Oleh ADNAN ABD JAMIL

Dato’ Wan Khazanah

YBhg. Dato’ Wan Khazanah binti Ismail, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Pendidikan Malaysia berucap merasmikan majlis.

PROGRAM Bakat Siswa 2015 peringkat akhir telah berlangsung di Dewan Seminar Dato’ Hassan Ahmad, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 11 Mei 2015. Program yang dianjurkan bersama-sama Kementerian Pendidikan Malaysia ini merupakan kali yang ke-8 diadakan bagi menanam semangat mencintai dan menghargai khazanah bangsa, khususnya bahasa dan sastera kebangsaan dalam kalangan mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta.

Program ini juga bertujuan membimbing mahasiswa supaya lebih memahami dan menghayati subjek sastera yang dipelajari. Hal ini bertujuan untuk melihat sejauh mana mahasiswa dapat mengaplikasikan teori dan konsep yang dipelajari terhadap kajian mereka.

kp bagi cenderamata

Dato’ Dr. Awang Sariyan menyampaikan cenderamata kepada Dato’ Wan Khazanah.

Di samping melahirkan insan yang berketerampilan menyampaikan hujah, program ini dapat memupuk daya kreativiti mahasiswa melalui perbincangan berdasarkan karya sastera. Selain itu, program ini diharapkan dapat memupuk minat mahasiswa terhadap bidang kesusasteraan tanah air serta menterjemahkan keindahan ilmu sastera dalam kehidupan mahasiswa yang tidak mengambil bidang sastera.

Pada tahun ini sebanyak 14 buah IPTA dan tiga buah IPTS menghantar peserta bagi menyertai program yang dahulu dikenali sebagai Akademi Sastera. Peningkatan peserta menunjukkan peningkatan iltizam, peningkatan upaya dan peningkatan kreativiti dalam membuat kajian dan pembentangan.

Dato’ Dr. Awang Sariyan dalam ucapan alu-aluan berharap mahasiswa dapat melibatkan diri dalam penghayatan teks-teks sastera, di samping berupaya membuat penilaian secara kritis dan kreatif berdasarkan ilmu kritikan dalam bidang sastera.

seorang peserta akhir

Sesi pembentangan peserta diadili oleh tiga orang panel juri.

Tambah beliau lagi, bukanlah mudah untuk mencari seorang mahasiswa yang lancar dan bijak membentangkan hujah dan program ini tentunya dapat menzahirkan lebih banyak lepasan universiti yang dapat tampil ke hadapan untuk membentangkan hasil kajian dan ilmu yang dimiliki.

Sementara itu, Dato’ Wan Khazanah Ismail semasa berucap merasmikan majlis berharap kerjasama menganjurkan program ini antara DBP dengan KPM akan berterusan bagi menegakkan bahasa dan sastera yang sewajarnya menjadi kebanggaan dalam mempamerkan jati diri bangsa dan negara. Mahasiswa juga diharap dapat memperteguh azam untuk terus menyemarakkan kecintaan terhadap sastera dan bahasa.

ASA_6169

Nurhalwa Ziemah binti Mazlan dari Universiti Malaya dengan pembentangan yang bertajuk “Igaukan Igau: Dari Sudut Pandang Strukturalisme Genetik” mendapat tempat pertama.

Pertandingan peringkat akhir menyaksikan seramai tujuh orang peserta membentang kertas kajian. Persembahan mereka diadili oleh tiga orang panel hakim, iaitu Dr. Mohd. Hanafi Ibrahim, Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera DBP (Ketua Juri); Abang Patdeli Abang Muhi, Pengarah DBP Wilayah Tengah; dan Puan Ratna Inzah Mohd. Asri, mantan Ketua Bahagian Penyelidikan Bahasa DBP.

Tempat pertama dimenangi oleh Nurhalwa Ziemah binti Mazlan dari Universiti Malaya dengan pembentangan yang bertajuk “Igaukan Igau: Dari Sudut Pandang Strukturalisme Genetik”. Hadiah yang dimenangi ialah wang tunai berjumlah RM3,500; sebuah telefon pintar, sijil penyertaan dan piala pusingan.

penyokong

Para mahasiswa yang juga penyokong peserta hadir memberikan sokongan kepada rakan yang mewakili universiti masing-masing.

 Mohd Zahid Mohd Zaki dari ASWARA mendapat tempat kedua. Kertas yang dibentangkan bertajuk “Luka Nering dari Perspektif New Historisisme: Acuan Kolonial dan Visi Politik Masa Kini”. Mohd Zaki membawa pulang wang tunai RM2,500; sebuah telefon pintar dan sijil penyertaan.

Pemenang tempat ketiga ialah peserta dari Universiti Utara Malaysia, M. Shahadat bin Ali Nordin yang membentangkan kertas bertajuk “Realiti Konflik Manusia dalam Novel Pemerintahan Kuku Besi”. Hadiah yang dimenangi berupa wang tunai berjumlah RM1,500; sebuah telefon pintar dan sijil penyertaan.

pemenang

Pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga.

Peserta yang memenangi hadiah sagu hati ialah Siti Zulaikha binti Zainal Abidin dari Universiti Putera Malaysia (Merungkai Teori Semiotik Melalui Unsur Haiwan dalam “Taman Insaniah”); Nurul Hamira binti Mohd Ali dari Universiti Sains Malaysia (Mengkaji Aspek Keperibadian Watak Utama dalam Novel Lorong: Satu Pendekatan Psikoanalisa); Nursabrina binti Mohamed dari Universiti Kebangsaan Malaysia (Konflik Jiwa dalam Igaukan Igau : Satu Penelitian Psikoanalisis) dan Muhammad Faizuddin

sani

Acara selingan sebelum pengumuman pemenang: Sani Sudin memetik ukulele sambil bernyanyi.

Hashim dari Universiti Teknologi MARA (Meneladani Teori Takmilah: Suntikan Tarbiah dalam Kumpulan Cerpen “Tiada Rahsia Lagi”).  Setiap pemenang hadiah sagu hati menerima wang tunai RM800; buku terbitan DBP dan sijil penyertaan. Perasmian penangguhan program dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Wan Khazanah binti Ismail, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Pendidikan Malaysia.

 

 

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1046356
    Visit Today : 1252
    This Month : 28955
    Total Visit : 1046356
    Hits Today : 4133
    Total Hits : 4294698
    Who's Online : 17
  • Kategori