OLEH: JAYMANI SEVANATHAN

Para peserta bergambar selepas tamat Majlis Temu Mesra Alumni MPR 2019

Pada tahun ini, Minggu Penulis Remaja (MPR) telah diadakan di Kampung Karyawan Malim, Perak. Program yang telah berlangsung dari 15 hingga 20 Julai 2019 telah disertai oleh seramai 22 orang peserta bagi mengasah bakat masing-masing dalam bidang penulisan cerpen dan puisi di samping mengenali dunia sastera dengan lebih lanjut. Program MPR 2019 telah dikendalikan oleh Puan Norhasmanalinda dan Encik Wan Mohd Farid, pegawai daripada Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pembimbing peserta MPR 2019 iaitu Encik Wan Mohd Farid dan Puan Norhasmanalinda.

Secara umumnya, pelaksanaan program ini bermatlamat untuk memperkasakan dan memartabatkan sastera dan bahasa Melayu. Antara objektif utama MPR adalah untuk mengenal pasti dan membimbing penulis yang berpotensi secara terarah dan sistematik dalam bidang penulisan kreatif khususnya cerpen dan puisi. Para peserta juga telah diberikan suntikan semangat dan galakan secara berterusan untuk menghasilkan karya yang bermutu, kreatif dan kritis dengan cara melatih mereka untuk peka terhadap isu-isu di sekeliling.

Puan Salina Ibrahim membimbing para peserta dalam menghasilkan cerpen yang bermutu.

Minggu Penulis Remaja 2019 telah membariskan pembimbing karya kreatif yang berpengalaman, iaitu Puan Salina binti Ibrahim bagi penulisan cerpen dan Encik Saifullizan bin Yahaya bagi penulisan puisi. Sesi bersama-sama tokoh pula telah menampilkan tokoh penerima SEA Write, iaitu Malim Ghozali PK yang lebih mesra dipanggil Pak Malim. Pak Malim merupakan pemilik dan pengasas Kampung Karyawan Malim. Selain itu, peserta turut diberikan panduan, pendedahan dan peluang untuk menerbitkan karya dalam majalah terbitan DBP oleh editor majalah Dewan Siswa, iaitu Encik Muhammad Lutfi Zahid.

Sepanjang sesi bengkel, karya peserta telah disemak dan dibedah oleh pembimbing untuk ditambah baik daripada pelbagai aspek seperti penggunaan gaya bahasa, laras bahasa dan sebagainya. Pendekatan ini membantu peserta untuk meningkatkan daya kreativiti dan tahap penulisan masing-masing. Setiap peserta juga diedarkan buku, antologi atau kumpulan puisi sebagai rujukan dalam menghasilkan puisi. Seterusnya, peserta diwajibkan untuk menghasilkan sebuah cerpen dan lima buah puisi sebagai hasil akhir program. Peserta juga boleh menambah dan menghantar hasil karya mereka mengikut keupayaan masing-masing.

Para peserta khusyuk dalam menghasilkan karya kreatif.

Selain itu, aktiviti mencerap alam juga dijalankan, para peserta diberikan masa untuk bersantai sambil mencari ilham untuk menghasilkan karya. Gua Tempurung, Muzium Perlombongan Bijih Timah Kinta dan Kapal Korek Tanjung Tualang menjadi pilihan untuk melakukan aktiviti ini. Pelbagai informasi sejarah dapat diperoleh di samping dapat menenangkan fikiran juga.

Pada hari terakhir program, iaitu pada 20 Julai, telah diadakan Majlis Temu Mesra Alumni MPR di Balai Seminar, Wisma DBP di Kuala Lumpur. Sebahagian besar alumni MPR telah dikumpulkan dan pengisahan, kenangan serta pengalaman telah dikongsikan bersama-sama kepada semua khalayak peserta.

Secara keseluruhannya, program ini mampu melahirkan penulis yang berkualiti dan kritis dalam dunia penulisan sastera. Hal ini adalah kerana peserta telah diberikan pendedahan yang luas dan dapat meningkatkan semangat para peserta untuk meneruskan minat masing-masing dalam bidang penulisan seiring dengan tema MPR 2019, iaitu “Sekali Menulis, Selamanya Menulis”. Semoga program ini sentiasa dapat diteruskan pada tahun-tahun yang akan datang demi pemerkasaan sastera dan bahasa Melayu.

Para peserta dan pembimbing MPR 2019 bergambar di Gua Tempurung selepas menjalankan aktiviti mencerap alam.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1045947
    Visit Today : 843
    This Month : 28546
    Total Visit : 1045947
    Hits Today : 2758
    Total Hits : 4293323
    Who's Online : 4
  • Kategori