OLEH ZAIDI ISMAIL

Bengkel Penataran Bahasa Melayu di Hotel Copthorne, Cameron Highland, Pahang.

PADA 22 dan 23 April 2019, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan kerjasama Akademi Dewan Bahasa dan Pustaka (Akademi DBP) telah menganjurkan Bengkel Penataran Bahasa Melayu di Hotel Copthorne, Cameron Highland, Pahang.

Encik Zaidi Ismail memberi penerangan tentang penyegaran bahasa kepada para peserta kursus.

Seramai 35 orang karyawan FAMA pelbagai jawatan dari ibu pejabat FAMA dan juga cawangan telah ikut serta dalam bengkel tersebut. Mereka merupakan penyedia dan penyemak kandungan laporan tahunan FAMA untuk tahun 2018. Bengkel ini diadakan untuk meningkatkan penguasaan ilmu tatabahasa sebagai asas pembinaan kemahiran berbahasa dalam penulisan dokumen rasmi, khususnya laporan tahunan; meningkatkan kemahiran mengenal pasti dan menganalisis kesalahan bahasa, kemudian dapat memurnikannya; dan meningkatkan kemahiran dan keupayaan berbahasa yang baik untuk digunakan dalam penulisan laporan tahunan.

Dalam kursus tersebut, penulis selaku penceramah mengendalikannya dalam empat sesi bermula dengan sesi pertama pada sebelah malam, iaitu sesi penyegaran bahasa. Dalam sesi tersebut, peserta “disegarkan bahasa”, khususnya dalam aspek kata dan makna yang berkaitan dengan penggunaan kata-kata umum secara tepat, seperti penender dan petender; menjolok dan mencolok; perlepasan dan pelepasan; baru dan baharu; serta rasmi dan resmi. Semua perkataan tersebut sebenarnya boleh digunakan tetapi perlulah secara tepat dari segi makna dan penggunaannya. Penggunaan secara tidak tepat akan menimbulkan kesalahan dalam aspek tatabahasanya.

Para peserta yang turut serta dalam bengkel dua hari tersebut.

Dalam sesi pagi (sesi kedua) hari kedua, peserta diterangkan asas penggunaan bahasa Melayu, khususnya dalam aspek ejaan, pembentukan kata, dan pembinaan ayat yang baik dan betul dalam laporan tahunan. Setelah itu, peserta menyemak semula laporan yang telah disediakan untuk melihat dan membaiki kesalahan bahasa dalam aspek tersebut.

Dalam sesi ketiga, peserta diberi penerangan tentang aspek penggunaan rujukan hormat, huruf besar dan tanda baca dalam penulisan. Dalam buku laporan tahunan, rujukan hormat banyak digunakan, terutamanya pada bahagian awalan buku tersebut. Huruf besar pula akan digunakan secara berterusan dalam penulisan tajuk dan nama khas, manakala tanda baca pula digunakan dalam penulisan ayat dan situasi tertentu, seperti semasa menggunakan istilah asing dan singkatan. Penggunaannya juga perlulah secara tepat sesuai dengan fungsinya.

Pada sebelah petang, bengkel diteruskan dengan sesi latihan dan perbincangan. Bahan latihan diambil daripada buku laporan tahunan tahun 2016 dan 2017. Hal ini dilakukan untuk membolehkan peserta menguji kemahiran yang diperoleh daripada kursus yang telah diikuti itu dengan cara mengesan kesilapan penggunaan bahasa dan memurnikannya.

Peserta Bengkel Penataran Bahasa Melayu menerima sijil penyertaan yang disampaikan oleh encik Zaidi Ismail.

Pengisiannya disusun secara khusus agar peserta dapat meningkatkan penguasaan ilmu tatabahasa sebagai asas pembinaan kemahiran berbahasa dalam penulisan penulisan laporan jabatan untuk dimasukkan dalam buku laporan tahunan organisasi. Dengan adanya bengkel tersebut, diharapkan laporan tahunan yang akan terbit nanti kualiti bahasanya semakin meningkat.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1046629
    Visit Today : 245
    This Month : 29228
    Total Visit : 1046629
    Hits Today : 453
    Total Hits : 4295255
    Who's Online : 12
  • Kategori