Oleh ADNAN BIN ABD JAMIL

Pameran lukisan Gema Hati yang menghimpunkan karya seni lukis dua orang pelukis, Mazlan Noor dan Hasan Majid (Allahyarham), mantan pereka bentuk di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), telah berlangsung di Galeri Riong, Berita Harian. Selepas itu, karya lukisan berkenaan dipamerkan pula dalam Pameran Gema Hati 2 yang diadakan di DBP.

Lanjutan daripada pameran tersebut, lahirlah sebuah buku yang menghimpunkan lukisan dan puisi terpilih Mazlan Noor selama 42 tahun (1973-2015), termasuk semasa berkhidmat di DBP selama 30 tahun. Majlis pelancaran buku yang diberikan judul Dan Kembara Kuteruskan telah berlangsung di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) baru-baru ini.

yang hadir

Antara yang hadir ke majlis tersebut.

Para pelukis yang hadir pada majlis itu kebanyakannya ahli Angkatan Pelukis Se-Malaysia (APS). Turut hadir ialah Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Haji Awang Sariyan; Sasterawan Negara, Datuk Anwar Ridwan; Sasterawan Negara, Datuk Baha Zain; Pengerusi Media Prima, Tan Sri Johan Jaaffar; Presiden APS, Hasan Mohd Ghazali; Ahli Sejarawan dan Pengkritik Seni Visual, Prof. Dr. Zakaria Ali dan karyawan DBP.

Dalam ucapan alu-aluan, Presiden APS, Hasan Mohd Ghazali berkata, APS merupakan badan pelukis yang lama dan terus mengorak langkah untuk membina dan membantu pelukis menghasilkan karya yang bermutu dan dapat diketengahkan ke peringkat antarabangsa.

APS kini sedang bekerjasama dengan sebuah badan pelukis di Indonesia untuk mengadakan pameran. APS juga sedang bekerjasama dengan Kedutaan China untuk mengadakan pameran seni lukis di Beijing. APS berasa bangga kerana ahli-ahlinya sentiasa berusaha menghasilkan karya bermutu dan diterbitkan dalam bentuk buku, termasuk Mazlan Noor.

mazlan dgn zakaria ali, johan, awang, rahim abdullah

Mazlan Noor (dua dari kiri), bergambar bersama-sama Prof. Dr. Zakaria Ali, Tan Sri Datuk Johan Jaaffar, Datuk Dr. Hj. Awang Sariyan dan Encik Rahim Abdullah.

Tan Sri Johan Jaaffar semasa memperkatakan tentang Mazlan Noor atau lebih dikenali sebagai Along, berkata bahawa beliau mengenali Along sejak lama dahulu, di Anak Alam – tempat berhimpun para karyawan seni, yang antaranya adalah nama-nama besar dalam dunia seni lukis, teater dan kesenian. Hubungan beliau dengan Along semakin erat apabila beliau mula berkhidmat di DBP pada tahun 1977, dan pada masa itu Along sudah pun berkhidmat di DBP.

Selama 40 tahun beliau mengenali Along sebagai sahabat, sebagai manusia, sebagai rakan sekerja, sebagai seniman, satu masa yang mencorakkan perjalanan kerjaya yang berbeza. Mereka bekerja sebagai satu pasukan, kadang-kadang dalam rasa marah, geram, tapi dalam rasa hormat dan tautan erat bekerja demi mencari hasil yang terbaik.

“Ada kalanya kami menghasilkan penghasilan yang terbaik, ada kalanya, tidak. Ada beberapa hasil kerja kami yang menjadi kenangan zaman-berzaman. Antaranya, Kaca Permata: Memoir Seorang Pengarah karya Datuk Jamil Sulung (Allahyarham) dan Warkah Eropah karya Datuk A. Samad Said,” ujar beliau.

zakaria ali rasmi pameran

Ucapan perasmian oleh Prof. Dr. Zakaria Ali.

Tambah Tan Sri Johan lagi, perjalanan seni Along unik, istimewa, malah ada kalanya menakutkan, tetapi sentiasa mencabar. Along melalui jalan yang penuh peristiwa dalam memancarkan penghasilan dan lakarannya. Gema hatinya yang baru mekar, bercambah, berkembang dalam pasrah yang lain, dalam zikir yang baharu. Along mencari diri dalam restu, mengenal kewujudan dalam ketakwaan dan mencari kekuatan baharu dari keimanan.

Dalam ucapan perasmian, Prof. Dr. Zakaria Ali berkata, Along telah mengisi pengertian identiti yang sesuai untuk zaman sekarang tanpa kehilangan semangat kemalaysiaan. Karya yang menggambarkan siri putaran atau bulatan yang kosmik ini membawa utusan yang berbagai-bagai – tentang emosi, keagamaan, geometri, titik sekecil pasir sebesar bintang, keseragaman dan kemutlakan identiti sesuatu bangsa. Kepelbagaian ini persis cara pascamodenisme yang menolak erti makna yang tunggal-tunggalan.

“Jika karya Along belum sepenuhnya mencerminkan keperibadian kita, maka sekurang-kurangnya buku ini menyumbang ke arah pencarian keperibadian yang samar-samar dan licin itu,” kata beliau.

mazlan & allahyarham hasan majid

Mazlan Noor bersama-sama Hasan Majid (Allahyarham).

Sementara itu, Mazlan Noor dalam ucapan balasnya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Datuk Dr. Awang Sariyan dan DBP kerana merealisasikan impiannya, menghimpunkan karya sejak bertugas di DBP selama 30 tahun dan dibukukan. Beliau berharap DBP turut menerbitkan buku yang menghimpunkan karya-karya mantan pelukis DBP yang lain, seperti Hasan Majid (Allahyarham), Mohas (Mohamad Hassan), Gopa (Ghafar Bahari), Naim Ahmat, Zanuddin Jamil, Ibrahim Said, Mat Said dan Mohd Fauzi. Ada antara karya mereka pernah dipamerkan di peringkat antarabangsa, yang sekali gus memartabatkan nama DBP.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1046019
    Visit Today : 915
    This Month : 28618
    Total Visit : 1046019
    Hits Today : 2999
    Total Hits : 4293564
    Who's Online : 13
  • Kategori