OLEH ATIQAH ABD RAHIM

Prof. Dr. Ahmad Fauzi Abdul Hamid menegaskan para akademik perlu meletakkan penulisan jurnal ilmiah sebagai aktiviti utama.

BENGKEL Penulisan dan Penerbitan Jurnal Berindeks Berteraskan Sains Sosial dan Kemanusiaan 2019 anjuran Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah diadakan di Pusat Islam Tun Abang Salahuddin (PITAS), UNIMAS pada 30 Ogos 2019. Bengkel satu hari ini telah menghimpunkan pensyarah dan pelajar pascasiswazah UNIMAS dari Fakulti Sosial Sains dan Kemanusiaan, Fakulti Bahasa dan Komunikasi dan Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia. Sesi perkongsian mengenai dunia penerbitan akademik ini dikendalikan oleh Prof. Dr. Ahmad Fauzi Abdul Hamid, Ketua Editor untuk jurnal Kajian Malaysia: Journal of Malaysian Studies. Kajian Malaysia adalah sebuah jurnal penerbitan yang diterbitkan oleh Penerbit Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

Para peserta yang terdiri daripada pensyarah UNIMAS.

Secara ringkasnya, Kajian Malaysia komited untuk berkongsi ilmu pengetahuan dan hasil kajian daripada para penyelidik, dan menggalakkan perbincangan antara beberapa cabang ilmu sosial dan kemanusiaan di Malaysia. Jurnal ini menerapkan dasar penerbitan dwibahasa iaitu bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris. Antara pencapaian Kajian Malaysia ialah dianugerahkan sebagai Penerima Hadiah Galakan Khas Jurnal sempena sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2012 peringkat Kementerian Pengajian Tinggi dan Penerima Program Pemberian Taraf CREAM oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia di bawah kategori Scopus untuk bidang Sains Sosial dan Kemanusiaan pada tahun 2015. Juga telah disenaraikan dalam pangkalan data baru Clarivate Analytics (dulunya Thomson Reuters), iaitu Web of Science – Emerging Sources Citation Index (ESCI) mulai isu Jilid 35 (1) 2017.

Dalam pembentangannya, Prof. Dr. Ahmad Fauzi Abdul Hamid menyatakan penerbitan hasil kajian adalah satu aktiviti yang seharusnya ada dalam agenda seorang akademik. Jika tiada hasil kajian yang diterbitkan, maka ia diibaratkan seperti tidak ada apa yang dihasilkan. Beliau memberikan contoh mengapa masyarakat kita lebih mengetahui Hang Tuah berbanding dengan Tun Perak adalah disebabkan adanya Hikayat Hang Tuah. Penerbitan membolehkan masyarakat membaca hasil karya seseorang dan tentunya penyebaran ilmu pengetahuan ini dapat diwujudkan.

Pengacara mengalu-alukan kedatangan Ketua Editor jurnal Kajian Malaysia, Prof. Dr. Ahmad Fauzi Abdul Hamid.

Seorang akademik dinilai berdasarkan nilai dan kepentingan kertas kerja yang ditulis. Walaupun kadar penerbitan berbeza mengikut disiplin ilmu, penerbitan juga menjadi faktor penentu untuk promosi kenaikan jawatan, perpindahan ke institusi lain dan sebagainya. Perkara utama bagi seorang akademik ialah untuk mendapatkan sebanyak mungkin kutipan rujukan daripada penyelidik lain. Semakin banyak artikel kita dirujuk oleh penyelidik lain, semakin bernilai penerbitan artikel yang ditulis itu. Penerbitan dilihat sebagai legasi bagi seseorang akademik.

Prof. Dr. Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkongsi ilmunya sepanjang bergelar akademik.

Oleh itu, Prof. Dr. Ahmad Fauzi Abdul Hamid menjelaskan para akademik perlu meletakkan keutamaan untuk menulis jurnal ilmiah atau jurnal akademik sepanjang kerjayanya. Walaubagaimanapun, jurnal ilmiah berbeza dengan jurnal yang ditulis di surat khabar dan entri diari. Prof. Dr. Ahmad Fauzi Abdul Hamid membetulkan terma jurnal yang digunakan oleh sesetengah wartawan dalam menulis pencapaian seorang akademik dalam penerbitan. Beliau menyatakan bahawa lebih tepat jika menggunakan terma ‘jurnal artikel’ berbanding ‘jurnal’ apabila menulis rencana berkaitan akademik untuk membezakan skop penulisan jurnal ilmiah dengan penulisan di surat khabar.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1046507
    Visit Today : 123
    This Month : 29106
    Total Visit : 1046507
    Hits Today : 215
    Total Hits : 4295017
    Who's Online : 12
  • Kategori