Judul: Manusia daripada Perspektif Islam

Penulis: Shaik Abdullah Hassan Mydin

Harga: RM25.00

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Pengulas: KHAFIZ BAHARI

Perbincangan tentang konsep manusia telah lama melingkungi dunia ilmiah sejak zaman-berzaman. Tidak terkecuali, Islam juga mempunyai dimensi dan pandangan tersendiri tentang manusia. Yang menarik untuk diperkatakan ialah apabila Al-Quran sebagai sumber wahyu telah menghantar mesej dan menggambarkan manusia dari pelbagai jurus pandang. Al-Quran ialah petunjuk dan hidayah yang memimpin manusia ke arah kebenaran seterusnya memperbetulkan pemahaman manusia tentang hakikat kejadian yang terpesong. Penulis menukilkan pandangan Yusof Al-Qardhawi yag menyatakan bahawa manusia dalam masyarakat Islam harus beriltizam dengan tauhid, iaitu akidah Islam. Pernyataan tersebut sebenarnya merujuk kesyumulan Islam sebagai agama yang mengatur kehidupan manusia daripada segenap aktiviti dan lapangan. Pandangan kesyumulan itulah sebenarnya pandangan Islam terhadap manusia. Syumul dalam akidah yang satu dan tiada pensyirikan kepada yang lain. Syumul juga dalam sistem peradaban atau muamalah yang terangkum dalam lunas dan landasan hukum-hakam agama.

Menurut pandangan penulis dalam bab dua, kemuliaan manusia sebagai ciptaan yang agung terletak pada kesanggupan manusia memegang “amanah ilahiyah”. Inilah maksud daripada tugas sebagai khalifah di muka bumi. Hal yang demikian hanya boleh dicapai jika manusia mempunyai ilmu pengetahuan yang dibimbing oleh wahyu Ilahi. Dengan ilmu yang didasari oleh wahyu, manusia dapat melepaskan dirinya daripada kebejatan moral yang rendah dan dapat mencapai ketinggian moral dan akhlak. Dalam bab ini, penulis menukilkan pandangan Sayyid Qutb tentang makna ayat 72 surah Al-Ahzab. Sayyid Qutb menjelaskan bahawa sumber ilmu pengetahuan adalah daripada Allah sama ada mengenai alam, kehidupan dan diri manusia sendiri. Walaupun manusia dicipta bermula daripada darjat yang paling rendah, Allah mengangkat manusia dengan ilmu pengetahuan.

Dalam bab tiga, seruan kepada melaksanakan keadilan dan kebenaran bagi menegakkan amar makruf nahi mungkar menjadi sarana penulis. Umat Islam disarankan agar tidak menzalimi orang lain dan perlulah sentiasa berbuat kebaikan kepada semua orang tanpa melihat status ekonomi, rupa paras dan bangsa keturunan. Konsep keadilan yang dimaksudkan merangkumi pelbagai bidang seperti ekonomi, perundangan dan sosial sebagaimana yang dibuktikan oleh kepimpinan nabi Muhammad SAW semasa baginda memegang tampuk pemerintahan di Madinah. Atas prinsip keadilan dan kebenaran itulah juga ajaran Islam menerima bahawa semua manusia umumnya bersaudara atas dasar kemanusiaan dan secara khusus persaudaraan sesama Islam pula dibina atas dasar tauhid dan akidah yang satu.

Daripada kupasan yang lebih bercorak konseptual sebelum ini, dalam bab empat, perbincangan menjurus pula kepada wacana deskriptif yang menerangkan konsep manusia sebagai makhluk yang cenderung berketuhanan. Manusia, menurut Al-Quran, secara fizikalnya dijadikan daripada tanah. Hal ini telah dibuktikan melalui kajian ilmiah di Barat bahawa terdapat lebih 90 peratus unsur tanah yang terdapat di dalam tubuh manusia. Persoalannya, bagaimana fizikal manusia dilengkapi pula dengan roh? Terdapat beberapa pendapat tokoh cendekiawan Islam yang memerikan roh. Sebagai contoh Imam Ghazali menyatakan bahawa roh ialah tubuh yang halus dan sesuatu yang halus daripada manusia yang mengetahuinya dan merasainya. Roh tersebut pula berinti pati ketuhanan. Dalam hal ini, ramai cendekiawan Islam berpendapat bahawa fakulti rohani yang dipasang pada manusia itulah yang boleh membawa manusia ke peringkat sebaik-baik kejadian. Kupasan lebih lanjut tentang roh dan tabii manusia dinukilkan oleh penulis dalam bab tujuh.

Potensi manusia juga dilihat dari sudut pandangan peristiwa penghijrahan yang dikisahkan di dalam Al-Quran. Sebagai contoh, peristiwa pelarian Ashabul Kahfi daripada pemerintahan raja yang zalim dan peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW. Penghijrahan menjadi episod utama pembinaan tamadun. Itu mesej yang hendak disampaikan dalam bab lima. Hijrah bukan sahaja didorong oleh keperluan lokasi atas tujuan dakwah Islam ingin dikembangkan, malah bertitik tolak daripada keberkesanan latihan spiritual dan keimanan yang diterap kepada pengikut baginda Muhammad SAW. Asasnya ialah pembinaan tamadun bukan sahaja dihasilkan daripada keperluan geografi tamadun yang hendak dibina tetapi bergantung pada pelakunya, iaitu yang disebut sebagai “rijal” atau generasi yang mempunyai keimanan kukuh dan kualiti jati diri yang kuat.

Para pembaca dapat menemukan ciri generasi yang disarankan dalam perenggan di atas dengan meneliti ciri tabi’l manusia yang dikupas dalam bab terakhir buku ini. Penulis mencatatkan rumusan yang dikutip daripada sudut pandang tokoh Islam seperti Imam Al-Ghazali, Ibnu Khaldun, Imam Ibnu Qayyim A-Jauzi, Maulana Abdullah Yusuf Ali dan Alamah Mohamed Iqbal tentang tabi’I manusia. Pandangan mereka tidak jauh berbeza antara satu sama lain, namun setiap daripada mereka melihat tabi’I manusia itu daripada perspektif yang tersendiri. Sebagai contoh, Imam Al-Ghazali merumuskan bahawa manusia ialah makhluk yang kompleks dan suka akan kebendaan, roh Ilahi dalam diri manusia bertentangan dengan naluri dan kehendak itu. Imam Ghazali melihat aspek pemurnian jiwa. Ibnu Khaldun menerangkan bahawa dalam diri manusia, ada naluri Ilahi dan naluri kebinatangan yang sering membawa konflik dalam diri. Oleh sebab itu, pegangan agama amat penting bagi seseorang. Imam Ibnu Qayyim Al-Jauzi pula merujuk persoalan hati. Beliau mengkategorikan hati kepada tiga jenis. Pertama, hati yang sihat, iaitu hati yang mengenal Penciptanya. Kedua, hati yang mati, iaitu hati yang tidak mengenal Penciptanya dan segala tindakannya berdasarkan hawa nafsu, dan ketiga, hati yang sakit, iaitu hati yang hidup tetapi terdapat penyakit berupa sifat buruk seperti hasad dengki, angkuh dan sombong.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1052927
    Visit Today : 1180
    This Month : 1180
    Total Visit : 1052927
    Hits Today : 5148
    Total Hits : 4323094
    Who's Online : 3
  • Kategori