Oleh Adnan bin Abd Jamil

Seperti pada tahun-tahun yang lalu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) turut terlibat dalam menjayakan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2015 (PBAKL 2015). PBAKL kali ini berlangsung pada 24 April hingga 3 Mei 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Perkara tiga (3) yang tercatat dalam objektif DBP ialah mencetak atau menerbitkan atau membantu dalam percetakan atau penerbitan buku, majalah, risalah dan bentuk kesusasteraan lain dalam bahasa kebangsaan. Sehubungan dengan itu, pada 28 April 2015 yang lalu, telah berlangsung pelancaran tujuh buah buku Edisi Khas Sasterawan Negara, YBhg. Dato’ Dr. Baharuddin Zainal (Baha Zain). Majlis pelancaran disempurnakan oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Utama Rais Yatim, Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Malaysia di Pelantaran Putra, PWTC.

4

Majlis pelancaran disempurnakan oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Utama Rais Yatim.

Buku-buku yang dilancarkan ialah Berguru pada Binatang; Memartabatkan Persuratan Melayu; Jalan Desa ke Kota; Esei dan Puisi Baha Zain: Tentang Penulis dan Persekitarannya; Postponing Truth and Other Poems: Menangguhkan Kebenaran dan Sajak-sajak Lain; Siang Tak Pernah Mungkir dan Kau Akan Dewasa dan Monolog Kecil: Tahun-tahun Gelora.

Berguru pada Binatang merupakan himpunan 11 buah cerpen termasuk dua buah puisi hasil karya Baha Zain. Cerpen dan puisi yang menggunakan watak haiwan ini ditulis bukan sekadar untuk menghiburkan, tetapi turut mendokumentasikan fikiran beliau tentang dunia haiwan yang disepadukan dengan nilai-nilai dan tingkah laku manusia.

Memartabatkan Persuratan Melayu memuatkan ucap utama Baha Zain berserta kertas bahasannya oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan Datuk Zainal Abidin Borhan yang disampaikan pada Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2005.

8

Tan Sri Dato’ Seri Utama Rais Yatim bersama-sama Datuk Dr. Haji Awang bin Sariyan ketika melancarkan buku-buku Baha Zain.

Jalan Desa ke Kota menyajikan 32 buah puisi yang merupakan fragmen autobiografi Baha Zain yang membesar bersama-sama kemerdekaan bangsanya. Sesuai dengan sifatnya sebagai eseis dan pengkritik, puisi-puisi Baha Zain selain daripada pengucapan jiwa yang ruwet adalah juga apa yang disebut oleh Profesor Emeritus Muhammad Haji Salleh, “Memeri dan menilai manusia, masyarakat dan dunianya”.

Esei dan Puisi Baha Zain: Tentang Penulis dan Persekitarannya memuatkan esei dan puisi yang dihasilkan sepanjang kehidupan kreatifnya sejak tahun 1960-an. Kegiatannya yang aktif dalam pelbagai badan penulisan dan budaya menjadikannya satu figura yang hidup bersama-sama dalam arus perkembangan seni sastera dan budaya di negara ini.

Postponing Truth and Other Poems: Menangguhkan Kebenaran dan Sajak-sajak Lain merupakan kumpulan puisi yanmg dibahagikan kepada enam segmen. Kelebihan kumpulan puisi ini terletak pada pemilihan kata-kata yang menakjubkan, yang mampu meresapi serta menarik pembaca untuk meneroka makna dan irama puisi-puisinya.

6

Baha Zain menandatangani buku-buku yang dibeli oleh para peminat beliau.

Siang Tak Pernah Mungkir dan Kau Akan Dewasa menghimpunkan 81 puisi pilihan yang diambil daripada lima buah buku kumpulan puisi baha Zain. Pemikiran yang terbit dalam puisi-puisi Baha Zain merupakan satu pencerahanromantis terhadap gerakan melawan norma-norma kebangsawanan, sosial, politik. Dan memberikan reaksi terhadap rasionalisme kewujudan alam, seni dan sastera.

Monolog Kecil: Tahun-tahun Gelora menghimpunkan 78 buah esei yang ditulis dalam semangat untuk bersuara bersama-sama pihak yang berasa malang dalam kehidupan yang sibuk mengejar kemajuan.

3

Datuk Dr. Haji Awang bin Sariyan menyampaikan ucapan alu-aluan.

Dalam ucapan alu-aluan, Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Haji Awang bin Sariyan berkata, Baha Zain sebenarnya seorang penganyam kata-kata yang indah dan penyusun metafora Melayu yang asli ciptaannya. Ini dibuktikan melalui bait-bait puisi yang dihasilkannya. Pengalaman sebagai penyair memberikan kelebihan kepada Baha Zain dalam menghasilkan esei kritikannya. Kelebihan ini dapat dilihat pada ketajaman daya tanggap dan penggunaan bahasa yang baik dan indah serta gaya yang menarik.

2

Tan Sri Dato’ Seri Utama Rais Yatim menyampaikan ucapan perasmian.

Sementara itu, YBhg. Tan Sri Rais dalam ucapan perasmiannya berkata, setiap daripada kita diberikan tugas melaksanakan sesuatu berdasarkan bidang masing-masing, sesuai dengan keahlian dan bakat yang dimiliki. Sasterawan mempunyai tanggungjawab dan kewajipan dalam bidang seni, bahasa atau kesusasteraan, sama seperti bidang-bidang lain.

Tambah beliau lagi, Dato’ Baha Zain merupakan sasterawan yang mempunyai keistimewaan sebagai penulis dan pemikir, seperti yang dikatakan oleh SN Dato’ Dr. Shahnon Ahmad, sasterawan perlu menguasai dan menggabungkan kedua-duanya untuk menghasilkan karya yang bermutu.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1045932
    Visit Today : 828
    This Month : 28531
    Total Visit : 1045932
    Hits Today : 2713
    Total Hits : 4293278
    Who's Online : 7
  • Kategori