oleh MUHAMMED SALEHUDIN AMAN

Salehuddi Aman

Kata kerja ialah perkataan yang menunjukkan sesuatu perbuatan atau keadaan melakukan sesuatu, dan menjadi unsur inti dalam binaan frasa kerja. Frasa kerja merupakan salah satu empat binaan frasa yang menjadi predikat dalam ayat bahasa Melayu.

Kata kerja dapat hadir bersendirian dalam frasa kerja, atau dengan unsur-unsur lain seperti kata bantu, objek dan unsur keterangan. Telitilah ayat yang berikut:

            1) Sukarelawan itu telah menghantarkan bantuan kemanusiaan    dengan kapal terbang.

Frasa kerja ayat 1 ialah telah menghantarkan bantuan kemanusiaan dengan kapal terbang. Menghantarkan ialah kata kerja transitif, yang diikuti oleh objek bantuan kemanusiaan, dan didahului oleh kata bantu telah. Dengan kapal terbang ialah frasa sendi nama yang berfungsi sebagai keterangan.

Selain kata kerja transitif, terdapat juga kata kerja tak transitif, misalnya kata menguning dalam ayat  2 ini:

           2) Padinya Wan Empuk sedang menguning di sawah.

Kata kerja menguning dalam ayat ini didahului oleh kata bantu sedang, dan diikuti frasa sendi nama di sawah, yang berfungsi sebagai keterangan.

Salah satu aspek yang menarik tentang kata kerja ialah terdapatnya sejumlah kata kerja yang kendatipun berbentuk kata kerja, tetapi berfungsi pula sebagai golongan kata lain. Antara kata kerja sedemikian termasuk sejumlah yang membawa makna adjektif, dan dapat pula menerima kata penguat. Contohnya: menggembirakan dalam ayat 3 ini:

          3) Berita itu sungguh menggembirakan kami.

Sekali imbas, menggembirakan kelihatan seperti kata kerja transitif.  Tetapi terdapat dua ciri yang membezakan kata kerja jenis ini dengan kata kerja lain dalam bahasa Melayu.  Pertama, unsur yang hadir selepas kata kerja (kami) dapat digugurkan tanpa menjejaskan ayat, menjadikan ayat di atas seperti yang berikut:

           3 (a) Berita itu sungguh menggembirakan. Hal ini tidak berlaku pada kata kerja transitif yang lain.

Yang kedua, kata kerja jenis ini didapati boleh menerima kata penguat (sungguh).  Hal ini juga tidak berlaku pada kata kerja lain.  Kita tidak boleh, misalnya, mengatakan  *Saya sangat menendang bola itu.

Kata-kata kerja lain yang sepertinya termasuklah menarik, mengkhayalkan, menyedihkan, mengagumkan, menyeramkan, mendukacitakan, dan lain-lain yang seumpamanya. Jelaslah, dengan berdasarkan kedua-dua ciri yang dibincangkan di atas, dapat disimpulkan bahawa kata kerja seperti ini hanya berbentuk kata kerja, tetapi fungsinya adalah sebagai adjektif.

Golongan kedua ialah kata-kata kerja seperti melalui, menerusi, menurut, mengenai dan mengikut. Perkataan-perkataan ini merupakan kata kerja, iaitu dilihat dari segi bentuknya.  Namun demikian, apabila dilihat dari segi fungsinya, didapati bahawa perkataan-perkataan ini sama seperti kata sendi nama yang berfungsi sebagai keterangan, seperti dalam ayat:

           4) Mereka mengemukakan pandangan melalui jurucakap mereka.

Dalam ayat ini, kata kerja yang menjadi inti frasa kerja ialah

mengemukakan. Perkataan melalui berfungsi sebagai kata sendi nama yang diikuti frasa nama mereka.

Demikian kita melihat kata kerja yang hadir bukan sebagai kata inti frasa kerja,

tetapi sebagai rangkaian perkataan yang mirip kepada frasa sendi nama dan berfungsi segai unsur keterangan, hal ini lebih jelas dalam ayat yang menjudulkan (mendepankan) frasa ini dalam kedudukan frasa sendi keterangan.  Contohnya:

         5) Menurut amaran kerajaan, merokok membahayakan kesihatan

         6) Mengikut teori Darwin, manusia berasal daripada beruk. 

Dalam kedua-dua ayat di atas, frasa menurut amaran kerajaan, dan

mengikut teori Darwin tidak berfungsi sebagai frasa kerja, tetapi sebagai frasa sendi nama yang berfungsi sebagai keterangan.

Kadang-kadang kata kerja juga didapati hadir pada kedudukan frasa nama, seperti dua potong ayat yang berikut:

        7) Bersenam itu menyihatkan badan.

       8) Membaca itu menajamkan akal.

Kata kerja bersenam dan membaca berfungsi sebagai kata nama subjek. Asalnya daripada frasa nama yang lengkap, iaitu kegiatan bersenam, dan kegemaran membaca.

Kesimpulan, dalam bahasa Melayu, walaupun tiap-tiap golongan kata mempunyai bentuk dan fungsi tertentu dalam ayat, kadang-kadang terdapat kekecualian seperti yang dibancangkan ini.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1046647
    Visit Today : 263
    This Month : 29246
    Total Visit : 1046647
    Hits Today : 491
    Total Hits : 4295293
    Who's Online : 7
  • Kategori