Oleh DR. AWANG SARIYAN

Dr. Awang Sariyan

Dr. Awang Sariyan

DEWAN Bahasa dan Pustaka (DBP) telah melancarkan program baharu dalam bidang penerbitan, iaitu Program Penerbitan Berpakej. Walaupun tampak sebagai jenama baharu, program ini sebenarnya merupakan peningkatan program penerbitan yang telah sedia ada di DBP.  Bezanya program ini akan melonjakkan jumlah penerbitan judul-judul baharu dalam pelbagai bidang dengan lebih besar , bersepadu dan lebih cepat.

Penerbitan berpakej bererti penerbitan yang bertema, dengan pengertian bahawa dalam bahasa Melayu terdapat lebih kurang 300 bidang ilmu, termasuk subbidang dan subsubbidang atau cabang-cabang bidang ilmu. Angka ini berdasarkan 300 bidang ilmu yang digarap dalam kerja penggubalan peristilahan yang telah mencecah lebih sejuta patah istilah ketika ini.

Salah satu sebab dilancarkan Program Penerbitan Berpakej ialah hasil penilaian yang dilakukan terhadap hasil penerbitan DBP sejak ditubuhkan pada tahun 1956. Didapati bahawa jumlah buku am yang merangkumi bidang ilmiah, termasuk karya kreatif baru sebanyak 10,000 judul, tidak termasuk buku teks. Jumlah 10,000 judul untuk tempoh 57 tahun memperlihatkan jumlah yang jauh daripada memuaskan. Oleh sebab itu, dilancarkan penerbitan berpakej supaya penerbitan berlangsung secara terancang daripada beberapa sudut, terutama peringkat perancangan judul-judul bagi setiap bidang, baik ilmu mahupun karya kreatif  dan juga untuk pelbagai lapisan masyarakat.

Dengan perkataan lain, penerbitan berpakej ini bersifat merentas dalam dua arah: pertama, merentas pelbagai bidang ilmu, genre atau bentuk buku; kedua, merentas pelbagai lapisan masyarakat. Hal ini bermaksud bahawa ilmu yang sama, contohnya dalam bidang perubatan, yang dibaca atau disajikan kepada sarjana atau pelajar peringkat pengajian tinggi, perlu juga disampaikan kepada masyarakat umum, remaja dan kanak-kanak tetapi dalam laras bahasa dan gaya persembahan yang sesuai dengan khalayak yang berlainan.

Untuk mengisi program ini, maka pada suku akhir tahun 2012, gerakan untuk berhubung dengan penulis-penulis yang terdiri daripada sarjana, penulis umum, dan penulis kreatif telah dilakukan. Setakat ini telah dibentuk hampir 100 panel penulis. Setiap panel mewakili bidang ilmu, genre atau bentuk penulisan tertentu, dianggotai oleh 4 hingga 6 orang. Panel ini diberi tugas untuk membuat perancangan, terutama pemetaan judul-judul buku yang memenuhi tema atau bidang yang berkaitan. Sebagai contoh, bidang fizik atau subbidang fizik diwakili oleh sejumlah 10 atau 15 judul buku.

Berdasarkan pemetaan buku, maka penulisan diagihkan kepada panel penulis dalam tempoh beberapa bulan. Kemudian mereka bertemu untuk membuat penilaian dan penyuntingan bersama. Dengan kaedah berjemaah ini, diharapkan tidak timbul lagi masalah tidak lengkapnya kandungan buku atau tidak sempurnanya persembahan buku, termasuk soal bahasa.

Masalah yang timbul selama ini ialah penulisan buku tidak dirancang awal secara bersama. Didapati sejumlah manuskrip itu tidak memenuhi ciri kepadaan fakta dan isi dan tidak sempurna daripada sudut persembahan, termasuk bahasa. Hal ini memerlukan kerja penilaian yang sangat panjang sehingga adakalanya manuskrip terpaksa diserahkan semula kepada penulis untuk dibuat pembaikan yang agak berat dan adakalanya ditulis semula atau ditolak.

Dengan penerbitan berpakej, semoga semua hal di atas dapat diatasi, sehingga manuskrip yang sudah dinilai, disemak dan dibaiki bersama diserahkan kepada DBP dalam keadaan yang kami harap 90% sempurna daripada sudut kandungan dan persembahan, termasuk aspek bahasa. Dengan demikian, kita berharap manuskrip itu dapat dikerjakan dengan cepat dalam hal pracetak dan percetakan.

Kami menyasarkan bahawa manuskrip yang 90% sempurna itu akan berada dalam pasaran selepas 3 hingga 6 bulan diterima. Dengan projek ini juga, kita berharap jumlah buku yang dapat dihasilkan akan berganda-ganda banyaknya dan yang penting bersifat tematik, bukan karya eceran atau berdiri tunggal atau tidak berkesinambungan dengan judul-judul lain kerana tidak dirancang dalam bentuk pakej atau siri.

Perkara lain yang perlu ditegaskan ialah bahawa program penerbitan berpakej ini rapat dengan usaha untuk memenuhi sasaran kerajaan berdasarkan penetapan Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) bagi negara maju, iaitu keperluan kita menerbitkan 0.01% nisbah buku kepada jumlah penduduk Malaysia. Jumlah penduduk Malaysia dianggarkan 28 juta orang, maka buku baharu yang harus diterbitkan setiap tahun hendaklah berjumlah 28,000 judul.

Jumlah yang disebut di atas bukan kecil dan dengan kaedah menerima manuskrip secara biasa, kita tidak akan dapat mencapai sasaran. Tetapi secara berpakej, dan andai kata diikuti oleh penerbit-penerbit lain, kita yakin 28,000 judul buku baharu yang disasarkan oleh kerajaan bagi negara maju pada tahun 2020 dapat kita capai.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1046480
    Visit Today : 96
    This Month : 29079
    Total Visit : 1046480
    Hits Today : 162
    Total Hits : 4294964
    Who's Online : 9
  • Kategori