Oleh ADNAN JAMIL

PERKUMPULAN Penulis dan Penyair Wanita Malaysia dengan kerjasama Gapena dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mengadakan forum bertajuk Wanita dan Sastera: Bukan Cinta Biasa, bertempat di Rumah Gapena, Jalan Belfield, Kuala Lumpur. Forum pada 16 Mei 2015 itu menampilkan YBhg. Datuk Dr. Zurinah Hassan, Cik Hani Salwah Yaakub, Encik Rosli K. Matari dan Encik Mohamad Shaidan.

6 mawar n zurinah

Datuk Dr. Zurinah Hassan menceritakan pengalaman awal beliau menjadi penulis.

Antara perkara yang dibincangkan ialah tentang senario penulis atau penyair wanita sekarang, sama ada masih klise atau dapat melahirkan karya yang kuat dan berisi. Datuk Zurinah yang memulakan perbahasan berkata bahawa amatlah sukar dan banyak halangan bagi seorang wanita yang ingin menjadi penulis dalam sosiobudaya Melayu. Ibu bapa zaman dahulu pula tidak menggalakkan anak-anak menjadi penulis, sebaliknya sangat suka jika anak mereka pandai memasak.

4 hani n ramai

Hani Salwah, penulis wanita generasi baru menyampaikan pendapat tentang penyair wanita.

Bagi Hani Salwah Yaakub, memang tidak ramai penulis wanita yang menulis untuk penerbitan arus perdana. Mungkin disebabkan mereka mendapat pendidikan dalam era moden, maka mereka lebih terbuka untuk mengungkapkan pelbagai hal – berterus-terang, marah-marah, memberontak – yang memungkinkan karya mereka tidak nampak nilai seni seperti yang dicari oleh sebahagian pembaca. Karya mereka pula diterbitkan oleh bukan penerbit arus perdana. Oleh sebab itu karya mereka jarang kelihatan. Rashidah Osman misalnya, antara penyair muda yang menghasilkan karya yang baik dan sering diperkatakan oleh Allahyarham Rahimidin Zahari.

5 hani rosli mat

Rosli K. Matari: “Perlu dilihat dan dicari jalan bagi menambahkan bilangan penulis wanita.

Tentang senario terdapatnya pembahagian kumpulan penyair wanita dan penyair lelaki yang memungkinkan terdapat kesan kepada kualiti sesebuah karya, Rosli K. Matari berkata, dunia wanita dan dunia lelaki memang berbeza daripada segi susastera. Dunia wanita adalah lebih baik jika diungkapkan oleh wanita. Penilaian daripada kaca mata atau minda taakulan lelaki dan wanita mungkin berbeza jika didalami tentang rasa putus cinta daripada sisi hati lelaki dengan rasa putus cinta daripada sisi hati wanita.

Menurut beliau lagi, sesuatu yang dihasilkan oleh golongan wanita tetap diperlukan. Daripada sudut perkembangan kesusasteraan, tentulah tidak banyak sumbangan wanita disebabkan kurangnya jumlah penulis wanita. Perlu dilihat dan dicari jalan lain bagi menambahkan bilangan penulis wanita kerana sumbangan penulis wanita juga penting dalam dunai kesusasteraan.

Bagi Mohamad Shaidan, wanita Melayu berdepan dengan cabaran yang besar untuk menjadi penulis. Halangan dalam pekerjaan dan rumah tangga antara kekangan yang menjadi penghalang untuk wanita menjadi penulis. Oleh sebab itulah terdapat penulis yang menghasilkan karya yang baik dan mula nampak perkembangannya, tiba-tiba hilang daripada dunia penulisan. Tidak banyak yang dapat bertahan seperti Datuk Zurinah, Siti Zaleha, Zaiton Ajmain dan Mahaya Yasin.

1 mat

Mohamad Shaidan: “Wanita Melayu berdepan dengan cabaran yang besar untuk menjadi penulis.”

Penulis baru yang bakal muncul menggantikan penulis mapan masih belum kelihatan dengan jelas. Karya penulis baru masih banyak yang perlu diteliti, daripada segi penyampaian, isi dan bahasa yang kukuh yang menjadi ciri penting bagi sesebuah sajak. Bukanlah jumlah karya yang penting, tetapi haruslah dilihat isi dan kekuatan bahasa serta pemikiran yang ada dalam karya yang dihasilkan.Moderator forum, Profesor Madya Dr. Mawar Safei bersetuju dengan pendapat Rosli K. Matari bahawa perlu ada kemudahan ruang pembacaan bagi penulis, umpamanya menjadi karyawan tamu di universiti dan perlu juga ada insentif atau anugerah dalam bentuk pelancongan atau pengembaraan ke luar negara. Ruang dan peluang juga perlu bagi memperkenalkan penyair baru wanita. Rata-rata kini, penulis wanita muncul dengan banyaknya di ruang maya.

Pada akhir forum, dicadangkan agar Perkumpulan Penulis Wanita mencari jalan bagi membukukan karya penulis wanita dari awal pembabitan dalam bidang penulisan hingga mutakhir. Pembukuan ini penting bagi melihat kekuatan dan pemikiran karya penulis, di samping mencari penerapan teori yang lain. Harapan juga disandarkan agar timbul suatu suasana di institusi pengajian tinggi, DBP dan Gapena memajukan bidang penulisan dengan menyediakan ruang bagi penulis wanita berkarya.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1045208
    Visit Today : 104
    This Month : 27807
    Total Visit : 1045208
    Hits Today : 346
    Total Hits : 4290911
    Who's Online : 15
  • Kategori