kanak sehinggalah orang dewasa. Ini menggambarkan asma tidak boleh dipandang ringan dan anggapan masalah kesesakan nafas hanya bersifat sementara sebenarnya adalah salah sama sekali. Malahan ada yang beranggapan asma boleh disembuhkan cukup dengan mengambil ubat batuk dan selesema kerana penghidap asma mempunyai simptom tersebut. Pencegahan awal dapat dilakukan dan mungkin boleh menyelamatkan nyawa penghidap asma itu sendiri.

Topik asma dan alergi dalam bab kedua buku ini amat penting diketahui oleh penghidap asma. Dalam bab ini diterangkan tentang alergi yang terbahagi kepada dua jenis. Pertama, disebut sebagai alergen spesifik manakala jenis yang kedua pula disebut alergen bukan spesifik atau bahan iritasi. Apabila saluran pernafasan terdedah kepada alergen, saluran tersebut akan mengalami keradangan lalu proses inflamasi akan berlaku. Pemakanan juga menyumbang kepada penyebab alergi di mana kebanyakan alergen ialah sejenis protein seperti telur, makanan laut dan kekacang.

Pada masa sekarang, semakin ramai kanak-kanak menghidap penyakit asma. Salah satu penyebab alergen adalah faktor persekitaran. Negara yang pesat membangun menyebabkan lebih banyak pembinaan bangunan baru, penebangan hutan dan asap kenderaan di jalan raya. Pencemaran udara merupakan salah satu faktor pencetus asma. Selain itu, asap rokok juga adalah satu faktor yang boleh terjadi kepada penghidap asma. Asap rokok itu meninggalkan kesan pada sofa, kain cadar serta udara persekitaran yang berbau rokok memberikan kesan yang tidak sihat kepada kanak-kanak terutamanya apabila mereka terhidu bau asap atau bermain berhampiran perkakas rumah.

Secara umumnya terdapat pelbagai jenis pencetus yang dapat menyebabkan asma, antaranya termasuklah dalam sektor pekerjaan tertentu. Ramai dalam kalangan kita yang tidak menyedari bahawa tempat kerja juga dapat menyumbang kepada terjadinya kes-kes asma. Bahan-bahan kimia yang terampai ataupun dalam udara di tempat kerja boleh menyebabkan berlakunya tindak balas pada saluran pernafasan apabila disedut semasa bernafas.

Hal yang berkaitan dengan asma dan pekerjaan ini ada dijelaskan dalam bab keenam buku ini. Penyakit asma yang berlaku disebabkan terdedahnya seseorang kepada pencetus tertentu di tempat kerja dikenali sebagai asma pekerjaan. Pencetus bermaksud sebarang faktor luaran yang dapat mengakibatkan berlakunya asma ataupun menyebabkan asma yang sedia ada menjadi lebih teruk. Asma jenis ini dapat berlaku dalam hampir semua jenis pekerjaan yang melibatkan apa-apa juga bidang, antaranya termasuklah pekerjaan di pejabat, sekolah, kilang pemprosesan makanan, bahan elektronik, alat ganti kenderaan dan kawasan pembinaan.

Secara umumnya, bagi asma jenis pekerjaan ini, bahan yang dapat menyebabkan asma ialah debu atau bahan kimia yang terdapat di tempat kerja mereka. Debu atau bahan kimia dianggap pencetus terhadap sistem imun dan proses keradangan akibat terhidu semasa bernafas. Pekerjaan di sektor perkilangan dianggap sebagai berisiko tinggi untuk mendapatkan asma yang disebabkan oleh pekerjaan mereka. Persekitaran di tempat kerja berhabuk dapat mencetuskan simptom asma.

Secara keseluruhannya, buku yang mengandungi sepuluh bab ini amat sesuai dijadikan rujukan kepada keluarga yang mempunyai penghidap asma. Selain itu, buku ini juga boleh menjadi panduan untuk mengawal penyakit asma, peluang untuk hidup normal seperti insan yang lain bukanlah sesuatu yang mustahil. Oleh sebab itu, setiap penghidap asma perlu yakin dalam menjalani kehidupan dengan aktif tanpa sebarang kerisauan.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1046639
    Visit Today : 255
    This Month : 29238
    Total Visit : 1046639
    Hits Today : 475
    Total Hits : 4295277
    Who's Online : 12
  • Kategori