Judul: Wacana Pantun Melayu

Penulis: Salinah Ja’afar, Tengku Intan Marlina Tengku Mohd.Ali, Zurinah Hassan, Shafa’atussara Silahudin

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Harga: RM30

Pengulas: Jaymani Sevanathan

Pantun ialah sejenis puisi tradisional masyarakat Melayu yang wujud sejak berzaman-zaman lagi. Pantun dicipta sebagai suatu bentuk pengucapan untuk menyampaikan buah fikiran dan perasaan terhadap seseorang ataupun mengenai sesuatu perkara. Ciri-ciri pantun Melayu adalah seperti terbina dalam bentuk berangkap, mengandungi bahagian pembayang dan maksud, bentuk pantun terbahagi kepada rangkap pantun dua kerat, empat kerat, enam kerat, lapan kerat dan 12 kerat. Bagi pantun dua kerat, rima akhirnya ialah a,a manakala bagi pantun 4 kerat, rima akhirnya ialah a,b,a,b.

Buku ini merupakan hasil penulisan artikel yang dikumpulkan oleh empat orang ahli akademik yang bertujuan untuk menambah bahan bacaan ilmiah berkenaan dunia pantun Melayu. Hal ini adalah kerana buku ilmiah berkenaan pantun tidak banyak dihasilkan lagi. Secara umumnya, buku ini mengandungi enam bab hasil daripada kertas kerja yang telah dibentangkan dalam persidangan kebangsaan dan antarabangsa. Bab yang menarik perhatian pengulas ialah bab tiga, iaitu Pantun sebagai Nyanyian Lagu Melayu Asli, bab empat (Unsur Alam sebagai Kias Ibarat dalam Pantun Nasihat) dan bab lima, iaitu Pemikiran, Diksi dan Bentuk Jenaka dalam Pantun Melayu.

Dalam bab tiga, penulis memfokuskan lagu Melayu asli yang dianggap sebagai sebuah khazanah dan budaya yang dilihat mencerminkan nilai budi masyarakat Melayu. Kehadiran lagu-lagu Melayu asli dikaitkan dengan kebangkitan teater bangsawan yang muncul di Tanah Melayu sekitar tahun 1870-an. Teater bangsawan pada era tersebut menampilkan lagu Melayu asli yang sangat bernilai dan istimewa. Oleh sebab itu, penulis bijak dalam menggabungkan konsep budaya pantun dan nyanyian Melayu Asli. Bagi masyarakat Melayu, pantun ibarat jiwa dan sejarah mereka sendiri. Pantun dalam nyanyian boleh dianggap sebagai satu seni kata yang bernilai. Secara umumnya, lagu berpantun dapat dilihat apabila dua baris menjadi pembayang yang terdiri daripada kekayaan alam Melayu dan dua baris lagi membawa maksud perasaan atau luahan dalam hati. Dalam alam Melayu, kehidupan masyarakat Melayu banyak dipengaruhi oleh budaya dan tatacara yang dibawa menerusi pantun.

Seperti mana pantun yang digunakan dalam upacara meminang yang disebut sebagai pantun meminang, pantun yang dinyanyikan dalam lagu Melayu asli disebut sebagai pantun nyanyian Melayu asli. Sudah lama masyarakat Melayu mengalunkan seni kata pantun dalam nyanyian Melayu asli untuk menyampaikan maksud dan tujuan tertentu. Hal ini adalah kerana ia dapat membangkitkan jiwa dan semangat kepada pendengar. Oleh sebab itu, pemilihan pantun yang bersesuaian amat dititikberatkan sebagai seni kata nyanyian Melayu asli. Tema yang dibawa menerusi pantun nyanyian Melayu asli perlu seiring dengan melodi lagu Melayu asli tersebut. Tema yang dimaksudkan di sini adalah seperti nasib/kemiskinan, dukacita/perpisahan, cinta/kasih sayang dan budi/harapan. Oleh sebab itu, tema dan makna pantun perlu selari dengan ciri-ciri melodi yang ditentukan. Selalunya, sesebuah nyanyian Melayu asli mengandungi dua rangkap pantun dan adakalanya serangkap pantun sahaja. Penulis turut menjelaskan beberapa nyanyian Melayu asli, iaitu pantun Melayu yang digunakan dalamnya seperti pantun “Seri Banang”, pantun “Seri Sarawak” dan pantun “Seri Kedah”.

Dalam bab empat, penulis menjelaskan bahawa pantun merupakan sebuah karya kreatif dan memiliki dua komponen penting, iaitu pemikiran dan perasaan (emosi). Pemikiran yang dimaksudkan ialah pandangan hidup, nasihat dan pedoman, manakala perasaan seperti sedih, gembira, kagum, cinta dan sebagainya. Bab ini memperlihatkan bagaimana penggunaan unsur atau lambang alam dapat menyampaikan makna yang jelas dan membawa suatu pemikiran yang bermanfaat kepada masyarakat. Penulis juga menghuraikan teori pengkaedahan Melayu dalam makalah ini. Menurut Hashim Awang (1993), teori ini dibina atas kesedaran bahawa sastera Melayu lahir daripada pemikiran bangsa yang sangat dipengaruhi oleh alam dan agama Islam. Menurut penulis, pendekatan-pendekatan dalam teori tersebut ialah pendekatan firasat, gunaan, moral, dakwah, kemasyarakatan dan juga pendekatan seni.

Bagi penulis, nilai estetika sesuatu puisi termasuk pantun akan meningkat sekiranya menggunakan unsur alam sebagai perlambangan yang sesuai dengan makna yang ingin disampaikan. Pengajaran dan nasihat disampaikan dengan menggunakan perlambangan unsur alam dan paling dominan ialah laut. Jika meneliti kebanyakan pantun, simbolisme laut dapat dilihat dengan banyak seperti samudera, ombak, tanjung, badai, gelombang dan sebagainya. Pada masa yang sama, simbol dan perjalanan laut telah digunakan oleh pemikir Melayu untuk memahami dan menjelaskan konsep-konsep metafizik. Selain itu, tumbuh-tumbuhan juga digunakan dalam pantun sebagai unsur alam. Penggunaan ini bertunjangkan alam dan penggunaan objek alam fizikal yang membawa makna yang tersurat dan tersirat.

Dalam bab lima pula, memfokuskan kepada pemikiran, diksi dan bentuk jenaka dalam pantun, unsur-unsur jenaka mempunyai signifikasi seperti sindiran, gurauan dan pengajaran. Seperti yang diketahui, masyarakat Melayu amat mementingkan budi bahasa dan air muka seseorang. Sebarang sindiran, teguran dan nasihat yang ingin disampaikan perlu dibuat dengan halus dan teliti. Sindiran seperti ini bukan sahaja menyedarkan orang yang disindir malah dapat mengelakkan sebarang perselisihan faham antara penyindir dengan individu yang disindir. Tambahan pula, pantun juga merupakan satu wadah untuk bergurau senda dalam kalangan masyarakat Melayu. Pantun seperti ini dapat dibahagikan kepada pantun teka-teki dan pantun usik-mengusik. Berbalik kepada pantun jenaka yang mengandungi unsur pengajaran, tunjuk ajar, didikan dan kebaikan dalam menjalani kehidupan seharian.

Kesimpulannya, keindahan pantun dapat mengungkapkan seribu satu maksud yang tersurat dan tersirat. Berpantun boleh dikatakan sebagai suatu kesantunan berbahasa yang banyak fungsinya kepada masyarakat. Buku ini sesuai dibaca oleh individu yang gemar menghasilkan pantun dan juga yang minat akan tradisi lisan Melayu. Semoga pembaca mendapat manfaat dan ilmu daripada buku ini.

 

Sila Beri Pandangan


  • Arkib

  • Statistik

    000000
    Melawat hari ini:
    Jumlah Pelawat:
    Hits hari ini:
    Jumlah Hits :
    Siapa atas talian:
  • Kategori

Botanical Slimming Cell Phone Jammer For Sale, Botanical Slimming Soft Gel , Meizi Evolution, Cell Phone Jammers,Cell Phone Blockers, As a result Botanical Slimming works by restraining the activity of lipase in the stomach and intestinal canal.