Oleh HASSAN ALIAS

sandera-6

KALI terakhir Badan Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mementaskan teater ialah pada tahun 2009 melalui Intan yang Tercanai  (karya SN Dato’ Noordin Hassan) yang diarahkan oleh A. Wahab Hamzah. Teater ini mendapat anugerah dalam BOH Cameronian Awards pada tahun yang sama.

Pada tahun ini, A. Wahab Hamzah mengarahkan teater naskhah SN Arena Wati pula, iaitu Sandera. Teater ini dipersembahkan di Auditorium DBP dari 19-23 Jun 2014 bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun DBP Ke-58 pada 22 Jun.

sandera-2

Walaupun jalan perjuangan berbeza, matlamatnya sama, iaitu menuntut kemerdekaan daripada Inggeris

Sandera mengisahkan perjuangan membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah. Watak-watak utama dalam kisah ini, iaitu Busad, Hakim Mahmud, Zahid, Andang, Sapiah, Mahadi dan Bahar berjuang melalui jalan yang berbeza tetapi dengan matlamat yang sama, iaitu untuk menuntut kemerdekaan daripada penjajah Inggeris.

Perjuangan mereka meliputi pelbagai aspek dalam mengisi erti kemerdekaan sebuah negara. Dalam perjuangan itu, mereka menghadapi pelbagai rintangan apabila berhadapan dengan penjajah. Yang menyamakan nasib mereka dalam perjuangan ini  ialah keterpaksaan menerima nasib sebagai sandera. Sandera menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007) bermaksud “orang yang tertawan atau tergadai untuk tanggungan hutang dan lain-lain.”

sandera-4

Watak-watak dalam Sandera berbincang  untuk membebaskan Tanah Melayu.

Menurut A. Wahab Hamzah, beliau berhadapan dengan kesukaran yang tersendiri untuk mengadaptasikan naskhah ini ke pentas. Hal ini demikian kerana novel ini memaparkan banyak peristiwa yang berlaku dalam tempoh yang panjang serta watak yang banyak, mencabar mana-mana usaha untuk mengadaptasikannya.

Walau bagaimanapun A. Wahab Hamzah menyerahkan kepada khalayak untuk menilai tafsiran yang dilakukannya.

“Kami sedar bahawa novel besar ini telah bersama khalayak pembaca yang luas dan lama. Maka sudah tentu mereka mempunyai sudut tafsiran tersendiri  tentang novel ini. Sejauh mana mereka menerima sudut tafsiran kami, maka kami serahkan kepada khalayak penonton,” katanya.

sandera-1

Tun Dato’ Seri Utama Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas melambaikan tangan kepada barisan tenaga produksi pementasan.

Teater ini dibarisi oleh penggiat teater yang cukup berpengalaman, di samping beberapa orang artis popular yang mempunyai latar belakang berteater yang baik. Antara mereka ialah Che Kem (Busad), Mardiana Alwi (Sapiah), Rasdi Daud (Hakim Mahmud), Badrol Hisham (Bahar), Bohari Ibrahim (Andang) dan Sabri Yunos (Cikgu Karim).Persembahan teater ini mendapat sambutan yang baik daripada peminat teater yang dahagakan naskhah yang serius dan dibarisi oleh pelakon yang benar-benar menguasai bahasa dan ruang pentas.

Pada 19 Jun 2014, pementasan ini menerima tetamu istimewa, iaitu Tun Dato’ Seri Utama Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas, Yang di-Pertua Negeri  Pulau Pinang dan isteri, Toh Puan Dato’ Seri Utama Hajah Majimor binti Shariff. Yang turut hadir ialah Datuk Dr. Awang bin Sariyan, Ketua Pengarah DBP dan isteri Allahyarham Arena Wati, Ibu Halimah.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1046141
    Visit Today : 1037
    This Month : 28740
    Total Visit : 1046141
    Hits Today : 3361
    Total Hits : 4293926
    Who's Online : 13
  • Kategori