Judul: Hikayat Malim Deman

Penulis: Pawang Ana dan Raja Haji Yahya 

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Harga: RM10

Pengulas: ATIQAH ABD RAHIM

HIKAYAT Malim Deman merupakan cerita lipur lara Melayu yang telah dikarang oleh Raja Haji Yahya, salah seorang ‘orang istana’ yang tinggal di Chederiang, Perak. Di samping menghasilkan penulisan tentang salasilah dan sejarah raja-raja Perak, beliau pernah berkhidmat sebagai penghulu, pawang istana, pengumpul cerita rakyat, pengarang syair, dan mempunyai hubungan dengan tokoh penglipur lara di negeri Perak bernama Pawang Ana (Jelani, 2015). Oleh itu, di penghujung cerita dinyatakan, “Demikianlah diceritakan oleh Pawang Ana yang empunya cerita serta dikarangkan oleh Raja Haji Yahya di Chenderiang dalam negeri Perak Darul Ridzwan”.

Seperti yang kita ketahui, cerita lipur lara ini tidak diketahui pengarang asalnya dan telah diperturunkan kepada satu generasi ke generasi seterusnya melalui kaedah lisan. Melalui kearifan Raja Haji Yahya dalam penulisan sastera dan sosiobudaya kehidupan masyarakat Melayu, maka terhasil beberapa karya kesusasteraan Melayu yang ada pada hari ini termasuklah karya Hikayat Malim Deman.

Hikayat Malim Deman mengisahkan seorang putera raja dari sebuah negeri bernama Bandar Muar, Tuanku Malim Deman. Ayahanda baginda bernama Tunku Gombang Malim dan bonda bernama Tuan Puteri Lindungan Bulan. Malim Deman diperihalkan sebagai seorang putera yang kacak, cukup budi pekertinya dan bijak dalam mengetahui segala hal dunia dan akhirat.

Pada suatu malam, baginda bermimpi didatangi seorang lelaki tua menyuruhnya berjumpa Nenek Kebayan di hulu negeri untuk memperisterikan Puteri Bongsu dari kayangan yang akan turun bermain-main di taman rumah nenek itu. Apabila baginda terjaga daripada beradu, Tuanku Malim Deman berubah menjadi seorang gila bayang kerana terkenangkan mimpinya itu. Seluruh istana hairan melihat perubahan kelakuan baginda terutama pengasuhnya, Si Kembang Cina. Akhirnya, baginda mengambil keputusan untuk ke hulu negeri berjumpa dengan Nenek Kebayan.

Dalam pengembaraan itu,Tuanku Malim Deman diiringi menteri, hulubalang dan rakyat jelata tetapi semuanya tewas disebabkan sesat, hilang, kebuluran dan sesetengahnya kembali ke Bandar Muar kerana tidak tahan dengan bencana dan gangguan hantu syaitan semasa dalam perjalanan tersebut. Tinggallah Tuanku Malim Deman bersama Awang Selamat dan anjingnya, Si Kumbang. Tidak lama selepas itu, Awang Selamat jatuh sakit dan meninggal dunia. Tuanku Malim Deman meneruskan perjalanan bersama Si Kumbang sehingga terjumpa sebuah batil emas bertatahkan intan kepunyaan Puteri Bongsu yang sedang hanyut di hulu sungai. Sesiapa yang menjumpai batil itu akan menjadi jodoh Puteri Bongsu. Dilihatnya ada sebentuk cincin dengan sehelai rambut di dalam batil itu. Dengan takdir Allah SWT, Si Kumbang mati lemas semasa mereka berdua menyeberangi sungai itu. Tuanku Malim Deman sangat sedih dan menyerahkan dirinya kepada Allah SWT dalam menempuh perjalanan seterusnya.

Maka, sampailah baginda di hulu negeri Bandar Muar dan dilihatnya sebuah rumah cantik kepunyaan Nenek Kebayan. Tuanku Malim Deman menceritakan mimpinya dan dengan helah dan bantuan Nenek Kebayan, baginda mengambil baju layang Puteri Bongsu semasa ketuhuh-tujuh puteri itu bersiram. Akhirnya, Tuanku Malim Deman membuka rahsia batil emas. Baginda dan Puteri Bongsu dikahwinkan oleh Betara Guru di rumah Nenek Kebayan.

Kepulangan Tuanku Malim Deman membawa isterinya Puteri Bongsu disambut meriah dan diadakan kenduri secara besar-besaran. Selang seminggu, Tuanku Gombang Malim Dewa dan permaisuri gering dan mangkat. Tuanku Malim Deman mengambil takhta pemerintahan. Namun begitu, Tuanku Malim Deman mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang ketua negeri dan menghabiskan masa dengan bersabung ayam dan berfoya-foya dengan wanita. Baginda juga tidak mengendahkan permaisurinya sehinggalah kelahiran puteranya, Tuanku Malim Dewana.

Pada suatu hari, Puteri Bongsu terpandang baju layangnya dahulu lantas diambil dan didukung putera kecilnya pulang ke kayangan. Kedua-kedua orang tua Puteri Bongsu hairan melihatnya pulang tanpa suaminya. Setelah diketahui masalah yang dihadapi oleh Puteri Bongsu, baginda ditunangkan dengan seorang raja dari kayangan, Mambang Molek

Setelah menyedari kehilangan isteri dan anaknya, barulah Tuanku Malim Deman insaf akan perbuatannya. Baginda mengembara semula dan meminta bantuan Nenek Kebayan tetapi Nenek Kebayan mengatakan bahawa hanya burung borak sahaja yang mampu membawa baginda ke kayangan dan tidak diketahui tuan empunya burung borak itu. Baginda meneruskan perjalanan dan sewaktu terlena di banir pokok, baginda bermimpikan seorang tua menyuruh baginda mengikut hulu sungai sehinggalah bertemu dengan Puteri Terus Mata, anak Raja Jin Islam. Terjaga daripada beradu, baginda mengikut pesanan orang tua itu dan akhirnya menemui Puteri Terus Mata. Tuanku Malim Deman sempat berguru dengan Raja Jin Islam tentang segala cabaran di kayangan kelak. Berlepaslah baginda ke kayangan bersama burung borak dengan  syarat supaya mengahwini Puteri Terus Mata apabila pulang ke dunia semula. Adakah Tuanku Malim Deman berjaya mendapatkan permaisuri dan puteranya yang berada di kayangan dan kembali ke dunia? Buku hikayat ini seharusnya dimiliki dan dihayati kerana penulisannya sangat bermutu dan tinggi nilai seni sasteranya!

Keseluruhannya, hikayat ini ternyata sangat menghiburkan dan penulisannya penuh dengan gurindam, pantun, syair dan seloka yang berperanan dalam menggambarkan sesuatu objek, perilaku manusia, rupa paras watak-watak, keadaan dan suasana dengan lebih jelas dan lebih sopan maksud tersiratnya. Walaupun pengulas berasa sedikit risau sebelum membaca hikayat ini disebabkan oleh kata pengantar daripada Prof. R. Roolvink yang mengingatkan supaya pembaca tidak menyamakan kehidupan pada abad ke-20 (sekarang abad ke-21) dengan latar belakang dan keadaan masyarakat pada zaman dahulu, ternyata perbandingan tersebut tidak perlu menjadi isu apabila membaca hikayat ini. Jika seseorang itu mempercayai adanya dunia ghaib dan percaya bahawa kekuasaan Tuhan itu tiada apa yang mustahil untuk terjadi, maka dapat diketahui hikayat ini adalah berbentuk fantasi dan hiburan semata-mata.

 

Rujukan

Jelani Harun. 2015. Raja Haji Yahya in the History of 20th Century Malay Literature. Malay Literature, 28(1), 32-67.

 

Sila Beri Pandangan


  • Arkib

  • Statistik

    000000
    Melawat hari ini:
    Jumlah Pelawat:
    Hits hari ini:
    Jumlah Hits :
    Siapa atas talian:
  • Kategori

Botanical Slimming Cell Phone Jammer For Sale, Botanical Slimming Soft Gel , Meizi Evolution, Cell Phone Jammers,Cell Phone Blockers, As a result Botanical Slimming works by restraining the activity of lipase in the stomach and intestinal canal.