Judul : Mitos Peribumi Malas

Penulis : Syed Hussein Alatas

Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka

Harga : RM32.00

Pengulas : Jaymani Sevanathan

STEREOTAIP merupakan sesuatu perkara yang sangat bahaya dalam sesuatu masyarakat. Hal ini adalah kerana stereotaip mampu mempengaruhi amalan politik di sesebuah negara. “Orang Melayu yang malas”, orang Cina yang “dapat disogok” dan orang India yang “penakut dan suka menipu” adalah antara stereotaip yang mempengaruhi sejumlah besar penduduk di Malaysia dan Singapura.

Oleh sebab itu, buku ini cuba menganalisis asal usul dan fungsi mitos tentang peribumi yang dikatakan atau ditafsir sebagai malas dari abad ke-16 sehingga abad ke-20 di Malaysia, Filipina dan Indonesia. Penulis juga merungkaikan tuduhan yang dihadapi oleh masyarakat Melayu, Jawa dan Filipina sebagai bangsa yang malas bekerja.

Buku yang asalnya bertajuk The Myth of the Lazy Native ini mempunyai dua belas buah bab. Antaranya ialah Imej Orang Melayu hingga Zaman Raffles, Imej tentang Kemalasan dan Hakikat Kemalasan, Konsep Kerajinan dan Kemalasan dalam Kalangan Orang Melayu , Revolusi Mental dan Kemalasan Orang Melayu dan Penyimpangan Watak Orang Melayu. Buku ini umumnya menerangkan mitos tentang masyarakat peribumi malas yang ditimbulkan oleh orang Barat. Namun, mereka tidak melakukannya tanpa sebab. Buku ini membongkar punca dan realiti masyarakat peribumi.

Dalam buku ini, penulis membina beberapa konsep sosiologi untuk mendefinisikan fenomena yang berlaku ketika itu. Mengungkap doktrin yang berkembang luas dalam kalangan peribumi, maka penulis telah membawa konsep ideologi kolonial. Konsep kolonial kapitalisme dibentuk untuk menjelaskan beza antara kapitalisme Barat dengan kapitalisme yang dibawa masuk oleh para kolonialis yang telah membawa perubahan yang banyak sekali dalam struktur peribumi dari aspek monopoli dan dominasi ke atas penduduk peribumi.

Dalam bab pertama, penulis menghuraikan pendapat para pengamat asing tentang masyarakat Melayu. Jika kita melihat kisah yang dihimpunkan Tome Pires pada tahun 1512-1515 Masihi, Tome Pires menyatakan bahawa mereka adalah bangsa yang pencemburu, kerana para isteri orang-orang penting tidak pernah terlihat di muka umum. Selepas itu, laporan Pires pula disusuli oleh Duarte Barbossa yang mencatatkan bahawa orang-orang Melayu terkemuka di Melaka adalah kelompok Muslim yang taat, sangat berbudi bahasa, sopan dan saling menyayangi. Thomas Stamford Raffles iaitu seorang leftenan Inggeris pula menyatakan orang Melayu tidak memperoleh tahap pengembangan intelektual yang tinggi. Beliau merasakan perwatakan bangsa Melayu sebagai primitif dan tidak beradab. Bagi Raffles, faktor sejarah dan sosiologi yang mempengaruhi orang Melayu untuk bertindak terhadap kemahuan perseorangan dan menunjukkan nafsu serakah.

Dalam bab kedua, penulis memfokuskan dua orang Residen Inggeris yang banyak menulis mengenai perwatakan orang Melayu iaitu Hugh Clifford dan Frank Swettenham. Bagi Swettenham dalam bukunya yang pertama kali diterbitkan pada 1906, beliau menggambarkan orang Melayu berkulit sawo matang, agak pendek, gempal dan kuat dan mempunyai ketahanan yang tinggi. Swettenham juga merasakan bahawa orang Melayu adalah Muslim fatalis dan sangat mempercayai tahyul. Baik Clifford mahupun Swettenham menyesali akan kejahilan orang-orang Eropah terhadap berbagai-bagai persoalan berhubung dengan masyarakat Melayu.

Penulis menyatakan ada berbagai-bagai unsur pokok daripada konsep kemalasan iaitu tidak ada kecintaan bekerja,  tidak ada kemahuan bekerja, tidak ada kekuatan atau semangat yang ditunjukkan dalam usaha,  tidak ada perhatian terhadap akibat daripada usahanya,  tidak ada perhatian pada perolehan daripada usahanya dan  tidak ada perhatian pada keperluan yang mendorong usaha tersebut. Istilah malas atau dalam definisi oleh Jose Rizal iaitu little love for work and lack of activity ( kecintaan terhadap kerja yang kecil, kurang kegiatan )  yang menjadi topik utama dibahaskan dengan panjang lebar oleh penulis. Dalam hal ini, para penulis kolonial melemparkan tuduhan atau hujah ideologi mereka berdasarkan faktor iklim dan lingkungan tropika yang dianggap sebagai punca utama kemalasan golongan peribumi. Pada anggapan mereka, iklim tropika yang lembab dan panas, jangkitan penyakit serta kemewahan para pemimpin mereka telah menyebabkan rakyat sengsara – mereka jadi manusia beku tanpa cita-cita.

Pendapat sarjana seperti Clifford ada mengatakan mengenai gambaran penolakkan kecaman tentang kemalasan orang Melayu. Menurut beliau, pandangan yang menyatakan golongan Melayu sebagai golongan yang tidak menguntungkan haruslah disangkal sama sekali ini kerana seringkali pandangan Barat memperkatakan nilai sumbangan imigran Cina sebaliknya  dalam konteks ini sumbangan orang Melayu sering dipekecilkan. Jelaslah disini berlaku ketidakadilan. Hal ini adalah kerana orang Melayu yang banyak memainkan peranan seperti mengurus negeri, menjadi anggota polis, pengeluar bahan makanan dan sebagainya. Namun, apa yang menyedihkan pihak kolonial sering melupakan sumbangan orang Melayu ini.

Pada bab ini Syed Hussien Alatas cuba menerangkan tentang watak nasional walhal penceritaan ini telah ada pada bab sebelumnya. Ia cuba menerangkan imej atau citra yang negatif yang digambarkan oleh kolonial secara sepintas lalu tanpa mengambil kira keseluruhan atau universalnya. Pada kolonial mereka ini atau lebih tepat peribumi adalah kalangan yang malas, bodoh, licik, keanak-anakan dan bukan ilmuan.  Tetapi yang menulis itu adalh rahib, pegawai pemerintah, pemilik ladang, pelaut, tentera, penulis perjalanan popular dan pelancong. Dengan mengambil idea Clive Daya yang terpengaruh dengan penulisan ini mengatakan ada beberapa kelemahan iaitu kekeliruan penyamarataan, pentafsiran peristiwa diluar konteks yang benar , tidak ada ketegasan, prasangka dan dominasi pemikiran.

Dalam konteks perbincangan ini dengan jelasnya dapatlah disifatkan bahawa mitos peribumi malas yang diusulkan oleh pengarang buku ini nyatanya terdapat kebenarannya. Ini dikatakan demikian memandangkan terdapat beberapa bukti yang menjelaskan bahawa kemalasan yang dilabelkan kepada peribumi Melayu dirantau Asia itu adalah tidak berasas. Penjelasan ini jelas terbukti melalui beberapa pandangan tokoh yang dimuatkan dalam buku ini. Sebelum itu perlu dijelaskan bahawa sesungguhnya penulis kolonial Eropah sememangnya amat senang sekali membicarakan tentang peristiwa sensasi, kemalasan peribumi Melayu di Asia semata-mata untuk mengangkat martabat bangsa Eropah itu sendiri. Kenyataan ini demikian sifatnya, lantaran mereka hanya melihat kemalasan itu dari aspek pemikiran yang sempit sahaja.

Kesimpulannya, buku ini wajar ditelaah oleh masyarakat bagi mengetahui punca mengapa mitos ini diwujudkan oleh orang Inggeris. Secara jujurnya, karya Syed Hussein bukan calang-calang dan biasa, ia memberi pengetahuan dan pemahaman yang tinggi kepada pembaca. Buku ini banyak menghasilkan idea kesedaran dan menyemarakkan rasa bangga dan cintakan bangsa, agama dan tanah air.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1045782
    Visit Today : 678
    This Month : 28381
    Total Visit : 1045782
    Hits Today : 2196
    Total Hits : 4292761
    Who's Online : 9
  • Kategori