hartanah dlm

 

Judul      : Prinsip-prinsip Pelaburan Harta Tanah (Edisi Kedua)

Penulis   : Ismail Omar, Shahrom Md.Ariffin, Mazlan Ismail

Tahun     : 2012

Penerbit  : Dewan Bahasa Dan Pustaka

Pengulas : Jaymani Sevanathan

PELABURAN merupakan komitmen wang atau modal untuk membeli instrumen kewangan atau aset lain bagi mendapatkan hasil yang menguntungkan dalam bentuk bayaran faedah, pendapatan, atau penambahan nilai instrumen. Pelaburan terlibat dalam pelbagai bidang ekonomi, seperti pengurusan perniagaan dan kewangan, syarikat atau kerajaan. Harta tanah atau hartanah pula ialah istilah undang-undang yang merujuk kepada tanah bersama dengan apa-apa pun yang wujud secara tetap di atasnya, seperti bangunan, berserta sumber aslinya. Manakala pelaburan hartanah pula secara umumnya merujuk kepada salah satu bentuk pelaburan yang membolehkan seseorang itu membina kekayaan, terutama jika harta tanah itu dibeli di bawah harga pasaran.

Buku ini mengandungi tiga bahagian dan sepuluh bab mengikut urutan aspek pelaburan harta tanah. Dalam bahagian pertama, dijelaskan asas-asas pelaburan harta tanah di samping konsepnya. Bahagian kedua pula memfokuskan cara-cara menjalankan urus bicara harta tanah. Bahagian ketiga pula berkaitan dengan perumahan dan pengambilan tanah. Pengulas akan memfokuskan empat bab dalam buku ini yang menarik perhatian pengulas. Bab yang dimaksudkan ialah Keputusan Melabur dalam Harta Tanah (Bab 2), Pemilihan Harta Tanah (Bab 3), Pemilihan Harta Tanah (Bab 6), Pembiayaan Harta Tanah (Bab 7) dan Pelaburan Harta Tanah Kediaman (Bab 9) .

Dalam bab 2, pulangan, risiko dan percukaian dalam pelaburan harta tanah dihuraikan. Sebelum pelaburan harta dan pembelian harta tanah dibuat, pelabur perlu mengetahui cara nilai pelaburan ditentukan dan bagaimana keputusan untuk melabur perlu dibuat. Pada masa yang sama, pelabur perlu mempelajari dan mengetahui proses sesuatu pelaburan harta tanah dikendalikan secara sistematik supaya pelaburan menguntungkan. Lima langkah dalam proses tersebut adalah mengenal pasti objektif dan halangan. Seterusnya, membuat analisis terhadap suasana dan persekitaran pelaburan. Langkah seterusnya adalah mengenal pasti ramalan aliran tunai dan kriteria pelaburan. Langkah terakhir adalah pengambilan keputusan sama ada ingin melabur atau menolak sesuatu pelaburan selepas membuat andaian-andaian yang sesuai.

Dalam bab 3, nilai, penilai dan penilaian harta tanah difokuskan. Antara aspek yang disentuh ialah fungsi penilai, konsep nilai dan faktor yang mempengaruhi nilai harta tanah. Nilai yang dimaksudkan di sini adalah seperti pengetahuan tentang harta tanah, pembeli dan penjual, harta tertinggi dan terbaik dan sebagainya. Sesuatu benda atau objek yang mempunyai nilai haruslah mempunyai syarat seperti permintaan, berkurangan dan boleh dipindah milik. Syarat berkurangan yang dimaksudkan adalah permintaan yang melebihi penawaran akan menyebabkan kekurangan berlaku dan akan meningkatkan nilai. Seterusnya, proses penilaian harta tanah melibatkan penganalisisan masukan seperti tujuan penilaian dibuat, tarikh penilaian dan lokasi harta tanah. Nilai harta tanah sangat peka kepada perubahan di sekeliling. Sebagai contoh, senario ekonomi antarabangsa boleh memberikan kesan kepada pasaran harta tanah.

Seterusnya dalam Bab 6, bakal pembeli didedahkan dengan maklumat tentang pendekatan yang perlu diambil kira dan langkah-langkah untuk memilih harta tanah yang sesuai untuk tujuan pelaburan. Sebelum pembeli membeli harta tanah, dia perlu mendapatkan dan mengumpulkan data-data harta tanah. Selain itu, pembeli perlu membaca iklan dalam surat khabar dan seterusnya memeriksa harta tanah tersebut. Data-data harta tanah yang dimaksudkan adalah keadaan pasaran harta tanah, harga dan nilai harta tanah, harta tanah yang sedia untuk dijual dan lokasi yang digemari. Tambahan pula, proses pemerolehan harta tanah juga dijelaskan dalam bab ini. Skop pemerolehan atau pemilikan harta tanah adalah prospek pulangan dalam pelaburan, kehendak dan keperluan kontrak dan perjanjian serta pengurusan pendaftaran hak milik. Pada masa yang sama, proses penjualan harta tanah merangkumi pelantikan ejen harta tanah, proses perundingan, draf persetujuan dan perjanjian akhir

Dalam bab 9, isu-isu pelaburan dan pemilikan harta kediaman disentuh. Perumahan ditakrifkan sebagai barangan perkhidmatan kepada pengguna, namun perumahan mempunyai ciri-ciri yang lebih kompleks dan tidak sempurna. Hal ini demikian kerana sekiranya perumahan ditentukan oleh pasaran, maka masalah dan kesulitan dalam pasaran perumahan akan berlaku dan menjejaskan kebajikan rakyat. Biasanya masalah perumahan dikaitkan dengan faktor permintaan seperti golongan berpendapatan rendah yang tidak mampu memiliki rumah. Inflasi juga menjadi masalah yang serius. Inflasi yang berlaku disebabkan oleh kenaikan kos memberikan kesan kepada ekonomi semasa. Dalam keadaan ini, kenaikan kadar faedah akan membebankan pengeluar dan pengguna.

Dalam bab 7, sumber pembiayaan diterangkan secara meluas. Di Malaysia, sumber pembiayaan untuk membeli harta tanah diperoleh mengikut kelayakan yang tertentu daripada sektor kerajaan dan badan-badan berkanun dan juga pihak swasta. Bank dan institusi kewangan mempunyai empat unsur pinjaman yang penting, iaitu jumlah pinjaman, kadar faedah, jangka masa pembayaran balik serta jaminan dan sekuriti. Pinjaman untuk membeli harta tanah khususnya rumah diperuntukkan kerana biasanya pembeli tidak mampu mengeluarkan bayaran tunai kerana nilai modal pelaburan agak tinggi. Seterusnya prosedur dan syarat-syarat pinjaman dan bayaran balik juga difokuskan dalam bab ini. Sistem perbankan Islam juga diterangkan dalam bab ini. Prosedur pembiayaan perumahan oleh perbankan Islam boleh dibahagikan kepada beberapa peringkat, iaitu peringkat pendahuluan, peringkat permohonan, kelulusan pembiayaan, perjanjian, pengeluaran, pembayaran balik pinjaman dan pembayaran balik ansuran bulanan.

Buku ini sesuai dibaca oleh semua golongan masyarakat, terutamanya yang sangat memerlukan pendidikan dan tunjuk ajar tentang prinsip pelaburan harta tanah. Buku ini juga boleh dijadikan panduan kepada pembeli atau bakal pembeli harta Tanah.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1046576
    Visit Today : 192
    This Month : 29175
    Total Visit : 1046576
    Hits Today : 347
    Total Hits : 4295149
    Who's Online : 16
  • Kategori