OLEH NURUL JULIA ALANI HENRY

Pada Ogos 2019, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching mengumumkan pengenalan tulisan jawi dalam buku teks Bahasa Melayu (BM) di semua sekolah, termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan SJK (Tamil). Keputusan itu turut membabitkan pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 bagi sesi persekolahan pada tahun hadapan. Ekoran pengumuman tersebut, beberapa pertubuhan pendidikan Cina dan Tamil menolak keputusan Kementerian Pendidikan yang memperkenalkan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu untuk pembelajaran murid Tahun 4 SJKC dan SJKT. Pertubuhan yang dipimpin oleh Gabungan Persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) dan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) mendakwa, pengenalan tulisan khat bagi murid di dua aliran sekolah terbabit tidak bertepatan dengan keperluan sebenar pembelajaran Bahasa Melayu.

Forum Canai Bahasa dan Sastera merupakan program anjuran bersama DBP dan GAPENA.

Cakna terhadap isu berkenaan, maka majalah Pelita Bahasa Bil. 10 Oktober 2019 menjadikan isu tulisan Jawi sebagai fokus utama. Tujuannya untuk memberikan penjelasan tentang sejarah dan peranan tulisan Jawi yang sebenarnya satu warisan berharga negara. Hal ini dikatakan demikian kerana tulisan Jawi telah digunakan secara meluas, terutama pada abad ke-11 hingga abad ke-14 apabila bahasa Melayu muncul sebagai lingua franca pada waktu itu. Tulisan Jawi digunakan untuk menulis surat rasmi kepada pemerintah negara atau ketua negara lain, mencatat dokumen rasmi kerajaan dan tercatat pada bahan bersejarah seperti batu bersurat dan batu nisan.

Sebagai pencerahan lanjut terhadap isu tulisan Jawi dan khat, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengadakan Forum Canai Bahasa dan Sastera yang membincangkan tajuk “Apakah Salah Jawi?”. Penganjuran forum yang berlangsung di Anjung DBP pada 20 September 2019 ini juga bertujuan agar tidak timbul kekeliruan dan salah faham yang berlanjutan dalam kalangan masyarakat tentang fungsi dan kepentingan tulisan Jawi. Oleh itu, Forum Canai Bahasa dan Sastera pada kali ini menjadikan fokus dalam majalah Pelita Bahasa Bil. 10 Oktober 2019 sebagai bahan perbincangan. Dua orang ahli panel yang diundang untuk membicarakan “Apakah Salah Jawi?” ialah Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan, Dato’ A. Aziz Deraman, yang juga mantan Ketua Pengarah DBP, dan Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr. Adi Yasran Abdul Aziz, yang juga Ahli Jawatankuasa Pedoman Ejaan Jawi Edisi Baharu dan pakar rujuk ejaan Jawi. Editor majalah Pelita Bahasa, Suria Janib pula bertindak selaku moderator.

Dato’ A. Aziz Deraman menggesa semua pihak menghentikan pertikaian tentang pelaksanaan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Ditanya apakah reaksi beliau tentang isu bantahan terhadap pengenalan tulisan Jawi dan khat, Dato’ A. Aziz berkata bahawa psikologi penolakan terhadap dasar negara oleh pihak tertentu memang biasa berlaku dalam negara kita. Menurut beliau, orang ramai sepatutnya membuka minda untuk melihat tulisan Jawi sebagai salah satu tulisan antarabangsa dan menjadi makna kepada jati diri seorang rakyat Malaysia. Dalam tradisi peradaban Asia Tenggara, khususnya lingkungan dunia Melayu, tulisan Jawi cukup segar digunakan dalam semua bentuk penulisan, khususnya kitab dan manuskrip. Puluhan ribu warisan naskhah manuskrip Melayu berselerak di serata dunia, tersimpan di London, Leiden, Paris, dan Afrika Selatan yang memerlukan kajian terperinci. Maka sebab itulah penguasaan tulisan Jawi menjadi sangat signifikan. Dato’ A. Aziz juga menegaskan, sesiapa sahaja yang menguasai tulisan Jawi pasti akan lebih mudah untuk mempelajari bahasa asing yang lain, khususnya bahasa Arab, Parsi dan Urdu. Malah sarjana di luar negara seperti Profesor Dr. Kang Kyoung Seok dari Korea Selatan bertekad untuk mengembangkan tulisan Jawi dengan memperkenalkan animasi tulisan tersebut dalam usaha memperkasakannya semula, khususnya kepada generasi muda.

Dr. Adi Yasran berkata, sama ada tulisan Rumi, Jawi atau Arab, masing-masing ada sejarah dan keistimewaannya yang tersendiri.

Selaku pakar rujuk ejaan Jawi, Dr. Adi Yasran ditanya, apakah keistimewaan tulisan Jawi berbanding dengan tulisan Rumi? Adakah bentuk pengejaan sesuatu kata dan nama orang dalam tulisan Jawi sama seperti proses pengejaan dalam tulisan Rumi? Dr. Adi menjelaskan keistimewaan Jawi secara khusus boleh dilihat dalam pengejaan nama orang. Contohnya nama Mohd., Muhd., Mohamad dan Muhammad, bentuk ejaannya jelas berbeza walaupun sebutannya sama. Akan tetapi dalam tulisan Jawi, bentuk ejaan nama bagi Mohd., Muhd., Mohamad dan Muhammad adalah sama dan hal itulah yang memaparkan keunikan tulisan Jawi.

Dr. Adi turut menjelaskan perbezaan antara tulisan Jawi dengan tulisan Arab. Walaupun tulisan Jawi merupakan satu bentuk tulisan yang tercipta hasil daripada pengaruh Arab dan Islam di Nusantara, akan tetapi sistem tulisan kedua-duanya adalah berbeza. Tulisan Jawi telah mengambil kesemua huruf Arab menjadi sebahagian daripada huruf Jawi, selain menambah beberapa huruf baharu bagi melambangkan fonem Melayu yang tidak dapat dilambangkan oleh huruf Arab. Huruf tersebut ialah “ca”, “nga”, “nya”, “pa” dan “va”. Sistem ejaan Arab pula adalah mengikut fonologi atau bunyi pada setiap perkataannya yang disusuli dengan baris-baris yang menggantikan huruf vokal dan tanda-tanda tertentu.

Forum yang diadakan di Anjung DBP ini juga disiarkan secara langsung melalui Facebook DBP.

Dato’ A. Aziz juga diminta memberikan pandangan beliau tentang usaha beberapa negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang yang mengangkat tulisan Jawi, khususnya pada papan tanda jalan, poster dan iklan. Bagi beliau, usaha sedemikian adalah sangat baik malah wajar diikuti oleh negeri lain di Malaysia. Beliau menambah, papan tanda jalan, iklan, poster, nama taman dan sebagainya jangan dipaparkan hanya dalam satu bahasa tetapi seeloknya disertakan dengan paparan tulisan lain seperti Inggeris, Cina, Tamil dan Jawi. Hal ini bagi menggambarkan persetujuan bersama semua bangsa dalam usaha mewujudkan persefahaman dalam kepelbagaian.

Datuk Zainal Abidin Borhan memberikan pandangan beliau berhubung pembelajaran tulisan Jawi dan khat di sekolah.

Dato’ A. Aziz turut mengingatkan bahawa raja Melayu dan bahasa Melayu bukan soal mengutamakan orang Melayu. Begitu juga dengan hal tulisan Jawi bukan soal mahu mengutamakan agama Islam. Soal utamanya ialah tulisan Jawi itu satu seni dan warisan negara. Buktinya, Pemasyhuran Kemerdekaan 1957 bagi negara Tanah Melayu tertulis menggunakan tulisan Jawi. Oleh sebab itu, beliau yakin bahawa tulisan Jawi tidak bersalah dan tidak akan mati. Begitu juga dengan pelaksanaan pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 adalah bertujuan untuk menerapkan nilai warisan dan identiti negara. Sesungguhnya khat itu satu seni dan tidak ada kaitan langsung dengan hal agama Islam.

Selain dihadiri oleh Munsyi Jawi, pakar Jawi dan pencinta tulisan Jawi dan khat Jawi, forum ini turut dihadiri oleh Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Datuk Zainal Abidin Borhan, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, Dr. Hanafi Ibrahim, Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, Haji Mohd. Sallehuddin Datuk Paduka Mohamed dan Ketua Bahagian Penyelidikan Bahasa DBP, Dr. Rusmadi Baharuddin.

 

Sila Beri Pandangan


  • Arkib

  • Statistik

    000000
    Melawat hari ini:
    Jumlah Pelawat:
    Hits hari ini:
    Jumlah Hits :
    Siapa atas talian:
  • Kategori

Botanical Slimming Cell Phone Jammer For Sale, Botanical Slimming Soft Gel , Meizi Evolution, Cell Phone Jammers,Cell Phone Blockers, As a result Botanical Slimming works by restraining the activity of lipase in the stomach and intestinal canal.