Anwar Ridhwan

KEHADIRAN Anwar Ridhwan dalam dunia penulisan kreatif mula dirasakan pada tahun 1970, ketika dalam tahun pertama Universiti Malaya.  Sajak dan cerpen adalah dua bidang sumbangannya yang agak prolifik dan diikuti kemudiannya dengan esei dan kritikan.  Sekitar pertengahan tahun 1970-an, sumbangannya dalam genre puisi dan esei/ kritikan dikesampingkan buat sementara, lalu beliau menumpukan sepenuh perhatian terhadap penulisan cerpen.  Dalam bidang inilah Anwar dianggap oleh peneliti sastera sebagai memiliki kekuatan sebelum melangkah ke arena penulisan novel.

Anwar adalah anak bongsu daripada enam orang adik-beradik yang lahir pada 5 Ogos 1949 di Parit Satu Timur, Sungai Besar, Selangor Darul Ehsan.   Bapanya petani yang berasal dari Bagan Serai, Perak.  Ibunya, Habsah @ Mariam seorang bidan berasal dari Kuala Kangsar, Perak.  Setelah berumah tangga, kedua-dua orang tuanya menetap di Sungai Besar, Selangor.

Anwar menerima pendidikan awalnya di Sekolah Kebangsaan Sungai Besar (1956-1962) selama tujuh tahun.  Persekolahan rendahnya lebih setahun kerana sewaktu dalam darjah tiga, beliau kembali mengulang belajar dalam darjah dua.  Hal ini terjadi kerana sikap dan tindakan Anwar sendiri yang tidak menyenangi guru darjahnya yang garang.

Seterusnya Anwar belajar di Sekolah Ungku Aziz, Sabak Bernam (1963-1967) dari Tingkatan I-V dan Tingkatan Enam di Sekolah Alam Shah, Kuala Lumpur (1968-1969).  Pada tahun 1970, beliau diterima masuk ke Universiti Malaya dan belajar di Jabatan Pengajian Melayu.  Semasa menuntut di Universiti Malaya, beliau turut mengasaskan Ikatan Sastera Universiti Malaya (ISUM).  Anwar pernah mengasuh ruangan kebudayaan akhbar kampus Mahasiswa Negara dan menyertai program lawatan sambil belajar ke Indonesia, Hong Kong dan Thailand.  Pada tahun 1973, beliau lulus Ijazah Sarjana Muda Sastera (kepujian).  Pengalaman pahit secara dekat Tragedi 13 Mei 1969 di Kuala Lumpur turut memberi kesan dalam hidupnya dan sebahagian pengalaman itu dituang ke dalam beberapa karyanya.

Beberapa hari selepas meninggalkan universiti dalam tahun 1973, beliau diterima bertugas sebagai pegawai sementara di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selama 3 bulan.  Mulai 1 Mei 1973, beliau diterima sebagai Pegawai Penyelidik Sastera (tetap).  Selama bertugas dengan DBP, beliau pernah menjadi anggota sidang editor majalah Dewan Bahasa, Dewan Sastera dan Dewan Budaya.  Sewaktu semester musim rontok 1982, beliau berkesempatan mengikuti kursus penerbitan buku di New York University, Amerika Syarikat, dan pada tahun 1983, menerima Ijazah Sarjana Sastera (M.A.) daripada Universiti Malaya berdasarkan tesisnya yang diusahakan beberapa tahun sebelumnya.  Pada tahun 1982, Anwar berpeluang mengikuti kursus penerbit selama empat bulan di New York University, Manhattan, Amerika Syarikat.

Kemudian pada bulan September tahun 1986, Anwar berpeluang mengikuti International Writing Program di Universiti Iowa, Amerika Syarikat, selama empat bulan. Beliau juga pernah menyertai Pertemuan Puisi Dunia di Struga, Yugoslavia, pada bulan Ogos 1988, kemudian berkunjung ke Soviet Rusia sebagai tetamu Persatuan Penulis Soviet pada bulan September/Oktober 1988.  Seterusnya Anwar menjadi Ketua Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera, DBP, dan buat beberapa waktu, Anwar pernah memangku jawatan Timbalan Ketua Pengarah.    Anwar pernah berkhidmat sebagai Profesor Pelawat di Tokyo University of Foreign Studies mulai 1997-2000.  Pada tahun 1998, Anwar menerima Ijazah Kedoktoran daripada Universiti Malaya, Kuala Lumpur.  Pada tahun 2001, Anwar menjadi Pengarah Penerbitan, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Anwar mempunyai latar belakang kegiatan sastera dan bahasa yang agak luas.  Dari tahun 1974-1976, beliau pernah menjadi Setiausaha Satu GAPENA; Pengarah “Pertemuan Sasterawan Nusantara III” yang berlangsung di Kuala Lumpur dari 5-6 Disember 1981 dan Setiausaha “Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu IV” yang diadakan di Kuala Lumpur dari 7-10 Disember 1984.

Dalam dunia penulisan kreatif, antologi cerpennya yang pertama Parasit (1976), memperlihatkan corak penulisannya dengan gaya baharu melalui bahasa yang puitis.  Dalam antologi cerpennya yang kedua, Sesudah Perang (1978), Anwar menggarap tema tentang “nasib” watak-watak dalam kebudayaan tradisi di ambang kebudayaan baharu yang agresif, materialistik dan individualistik.  Inilah tema yang banyak diungkap oleh Anwar, sebagaimana terbukti dalam kebanyakan karyanya, termasuk sebilangan besar karya dalam antologi cerpen ketiganya Sangkar.  Selama menghasilkan cerpen, sudah empat kali Anwar memenangi Hadiah Karya Sastera Malaysia: “Perjalanan Terakhir” (1971), “Dunia Adalah Sebuah Apartmen” (1973), “Sesudah Perang” (1976), “Sasaran”, “Sahabat” dan “Menjadi Tua” (1982/83).

Novel pertama Anwar, Hari-hari Terakhir Seorang Seniman (1979) memenangi Hadiah Pertama Peraduan Mengarang Novel anjuran Yayasan Sabah – GAPENA II.  Novel ini pada keseluruhannya melukiskan konflik jiwa tokoh penglipur lara kerana ancaman terhadap seni dan idealnya.  Di samping itu digambarkan juga kehidupan orang kampung yang terpencil dan bimbang akan akibat perang.  Novel ini memperlihatkan penguasaan yang seimbang antara isi, teknik dan adunan bahasa.  Karyanya mendapat tanggapan dan sorotan yang baik daripada para sarjana.

Anwar menerima anugerah daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Hari-hari Terakhir Seorang Seniman sudah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh Harry Aveling (dalam judul The Last Days of an Artist, DBP, 1982); juga sudah diterjemahkan ke bahasa Jepun oleh Tatuo Hoshino dan juga ke dalam bahasa Perancis.  Novel ini juga telah diadaptasikan ke teater oleh dramatis Johan Jaaffar dan sudah dipentaskan sebanyak 14 kali di Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Kuching dan Singapura.

Novel keduanya berjudul Arus menyusul enam tahun kemudian, iaitu dalam tahun 1985.  Arus lebih kepada pemaparan persoalan semasa yang berlaku dalam masyarakat.

Novel ini menggambarkan konflik skandal bank dan isu kafir-mengkafir di kalangan umat Islam di negara ini dan terpilih memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1984/85 bersama-sama novel Daerah Zeni karya A. Samad Said.  Novel Arus juga telah diterjemahkan ke bahasa Perancis pada tahun 1989 dan kemudiannya ke dalam bahasa Thai.

Sungguhpun penulisan kreatif Anwar lebih mengarah kepada cerpen dan novel, beliau juga berusaha untuk kembali menulis puisi, iaitu genre yang agak lama dikesampingkan; serta ingin mencuba menulis skrip drama.  “Jika ini terjadi”, menurut Anwar, “rangsangannya bermula dalam musim rontok di Manhanttan pada tahun 1982.  Latar, suasana dan keadaan di sana, seperti meminta saya untuk membuka jendela kreatif saya lebih luas.”  Tidak lama selepas itu lahir kumpulan puisinya berjudul Tercipta dari Tanah, iaitu kumpulan puisinya yang pertama dan diterbitkan dalam tahun 1985.  Beliau juga memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1992/1993 untuk dramanya Yang Menjelma dan Menghilang.  Tahun sebelum (1991), kumpulan cerpen Sesudah Perang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dengan judul After the War and Other Stories.  Pada tahun 1992, cerpennya “Dari Kiev ke Moskova” telah memenangi hadiah pertama peraduan cerpen DBP-Maybank.  Dalam bidang penulisan drama pentas, Anwar telah menghasilkan Orang-orang Kecil (1990) dan Yang Menjelma dan Menghilang (1990) – drama ini memenangi Hadiah Utama, Peraduan Menulis Drama Yayasan Seni – Berita Harian 1990.  Anwar bukan setakat menghasilkan skrip malah melangkah lebih jauh dengan mengarahkan drama, setakat ini Anwar telah mengarah tiga drama pentas, iaitu Penghuni Paya – The Swamp Dwellers – Karya Wole Soyinka, 16-18 Disember 1991, Pulang (dramanya sendiri yang belum diterbitkan) 5-8 Disember 1995, dan Yang Menjelma dan Menghilang, (dramanya sendiri) 8-13 Jun 2001.

Anwar Ridhwan mula menulis cerpen pada awal tahun 1970-an. Apabila salah satu cerpennya pada peringkat awal itu memenangi Hadiah Sastera Malaysia (1971), melalui cerpen “Perjalanan Terakhir”, beliau bukan sahaja merupakan antara penulis termuda memenangi hadiah tersebut, tetapi juga memperlihatkan keupayaan meneroka gaya pengucapan fiksi yang membaharui konvensi, serta lebih mengungkapkan psikologi watak-wataknya.  Daripada “Perjalanan Terakhir” bakat beliau selalu dikesan dan diperhatikan.

Kecenderungan beliau untuk membaharui konvensi, mempersembahkan cerpen dalam gaya yang agak berbeza berbanding pengarang Malaysia sezaman dan memberi penekanan aspek psikologi watak, terus terserlah dalam kebanyakan cerpen-cerpennya seperti “Dunia Adalah Sebuah Apartmen”, “Sahabat”, “Menjadi Tua”, dari Kiev ke Moskova” dan “Tik! Tik! Tik!”.

Ketika kebanyakan penulis cerpen sezamannya masih berlegar dalam latar Malaysia, Anwar melihat latar sebagai unsur yang sekunder.  Bagi, mesej dan persoalan kemanusiaan, tanpa batas geografi, adalah lebih utama.  Dengan demikian, apabila pembaca mengikuti cerpen-cerpen Anwar, mereka tidak sahaja akan menerima pengalaman seni yang segar, malah meluaskan pengalaman yang mengangkat pelbagai latar internasional.

SN Muhammad Hj. Salleh berpendapat bahawa cerpen-cerpen Anwar dicipta dengan begitu teliti dan bersih.  Barangkali pengalaman Anwar sebagai editor sastera selama bertahun-tahun, telah membentuk peribadinya untuk menghasilkan karya yang teliti, indah dan berkesan.

Persoalan dalam semua cerpen Anwar dapat dibahagikan kepada dua, iaitu pertama, watak yang bergelut dengan budaya serta nilai baru.  Budaya dan nilai baru itu, walaupun usianya muda, kelihatan lebih gagah, berkuasa, dan bergelombang global melanda budaya serta nilai yang lama.  Cerpen “Sahabat” dan “Menjadi Tua” hanyalah sekadar dua contoh cerpen Anwar.  Kedua, nilai kemanusiaan dan konsep demokrasi menjadi amat relatif dalam kehidupan pasca moden.  Cerpen “Dunia Adalah Sebuah Apartmen” dan cerpen-cerpen dalam kumpulan Naratif Ogonshoto adalah contoh persoalan sedemikian.  Dalam Naratif Ogonshoto, kedua-dua persoalan utama itu, yang sifatnya sangat universal, mengatasi unsur latar dan nama watak yang konkrit dan real.

Sebuah cerpen dalam Naratif Ogonshoto begitu unik olahannya.  Konflik nilai, makna demokrasi dan ancaman budaya baru begitu terasa keuniversalannya walaupun diletakkan pada latar sebuah republik fiktif di Pasifik.  Kumpulan cerpen ini, seperti juga cerpen-cerpen Anwar yang lain, membenarkan pandangan seorang sarjana Australia, Harry Aveling bahawa “Anwar’s world is more that of the urban intellectual: more precise, more restrained, at once Malay and international”.

 

Sila Beri Pandangan


  • Arkib

  • Statistik

    000000
    Melawat hari ini:
    Jumlah Pelawat:
    Hits hari ini:
    Jumlah Hits :
    Siapa atas talian:
  • Kategori

Botanical Slimming Cell Phone Jammer For Sale, Botanical Slimming Soft Gel , Meizi Evolution, Cell Phone Jammers,Cell Phone Blockers, As a result Botanical Slimming works by restraining the activity of lipase in the stomach and intestinal canal.