Oleh DR. WAN KHAIROSLINDA WAN MOHD. KHAIRI

PENDOKUMENTASIAN koleksi manuskrip di kebanyakan kepustakaan Melayu Nusantara yang berusia puluhan ribu tahun telah menarik minat para sarjana tempatan dan luar negara untuk melakukan penyelidikan dalam pelbagai bidang. Hal ini kerana manuskrip Melayu merupakan dokumen bertulis yang jauh lebih ‘muda’ dan sebilangannya telah dihasilkan setelah mesin cetak diperkenalkan. Sehubungan dengan itu, penganjuran Wacana Sarjana Persuratan Melayu, Siri 1/2019 dilaksanakan oleh Pusat Dokumentasi Melayu (PDM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Yayasan Karyawan pada 18 Oktober 2019, di Sanggar Za’ba, Menara DBP, Kuala Lumpur. Wacana  ini  bertujuan untuk menghimpunkan para ilmuwan, penyelidik dan tokoh akademik khususnya dalam bidang pengajian Melayu agar percambahan fikiran yang lebih baik dan meluas dapat dilaksanakan demi memperkasa bidang Persuratan Melayu.

Bagi menjayakan Wacana Sarjana Persuratan Melayu pada kali ini, pihak penganjur telah mengundang Prof. Dr. Nurhayati Rahman dari Fakultas Ilmu Budaya, Hasanuddin Makasar dan saudara Alwi Daud, pelajar pengajian Doktor Falsafah, Jabatan Sejarah, Universiti Malaya bagi membincangkan tentang aksara dan tokoh Persuratan Melayu Sulawesi Selatan. Berdasarkan pembentangan beliau yang berjudul, “Karakteristik huruf, teks dan naskah-naskah di Sulawesi Selatan”, Prof. Dr. Nurhayati Rahman menjelaskan tentang sistem tulisan yang merupakan lambang ketinggian peradaban sesuatu bangsa. Di Indonesia khususnya, beberapa bangsa yang memiliki sistem tulisan ialah Jawa, Sunda, Bali, Batak, Rejang, Melayu, Bugis dan Makassar. Menurut Prof. Dr. Nurhayati terdapat empat jenis huruf atau aksara yang utama di Sulawesi Selatan, iaitu aksara lontaraq, jangang-jangang, bilang-bilang dan serang. Huruf lontaraq merupakan aksara yang dominan dalam penulisan kitab La Galigo – sebuah kitab yang menjadi kebanggaan masyarakat Bugis di Nusantara. Huruf ini terdiri daripada dua jenis, iaitu lontaraq kuno dan lontaraq baru. Huruf lontaraq kuno sangat dominan dalam penulisan kitab La Galigo yang ditulis atas daun lontar. Perkataan lontaraq yang berasal dari bahasa Bugis/Makassar bererti lontar. Aksara lontaraq disebut dengan aksara sulapaq eppaq yang bererti segi empat. Hal ini kerana bentuk dasar aksara tersebut yang bersegi empat belah ketupat yang dipaparkan seperti berikut:

Aksara jangang-jangang pula hanya terbatas penggunaannya pada naskhah-naskhah Makassar. Perkataan jangang-jangang berasal daripada kata Makassar yang bererti burung-burung. Sehingga kini tidak diketahui asal usul kata tersebut. Beberapa pandangan orang tertentu mengatakan bahawa nama perkataan tersebut berkemungkinan disesuaikan dengan burung kerana bentuk aksara yang bulat dan bersayap dan menyerupai burung yang membawa simbol pembawa khabar.

Huruf jangan-jangan.

Selanjutnya, Prof. Dr. Nurhayati menjelaskan tentang aksara bilang-bilang yang bererti “Aksara Hitungan” yang dicipta oleh Retna Kencana Colliq Pujie Arung Pancana Toe. Beliau merupakan seorang bangsawan dan aristokrat keturunan Bugis-Melayu yang menjadi ratu di Pancana. Ketokohan beliau dalam bidang mengarang dan menulis menjadikan beliau sebagai sumber rujukan utama beberapa peneliti dari Eropah seperti Ida Preiffer dari Austria, A. Lighvoed dan Matthes. Kebijaksanaan beliau dalam bidang penulisan dapat dibuktikan apabila beliau berjaya menyalin dua belas jilid naskhah La Galigo, sebuah karya sastera yang terpanjang dengan melakukan daftar isi dan ringkasan cerita. Penglibatan beliau dalam perjuangan politik menentang kerajaan Belanda menyebabkan beliau ditahan di Makassar selama 10 tahun. Oleh itu, bagi membolehkan beliau berkomunikasi dengan para pengikutnya, maka aksara rahsia, iaitu bilang-bilang dihasilkan oleh beliau melalui surat rahsia yang dikirimkannya. Aksara bilang-bilang yang dihasilkan oleh beliau tersebut tidak dapat dibaca atau difahami oleh orang lain termasuk orang Belanda. Huruf bilang-bilang yang direka cipta oleh Collin Pujie ini diinspirasi daripada huruf Arab dan lontaraq. Contoh aksara tersebut adalah seperti berikut:

Huruf bilang-bilang.

Aksara serang pula terhasil daripada adaptasi huruf Arab yang menggunakan bahasa Bugis dan Makassar yang dikenali juga sebagai Jawi. Huruf ini digunakan sepenuhnya ketika kedatangan Islam di Sulawesi Selatan. Sebahagian besar penggunaan huruf ini bertujuan untuk merakamkan tentang pengajaran dan penyebaran agama Islam. Contoh huruf serang adalah seperti di bawah:

Huruf Serang.

Seterusnya, sesi pembentangan diteruskan oleh saudara Alwi Daud bagi menjelaskan tentang kearifan tempatan dalam naskhah La Galigo. Meurut Alwi, unsur kearifan tempatan yang ditemui dalam kitab La Galigo ini meliputi kepengarangan naskhah tersebut, agama, kitab suci, tradisi, kesenian dan kebudayaan. Pengetahuan dan keistimewaan penyusun La Galigo, iaitu Retna Kencana Colliq Pujie Arung Pencana Toa yang menguasai bahasa Bugis berjaya menyusun dan menyalin kitab tersebut dari daun lontar ke kertas sebanyak 12 jilid. Keupayaan beliau ini sangat dihargai kerana pada ketika itu dan sehingga kini masih ramai masyarakat Bugis yang tidak memahami dan mampu membaca bahasa Bugis. Penghasilan La Galigo yang bersifat kolektif tersebut memperlihatkan bahawa kitab tersebut dikarang secara beramai-ramai.

Kearifan tempatan La Galigo selanjutnya diperlihatkan melalui kejayaan pengarang atau penyusun membina naskhah tersebut dengan nuansa sastera moden. Misalnya, lima suku kata yang ditulis pada setiap baris sehingga menncapai ribuan bait dengan alurnya yang mendatar, terdiri daripada tiga elemen utama, iaitu kilas balik, dramtik dan pembayangan. Orang Bugis menggunakan kitab ini sebagai rujukan kepada permulaan kehidupan mereka dengan memberi takrifan dunia ke dalam suatu suasana yang harmoni, antara manusia dengan alam dan antara dunia bawah dan dunia atas.

Selanjutnya, kearifan tempatan dalam naskhah La Galigo ditegaskan oleh saudara Alwi merujuk budaya massureq. Saudara Alwi menerangkan tentang kelaziman tradisi pembacaan naskhah La Galigo pada upacara yang melibatkan adat masyarakat Bugis seperti upacara menyambut kelahiran, pijak tanah, bercacah, perkahwinan dan kematian. Amalan yang merujuk La Galigo ini berlaku kerana wujudnya falsafah harga diri atau siriq dalam masyarakat Bugis.

La Galigo juga dianggap suci dan sakral oleh segelintir masyarakat Bugis. Mereka menganggap naskhah La Galigo sebagai benda suci yang disakralkan dan sebagai pusaka leluhur yang menjadi simbol kebanggaan masyarakat Bugis. Pada kebiasaannya dalam upacara suci dan sakral, diiringi dengan penyembelihan haiwan dan pembacaan La Galigo. Hal yang sama juga berlaku apabila hendak menulis atau menyalin naskhah La Galigo. Ada juga segelintir masyarakat Bugis percaya bahawa naskhah La Galigo bahaya untuk dilihat dan juga untuk ditulis. Oleh itu, ada sesetengah La Galigo yang menjadi simpanan individu diletakkan pada ruang simpanan yang khusus.

Selain daripada itu terdapat juga ritual lain yang melibatkan pembacaan naskhah La Galigo. Ritual tersebut dikenali sebagai mappano bine (upacara menidurkan benih padi) menjelang upacara menananm padi; macceraq tasiq (upacara persembahan dewa laut); menreq baruga (upacara perasmian balairung) tempat berlangsungnya upacara keduniaan; dan matemmu taung (mengunjungi dan menziarahi kubur leluhur mereka).

Dalam sesi pembentangan tersebut, saudara Alwi turut menjelaskan tentang peranan La Galigo sebagai mantera dalam merawat pesakit, bencana alam dan kematian. Beberapa mantera dan ritual persembahan korban serta tingkat para dewa wilayah kekuasaan juga ditemui. La Galigo juga turut dianggap sebagai pelindung terhadap ancaman kebahagiaan hidup dan jalinan hubungan individu dengan penguasa serta para dewa di samping sebagai sumber ketenteraman jiwa yang dapat meleraikan konflik batin seseorang.

Pada keseluruhannya, dapat dirumuskan bahawa penelitian aksara dan kearifan tempatan yang dibincangkan oleh kedua-dua pembentang yang diundang menjelaskan tentang kepercayaan masyarakat Bugis terhadap kitab La Galigo yang merupakan sebuah kitab yang terpanjang di dunia. Pelbagai unsur kearifan tempatan yang menyentuh pelbagai aspek seperti agama, kitab suci, tokoh persuratan, kesenian dan kebudayaan turut dibincangkan. Citra kebugisan yang dipaparkan melalui tema pelayaran, perang dan cinta sangat menarik untuk ditelesuri. Walau bagaimanapun, setelah kedatangan Islam unsur keariifan tersebut disesuaikan selari dengan pengarauh agama Islam dan sebahagian daripada amalan dalam La Galigo tidak lagi diamalkan. Penganjuran Wacana Sarjana Persuratan Melayu ini perlu dilaksanakan pada setiap tahun sebagai salah satu cara untuk berkongsi manfaat daripada penelitian manuskrip Melayu oleh para sarjana, tokoh akademik dan penyelidik tempatan mahupun luar negara sebagai satu bentuk warisan bangsa. Melalui penganjuran wacana ini juga dapat menjadikan DBP sebagai sebuah pusat kecemerlangan penyelidikan yang bertaraf antarabangsa dalam melaksanakan pelbagai jenis kajian yang berkaitan dengan persuratan dan ketamadunan Melayu. Rumusan daripada wacana ini bukan sahaja dapat dimanfaatkan oleh pengkaji, pencinta manuskrip Melayu, dan masyarakat awam, bahkan dapat memberikan sumbangan terhadap kajian manuksrip Melayu dalam pelbagai bidang ilmu. Oleh yang demikian, penganjuran program seperti ini dapat membuka ruang dan peluang kepada penyelidik dan ilmuwan untuk meningkatkan lagi kajian masing-masing demi meningkatkan kesedaran terhadap pemuliharaan dan pemeliharaan manuskrip Melayu warisan bangsa kita.

 

Sila Beri Pandangan


  • Arkib

  • Statistik

    000000
    Melawat hari ini:
    Jumlah Pelawat:
    Hits hari ini:
    Jumlah Hits :
    Siapa atas talian:
  • Kategori

Botanical Slimming Cell Phone Jammer For Sale, Botanical Slimming Soft Gel , Meizi Evolution, Cell Phone Jammers,Cell Phone Blockers, As a result Botanical Slimming works by restraining the activity of lipase in the stomach and intestinal canal.