OLEH IBRAHIM MAJDI BIN MOHAMAD KAMIL

Masyarakat Majmuk di Malaysia.

PENDAHULUAN

MALAYSIA merupakan sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai etnik. Kepelbagaian budaya di Malaysia adalah kerana Malaysia ialah sebuah negara yang mengandungi masyarakat majmuk. Penulis mengambil definisi konsep masyarakat majmuk oleh J.S Furnivall kerana definisi ini banyak digunakan dalam bahan rujukan di Malaysia. Masyarakat majmuk menurut J.S. Furnivall (1948) merujuk kepada sebuah masyarakat yang terdiri daripada pelbagai etnik yang mempunyai kebudayaan, agama, bahasa, dan adat resam yang tersendiri meskipun berada di bawah satu sistem politik yang sama.

MALAYSIA SEBAGAI SEBUAH NEGARA MAJMUK

Daripada definisi yang diberikan oleh J.S Furnivall, beberapa syarat perlu dipenuhi sebelum sesebuah masyarakat dapat dikenali sebagai sebuah masyarakat majmuk. Yang pertama ialah sebuah masyarakat yang berbilang kaum atau etnik. Hal ini bermakna syarat asas dalam sesebuah masyarakat majmuk ialah mempunyai masyarakat yang lebih daripada satu etnik.

Yang kedua, etnik-etnik ini perlu mengekalkan dan mengamalkan budaya, agama, bahasa dan adat resam yang tersendiri. Jika etnik-etnik ini tidak lagi mengamalkan budaya masing-masing dan telah berasimilasi dengan budaya majoriti, akan menyebabkan terhakisnya unsur-unsur masyarakat majmuk.

Syarat terakhir adalah di bawah satu sistem politik yang sama. Perkara ini bermakna bahawa kesemua etnik ini terletak di bawah satu pemerintahan dan negara yang sama. Apabila ketiga-tiga syarat ini berlaku, maka terbentuklah sebuah masyarakat majmuk. Sebuah masyarakat yang mengandungi berbilang etnik dan budaya. Meskipun Malaysia dilihat sebagai sebuah negara model yang berjaya membentuk sebuah masyarakat majmuk yang baik, Malaysia tidak terlepas daripada beberapa isu dan konflik terutamanya dalam membentuk dan mengekalkan keharmonian masyarakatnya. Oleh yang demikian, Malaysia memerlukan proses integrasi dalam kalangan rakyat supaya kesepaduan sosial antara kaum dapat diperkukuhkan dan akan dapat mengurangkan konflik antara kaum. Salah satu cara integrasi di Malaysia adalah melalui proses asimilasi budaya.

ASIMILASI BUDAYA MEMBENTUK INTEGRASI

Asimilasi budaya juga dikenali sebagai akulturasi. Asimilasi budaya merujuk kepada proses perubahan kebudayaan dan pinjam-meminjam unsur kebudayaan akibat perhubungan antara dua kumpulan yang berlainan tradisi. Pinjaman budaya ini tidak mengubah budaya asal dan tidak juga menyebabkan kehilangan budaya asal etnik yang meminjam. Asimilasi budaya banyak berlaku dalam kalangan rakyat Malaysia dan ini membawa kepada aspek yang positif dalam kesepaduan sosial di Malaysia.

Malaysia telah menerapkan konsep asimilasi dalam kalangan penduduknya sejak sekian lama. Walau bagaimanapun, asimilasi yang diterapkan dalam masyarakat Malaysia bukanlah seperti asimilasi struktur yang telah berlaku di sesetengah negara, di mana etnik-etnik lain dipaksa mengikut budaya etnik majoriti sehingga menyebabkan mereka kehilangan identiti yang asal. Konsep asimilasi di Malaysia adalah sangat unik, iaitu dengan  menerapkan penerimaan budaya setiap etniknya.. Antara contoh asimilasi budaya yang berlaku di  Malaysia adalah seperti penerimaan amalan rumah terbuka semasa perayaan dan amalan mengundang semua masyarakat daripada pelbagai  etnik untuk turut bersama-sama meraikan sesuatu perayaan budaya etnik yang ada.

Pinjaman budaya boleh berlaku dalam pelbagai aspek. Asimilasi budaya pula boleh berlaku dalam bentuk pinjaman budaya kebendaan, iaitu budaya yang melambangkan sesuatu kebudayaan secara langsung seperti pakaian, makanan, seni bina, kesenian, kraf tangan, permainan tradisional, kaligrafi dan simbol. Selain itu, pinjaman budaya juga boleh berlaku dalam bentuk budaya bukan kebendaan, iaitu budaya yang dihasilkan daripada kepercayaan adat dan undang-undang dalam masyarakat seperti adat perkahwinan, adat kelahiran, adat kematian, pantang larang, nilai, perayaan, bahasa dan agama.

Antara contoh asimilasi budaya di Malaysia adalah seperti pengunaan perkataan tapau. Penggunaan perkataan tapau yang berasal daripada bahasa Mandarin yang kemudiannya diterima oleh budaya dan etnik lain yang membawa maksud bungkus atau makanan untuk dibawa pulang.

Contoh kedua adalah dalam aspek pakaian. Antara pakaian tradisional India di Malaysia ialah Sari, Dhoti, dan Kurta. Jika dahulu pakaian ini hanya dipakai oleh masyarakat India sahaja. Walau bagaimanapun, pada masa kini pakaian tradisional India juga popular dan dikenakan oleh etnik dan budaya lain di Malaysia termasuk ketika perayaan.

Contoh ketiga pula dalam aspek makanan. Nasi lemak merupakan sajian yang popular dalam kalangan rakyat Malaysia. Nasi Lemak merupakan salah satu makanan tradisional masyarakat Melayu. Meskipun begitu, nasi lemak kini boleh didapati di kedai makanan masyarakat Melayu,  Cina,  India dan hampir kebanyakan etnik lain yang telah membuat dan menjual nasi lemak.

Menurut Zaliza dan Norlin (2009), asimilasi budaya akan terus berlaku. Asimilasi ini akan menyebabkan titik pertemuan antara kaum di Malaysia semakin meluas. Menurut mereka lagi, titik pertemuan merupakan nilai hidup bersama. Maka, titik pertemuan adalah sebagai kunci untuk mencapai matlamat negara, iaitu penyatuan melalui keperibadian kebangsaan yang jitu.

Satu kajian telah dilakukan bagi menganalisis mengapa sangat sukar untuk mencapai kesepaduan penduduk di Malaysia. Satu kajian telah dilakukan oleh Nur Azuki, Nik Yusri dan Wan Sopian (2012) mengenai faktor utama konflik etnik dari perspektif mahasiswa. Daripada dapatan kajian mereka, unsur-unsur seperti budaya, perbezaan etnik serta warna kulit tidaklah menjadi sesuatu masalah dalam kalangan penduduk di Malaysia. Hal ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia dapat menerima budaya antara satu sama lain. Keadaan ini boleh dikaitkan dengan proses asimilasi yang telah berlaku, iaitu penduduk di Malaysia dapat menerima dan berkongsi perayaan secara bersama-sama.

KESIMPULAN

Sebagai kesimpulan, pemahaman tentang kesepaduan kaum telah banyak diberikan dan didedahkan kepada masyarakat. Pihak kerajaan menggunakan pelbagai kaedah dan ideologi bagi mewujudkan kestabilan dan perpaduan kaum. Asimilasi budaya merupakan salah satu aspek yang patut ditonjolkan dalam masyarakat Malaysia. Amalan sebegini seharusnya digalakkan lagi kerana dapat memberikan keunikan kepada Malaysia di samping dapat mengukuhkan lagi perpaduan dan kesatuan etnik dalam kalangan rakyat Malaysia.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1045353
    Visit Today : 249
    This Month : 27952
    Total Visit : 1045353
    Hits Today : 811
    Total Hits : 4291376
    Who's Online : 20
  • Kategori