kacip fatimah 

Pengulas:        NORSUHAILA IBRAHIM

Judul:                Kesihatan Wanita-Kenapa Kacip Fatimah?

Pengarang:       Intan Idiana Hassan dan Nik Hazlina Nik Hussain

Penerbit:           Dewan Bahasa dan Pustaka

BUKU berjudul Kesihatan Wanita-Kenapa Kacip Fatimah ditulis oleh Intan Idiana Hassan, pensyarah Kejururawatan dari Pusat Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, Kelantan dan Profesor Dr. Nik Hazlina Nik Hussain, penyelaras di Unit Perkembangan Kesihatan Wanita, Pusat Pengajian Sains Perubatan, USM, Kelantan.

Kandungan buku ini secara ringkas berkisar tentang pertumbuhan pokok kacip fatimah, penggunaan dan khasiatnya menurut pengamal perubatan tradisional Melayu dan juga perubatan secara moden. Keunikan buku ini, lebih memfokuskan tentang penggunaan dan amalan tanaman kacip fatimah yang telah dikaji dan diteliti secara saintifik oleh pakar penyelidik perubatan. Sungguhpun dikenal sejak sekian lama dan dihebahkan khasiatnya dari mulut ke mulut secara turun-temurun, namun masyarakat umum khasnya tidak terdedah kepada hasil kajian yang telah diperoleh. Kini, pelbagai kajian telah dilakukan untuk mengkaji kelebihan kacip fatimah terhadap wanita dari pelbagai sudut.

Bab pertama buku ini menerangkan tentang pokok kacip fatimah, ciri-ciri pokok kacip fatimah dan pertumbuhannya. Pokok kacip fatimah boleh dikategorikan sebagai tumbuhan berkhasiat kerana mempunyai batang yang keras dan berkayu dan boleh digunakan untuk pelbagai ubat-ubatan. Nama saintifik kacip fatimah ialah Labisia pumila dan tergolong dalam famili Mysinaceae yang digunakan masyarakat Melayu sejak 400 tahun yang lalu. Penemuannya jauh lebih awal berbanding dengan pokok berkhasiat yang lain.

Di Malaysia, pokok ini dikenal dengan pelbagai nama dalam masyarakat Melayu berdasarkan khasiatnya seperti selusuh fatimah, rumput siti fatimah, akar fatimah, pokok pinggang, tadah matahari, bunga belangkas hutan dan kunci fatimah. Pokok kacip fatimah ialah sejenis tumbuhan berdahan renek, dahannya tegak dan berwarna gelap, akar tunjang panjang dan dikelilingi oleh anak akar yang halus. Malahan, anak pokok kacip fatimah boleh tumbuh keluar di sepanjang akarnya itu. Ketinggian pokok ini ialah 30 hingga 50 cm, dahan berkayu (yang membezakannya dengan herba) dan boleh ditemui dalam dua jenis warna daun yang berbeza, iaitu berwarna hijau dan ungu. Setiap pokok mempunyai kira-kira 5 hingga 10 helai daun. Anggaran panjang daunnya ialah antara 5 hingga 35 cm dengan lebar antara 2 hingga 8 cm. Helaian daun dipenuhi dengan urat daun dan tidak mempunyai rasa dan bau. Pokok ini mempunyai buah di bahagian pangkal batangnya. Buah pokok kacip fatimah berwarna hijau semasa muda dan bertukar kepada warna merah apabila matang. Ukuran diameter buah lebih kurang 5 cm. Pokok ini juga mempunyai bunga bersaiz sangat kecil yang tersusun pada satu jambak yang berukuran 6 hingga 30cm panjang. Bunga ini terdapat dalam pelbagai warna seperti ungu atau berwarna merah jambu. Namun demikian, keseluruhan ciri pokok amat bergantung pada jenis atau variasi pokok kacip fatimah.

Bab kedua pula menerangkan tentang khasiat kacip fatimah, golongan pengamal perubatan tradisional, sumber kacip fatimah, pengguna kacip fatimah dan pantang larang penggunaan kacip fatimah. Khasiat kacip fatimah yang dihuraikan oleh pengamal perubatan biasanya disusuli penjelasan reaksi kepada badan. Walaupun tiada kajian saintifik yang menyokong penjelasan mereka, keyakinan terhadap kacip fatimah adalah sangat tinggi berdasarkan pengalaman yang terdahulu.

Tinjauan terhadap wanita Melayu Kelantan pada tahun 2004 menunjukkan pelbagai kepercayaan berkaitan dengan khasiat kacip fatimah termasuk memudahkan proses kelahiran, mengembalikan tenaga semasa dalam pantang, meningkatkan nafsu seks, mengurangkan masalah kesakitan semasa haid dan mengurangkan gejala setelah mencapai usia menopaus atau putus haid. Antara masalah kesihatan wanita lain yang dipercayai dapat dirawat dengan menggunakan kacip fatimah termasuklah angin dalam perut (kembung perut), cirit-birit berdarah, penyakit kelamin dan buasir. Malahan, kehebatan kacip fatimah juga dipercayai boleh dijadikan ubat untuk mencegah kehamilan dan paras rupa wanita akan sentiasa kelihatan awet muda kerana produk ini dianggap mampu mencegah penuaan.

Golongan pengamal dan pengguna kacip fatimah terdiri daripada wanita, lelaki dan bayi serta kanak-kanak. Walaupun pelbagai peringkat umur dan jantina boleh menggunakan kacip fatimah, ia tidak sesuai untuk dimakan oleh ibu yang hamil (peringkat awal), ibu yang menyusui anaknya dan wanita yang sedang didatangi haid. Pengambilan kacip fatimah bagi ibu yang mengandung pada peringkat awal dibimbangi boleh mengakibatkan kandungan tidak kuat, boleh menyebabakan keguguran dan jika kandungan berjaya dikekalkan berkemungkinan bayi yang bakal dilahirkan akan mengalami kecacatan.

Bagi ibu yang menyusui bayi pula tidak boleh mengambil kacip fatimah kerana dibimbangi memberikan kesan terhadap tumbesaran bayi. Sebagai contoh, masalah jaundis atau kekuningan dalam kalangan bayi dalam tempoh yang lama boleh berlaku disebabkan ibu yang suka mengamalkan pengambilan jamu semasa dalam tempoh berpantang. Manakala bagi wanita sedang haid dilarang mengambil kacip fatimah kerana semasa haid rahim berada dalam keadaan mengembang, justeru pengambilan produk kacip fatimah akan menyebabkan rahim mengecut dengan lebih cepat dan awal dari tempoh yang sepatutnya sehingga boleh menyebabkan pengeluaran haid terganggu.

Bab ketiga menerangkan tentang kepelbagaian penggunaan kacip fatimah. Air rebusan kacip fatimah dipercayai berkhasiat untuk memelihara kesihatan dalaman wanita, memelihara paras rupa dan membetulkan kitaran haid dan mengurangkan gejala senggugut. Manakala rendaman kacip fatimah boleh digunakan untuk dibuat air mandian, khususnya bagi wanita yang baru bersalin. Kebanyakan Orang Asli mengamalkan kaedah mandi menggunakan air rendaman daun kacip fatimah kerana dipercayai boleh menghindari bau badan yang kurang menyenangkan selepas bersalin. Pes kacip fatimah pula digunakan untuk merawat masalah kembung perut yang kerap berlaku dalam kalangan bayi. Pes akan dicampurkan dengan minyak kelapa dan disapukan pada perut bayi yang dipercayai dapat membuang angin dan mencegah pembentukan gas yang menyebabkan kembung perut. Selain itu, kacip fatimah juga disediakan dalam bentuk kapsul dan majun mengikut permintaan dan pilihan pengguna. Majun biasanya disarankan kepada wanita selepas bersalin, dimakan pada sebelah pagi dengan saiz sebesar jari selama dalam tempoh pantang. Terdapat juga segelintir masyarakat Melayu yang gemar memakan pucuk kacip fatimah untuk dijadikan ulam dalam menu harian mereka. Daun pucuk muda kacip fatimah adalah lembut tetapi rasanya kelat dan pahit.

Bab keempat menerangkan khasiat kacip fatimah dari sudut sains termasuk kajian toksikologi dan kesan sampingan terhadap pengguna. Antara bahan yang terkandung dalam kacip fatimah sebagai khasiat dalam perubatan termasuklah Phytoestrogen, zat besi, antiradang dan antibakteria. Beberapa orang penyelidik sedang mengkaji kesan phytoestrogen yang dikatakan memberi manfaat pada kesihatan termasuklah sebagai ubat antikanser, mengurangkan gejala menopaus, melindungi penyakit jantung dan reput tulang atau osteoporosis, mengembalikan ketegangan payudara dan mengetatkan otot faraj. Beberapa kajian tentang pengambilan produk kacip fatimah yang telah dilakukan oleh para penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam kalangan wanita menopaus mendapati tiada kesan yang mudarat pada kesihatan wanita tersebut, namun kajian lanjut perlu diteruskan untuk membuktikan keberkesanannya yang hakiki. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kesan sampingan kacip fatimah yang berjaya ditemui hasil kajian saintifik oleh para penyelidik termasuk berisiko memberikan alahan terhadap masalah kulit dan menyebabkan kesan kecacatan dan kematian bayi dalam kandungan.

Bab kelima, iaitu bab akhir buku ini menjelaskan tentang pengkomersialan produk kacip fatimah termasuk kajian saintifik produk, proses kajian kumpulan sasaran dan pengambilan produk kacip fatimah di pasaran. Seperti yang diketahui masyarakat umum, kacip fatimah ini mempunyai nilai komersial di luar negara. Untuk menembusi pasaran luar negara, terutamanya negara maju, data saintifik diperlukan bagi membuktikan keberkesanan produk berasaskan tumbuhan berkhasiat seperti yang didakwa oleh pengamal perubatan tradisional. Selain itu, usaha penanaman prakomersial telah membuka laluan yang lebih luas bahawa penghasilan produk kacip fatimah berteknologi mampu menjana ekonomi negara. Penemuan kebaikan berdasarkan kajian saintifik yang telah dibuktikan oleh pakar penyelidik perubatan memberikan nilai tambah kepada kacip fatimah.

Sekiranya tongkat ali dianggap sebagai raja ubat, tonggak kekuatan dan kegagahan golongan lelaki, begitulah juga dengan kacip fatimah pemelihara kesihatan dan keintiman wanita. Khasiat dan kehebatan kacip fatimah berupaya memberikan rawatan pada kesihatan dalaman dan luaran wanita. Malahan, kesihatan wanita seolah-olah “dipelihara”oleh kebaikan kacip fatimah. Tidak mustahil kacip fatimah dijadikan resipi kebahagiaan rumah tangga, agar hubungan suami isteri menjadi lebih bermakna dan berseri lagi.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1046188
    Visit Today : 1084
    This Month : 28787
    Total Visit : 1046188
    Hits Today : 3552
    Total Hits : 4294117
    Who's Online : 7
  • Kategori