SEMPENA Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2011, Majlis Pelancaran Buku Bagaimana Saya Menulis: Proses Penciptaan Cerpen telah diadakan pada 27 April  lalu di  Bilik Wilayah Kuala Lumpur, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Majlis pelancaran disempurnakan oleh Dekan Fakulti Penulisan, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA)  YBhg. Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Anwar Ridhwan.

Menurut Dato’ Dr. Anwar Ridhwan dalam ucapan perasmian, buku Bagaimana Saya Menulis: Proses Penciptaan Cerpen merupakan satu tapak permulaan kepada penulis muda yang baru berjinak-jinak dalam bidang penulisan kreatif. Dengan terbitnya buku panduan seperti ini diharap dapat memberikan manfaat berganda dan menjadi “makanan harian” kepada penulis muda agar dapat menjadi pewaris penulis mapan pada masa akan datang.

Penyusun buku Bagaimana Saya Menulis: Proses Penciptaan Cerpen, Prof. Madya Dr. Mawar Safei (UKM) dan Puan Nisah Haron menjadi panel pembicara buku tersebut dalam Sesi Bicara Karya yang dipengerusikan oleh Puan Rozninah Abd. Azib dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Prof. Madya Dr. Mawar Safei berpendapat bahawa buku panduan seperti ini sukar didapati pada masa ini. Justeru, kewujudannya umpama sebuah gelombang yang akan memberikan impak yang besar kepada masyarakat terutama penulis-penulis muda.

Pelbagai petua dan panduan penulisan kreatif diketengahkan oleh panel dalam menghasilkan cerpen yang baik. Rahsia proses penciptaan karya oleh pengarang terkenal yang telah menempa nama dalam menghasilkan karya besar serta memenangi hadiah dalam pelbagai sayembara penulisan dirungkai menerusi buku ini.  Selain pengalaman kehidupan seharian yang menjadi bahan penulis, kegigihan penulis dalam membuat penyelidikan dan mencari ilmu menjadi asas penghasilan cerpen turut dikongsikan bersama.

Antara 17 orang penulis prolifik yang turut berkongsi pengalaman mereka dalam buku ini ialah Aminah Mokhtar, Faisal Tehrani, Jais Sahok, Kamariah Kamaruddin, Maskiah Masrom, Mawar Safei, Mohd. Nazmi Yaakub, Muhd. Nasruddin Dasuki, Nisah Hj. Haron, Rahimidin Zahari, S.M. Zakir, Saharil Hasrin Sanin, Salina Ibrahim, Samsiah Mohd. Nor, Siti Jasmina Ibrahim, Siti Raihani Mohd. Saaid dan Zaid Akhtar.

Penerbitan buku ini adalah salah satu usaha Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam menghasilkan penerbitan yang lebih terarah. Resipi dan  rahsia 17 orang penulis prolifik ini dihimpunkan dalam buku Bagaimana Saya Menulis: Proses Penciptaan Cerpen yang menjadi wadah untuk penulis muda.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1045928
    Visit Today : 824
    This Month : 28527
    Total Visit : 1045928
    Hits Today : 2705
    Total Hits : 4293270
    Who's Online : 11
  • Kategori