Judul             : Imam al-Bukhari (194 H – 256 H / 810 M – 870 M)

Penulis          : Rosmawati Ali @ Mat Zin

Terbitan        : Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun Terbit: 2016

PENGULAS  : ATIQAH ABD RAHIM

SIRI Tokoh Hadis ini mendokumenkan sejarah hidup seorang tokoh pengumpul hadis, Imam al-Bukhari yang memberikan jasa yang sangat besar dalam pengumpulan hadis selepas pemergian Nabi Muhammad SAW. Kitab hadis beliau, Sahih al-Bukhari, diakui oleh semua ulama hadis sebagai kitab hadis yang paling sahih dan menjadi sumber rujukan kedua selepas al-Quran. Beliau meninggalkan khazanah yang amat bernilai bagi umat Islam.

Kandungan buku ini dibahagikan kepada tiga bahagian. Bahagian pertama menceritakan latar belakang dan keperibadian beliau dari usia kanak-kanak hingga awal remaja. Bahagian kedua membawa pembaca menerokai pengembaraan al-Bukhari dalam menuntut ilmu dan berguru dengan para ulama hadis. Bahagian terakhir mengupas sumbangan Imam al-Bukhari seperti karya-karya yang pernah dihasilkan oleh beliau dan huraian ringkas kitab Sahih al-Bukhari yang menjadi rujukan umat Islam dalam mencari jawapan tentang persoalan kehidupan seperti ibadah dalam Islam, hukum halal dan haram, amalan menuntut ilmu, perkahwinan dan sebagainya.

Bahagian pertama memperkenalkan biodata diri Imam al-Bukhari dan kecerdasan luar biasa yang dimilikinya. Gelaran al-Bukhari dinisbahkan kepada daerah kelahirannya iaitu Bukhara yang terletak di Samarkand, Uzbekistan. Nama penuh Imam al-Bukhari ialah Abu Abdullah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin al-Mughirah bin Bardizbah al-Ju’fi al-Bukhari. Beliau dibesarkan dalam keluarga berilmu, beriman dan bertakwa. Bapanya, Ismail bin Ibrahim terkenal sebagai ahli hadis yang warak dan alim. Bapa beliau pernah berkata, sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir bahawa dalam hartanya tidak ada syubhah walau satu dirham. Bapa Imam al-Bukhari meninggal dunia ketika beliau masih kecil dan ibunya, seorang wanita solehah mendidik dan membesarkan beliau dengan pemilihan makanan yang baik dan halal.

Sejak kecil lagi, al-Bukhari rajin menghadiri majlis ilmu. Beliau belajar membaca dan menyalin al-Quran serta hadis. Kepintaran beliau semakin terserlah ketik berumur 10 tahun. Al-Bukhari dapat menghafal hadis secara terperinci semasa di tempat pengajiannya. Kebolehan tersebut dikagumi oleh para ulama pada zamannya. Pada usia 11 tahun, al-Bukhari membetulkan kesilapan gurunya, al-Dakhili, sewaktu gurunya itu meriwayatkan hadis. Al-Bukhari juga berguru dengan beberapa orang ulama dan meriwayatkan hadis daripada mereka. Antaranya ialah Muhammad bin Salam, Abdullah bin Muhammad al-Musnadi, Ibrahim bin al-Asy’ath dan Muhammad bin Yusuf. Muhammad bin Salam pernah berkata bahawa beliau mula gugup, khuatir dan keliru dengan hadis yang hendak disampaikan apabila al-Bukhari datang ke majlis ilmunya.

Pada umur muda, al-Bukhari telah menghafaz seluruh kandungan al-Quran dan hadis. A-Bukhari bukan sahaja menghafal teks (sanad) hadis malah turut mengetahui rangkaian sanadnya serta biodata para perawi dan guru-guru mereka. Ketelitian al-Bukhari dalam mempelajari hadis terserlah apabila beliau menyelidik dahulu biodata periwayat hadis tersebut termasuk tarikh lahir, tarikh kematian, tempat tinggal, guru dan muridnya. Beliau amat menitikberatkan sanad dan matan hadis serta sumber asal kedua-duanya. Hal ini membuatkan beliau dapat membezakan antara hadis Sahih dengan hadis bukan Sahih.

Bahagian kedua menceritakan titik permulaan al-Bukhari mengembara di beberapa tempat untuk mencari ulama-ulama hadis. Syarat beliau berguru dan mengambil hadis daripada guru tersebut sangat ketat. Penulis menerangkan syarat al-Bukhari, “Jika beliau hendak mencatat sesebuah hadis daripada seseorang guru, beliau akan bertanya tentang nama, gelaran, panggilan serta keturunannya. Beliau akan membentangkan hadis tersebut dan bertanya kepadanya. Jika perawi tersebut tidak memahami hadis berkenaan, beliau akan menyuruhnya mendapatkan kembali sumber asal hadis tersebut dan sebelum dia mencatatnya”. Pertimbangan al-Bukhari dalam menilai seseorang guru membuktikan kekuatan dan kethiqahan (boleh dipercayai) hadis-hadis yang diambilnya. Imam al-Bukhari juga menghafal hadis-hadis da’if (hadis yang tidak memenuhi satu atau lebih syarat hadis Sahih dan Hasan) supaya beliau dapat membezakan hadis yang Sahih atau bukan Sahih.

Bahagian terakhir merumuskan sumbangan Imam al-Bukhari dalam perkembangan ilmu hadis. Ketekunan dan ketelitian beliau dalam memelihara dan menghafaz hadis Nabi Muhammad SAW memberikan sumbangan yang besar kepada masyarakat Islam. Sebelum terhasilnya kitab Sahih al-Bukhari, beliau telah menghasilkan banyak kitab. Pada suatu ketika, Ishaq bin Rahawaih memberi cadangan kepada Imam al-Bukhari supaya diringkaskan hadis-hadis yang pernah dikumpulkannya menjadi sebuah kitab. Maka, al-Bukhari menyusun kitab Sahihnya berdasarkan pecahan topik dan tajuk-tajuk kecil. Hadis yang terkandung dalam kitab Sahih adalah hasil tapisan daripada 600,000 hadis yang telah dihafalnya. Beliau mengambil masa selama 16 tahun untuk menyiapkan kitab Sahih. Namun begitu, al-Bukhari mengatakan bahawa masih banyak hadis Sahih yang tidak dimasukkan kerana pengumpulannya akan mengambil masa yang lebih lama lagi.

Imam al-Bukhari meninggal dunia pada malam Hari Raya Aidilfitri, 30 Ramadan 256 Hijrah bersamaan 31 Ogos 870 Masihi di Samarkand pada usia 62 tahun. Jenazah beliau dimakamkan selepas solat Zohor pada Hari Raya pertama. Ketika jenazah beliau dimasukkan ke liang lahad, tanahnya berbau wangi seperti kasturi selama beberapa hari.

Keseluruhan kandungan buku ini diterangkan dengan terperinci dalam bentuk yang mudah difahami oleh pembaca. Penggunaan bahasa Melayu yang mudah dan jelas membantu pembaca untuk memahami beberapa perkataan bahasa Arab yang disertakan. Perkara paling menarik tentang buku ini ialah penulis menyelitkan fakta-fakta penting yang dirumuskan dalam kotak-kotak berwarna dan kuiz-kuiz diberikan pada setiap penghujung bab supaya pembaca tidak lupa dengan apa yang telah dibaca. Gambar-gambar peta juga disertakan untuk pembaca yang tidak mahir dengan wilayah Rusia dan Tanah Arab. Buku ini sesuai untuk pembacaan semua lapisan pembaca, dan khasnya dapat digunakan sebagai rujukan pelajar dan guru sekolah menengah dalam mata pelajaran Pendidikan Islam.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1046687
    Visit Today : 303
    This Month : 29286
    Total Visit : 1046687
    Hits Today : 608
    Total Hits : 4295410
    Who's Online : 15
  • Kategori